Wednesday, March 2, 2011

Dipenjara 3 tahun, denda RM4,000

Dipenjara 3 tahun, denda RM4,000

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

TENANG...Noorlaili diiringi polis selepas dihukum tiga tahun penjara dan denda  RM4,000 kerana mendera anak tiri.
TENANG...Noorlaili diiringi polis selepas dihukum tiga tahun penjara dan denda RM4,000 kerana mendera anak tiri.

MELAKA: Seorang suri rumah, Noorlaili Mahat, 39, yang mendera anak tirinya dihukum penjara tiga tahun dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Muzila Mohamed Arsad ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, walau apapun pendirian diambil oleh ibu bapa dalam mendidik anak, mereka tidak patut memperlakukan kanak-kanak hingga mendatangkan kecederaan.


“Meskipun tertuduh mengatakan mangsa kanak-kanak hiperaktif, tidak patut dia dilakukan sebegitu. Mahkamah mendapati tiga kesan kecederaan baru dan dua kecederaan dialami mangsa adalah konsisten dengan keterangan doktor pakar menjurus kepada akibat penderaan,” katanya.

Beliau membuat keputusan itu di akhir kes pembelaan semalam dan mensabitkan tertuduh yang didapati gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.


Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat manakala Noorlaili diwakili peguam Ng Aik Beng.


Berdasarkan pertuduhan, dia sebagai ibu tiri kepada seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun didapati menganiayai kanak-kanak itu hingga mengalami kecederaan fizikal di seluruh badan.

Kesalahan didakwa dilakukan antara 22 Februari hingga 1 Mac 2009 di rumah No 150, Batu 4 3/4, Jalan Aman Lorong Alai, dekat sini.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001, memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu Aik Beng merayu anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan mengemukakan beberapa alasan termasuk ia kesalahan pertama, tertuduh tiada rekod jenayah lampau, selain ada dua anak masih kecil berusia tujuh tahun dan satu setengah tahun.


Beliau juga berkata, mangsa dalam kes itu hanya mengalami kecederaan biasa dan tidak kekal.


Sementara itu, Mahadi memohon hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak mengulangi kesalahan itu pada masa depan.


Katanya, sepanjang tiga bulan kes dibicarakan sejak 8 November 2010, sembilan saksi pendakwaan memberi keterangan sementara pembelaan memanggil lima saksi.


“Kesalahan dilakukan tertuduh serius dan saya mohon hukuman berat dikenakan memandangkan kes sebegini kerap berlaku.


“Lima jenis kecederaan dialami mangsa mengikut keterangan sudah lama berlaku menyebabkan kanak-kanak terbabit takut balik ke rumah dan kini gembira berada di rumah kebajikan,” katanya.


Pihak pendakwaan juga berhujah biarpun kanak-kanak itu hiperaktif, ia bukan alasan untuk dipukul dengan teruk dan memohon hukuman setimpal.


http://www.hmetro.com.my/articles/Dipenjara3tahun_dendaRM4_000/Article

1 comment:

unicorn said...

noorlaili si ibu tiri patut bela anak kucing jer. x de perasaan .anak tiri pun manusia dan hamba Allah juga. asal kejadian salam ..drp Allah Taala. agaknya dia rasa lebih mulia sampai anak tiri yg budak lagi tu di tengok hina sangat..ppuihh!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...