Wednesday, March 9, 2011

Guru tidak sedar

KANGAR: Seorang guru lelaki mendakwa tidak menyedari kehadiran pelajar ala samseng menarik Muhammad Shahfaly Anoar, 15, keluar dari kelasnya sebelum membelasah mangsa sehingga parah kerana konon sibuk mengajar subjek Kemahiran Hidup.

Namun, guru berkenaan yang hairan melihat Muhammad Shahfaly tidak bermaya selepas dipapah masuk semula ke dalam kelas, cuba memberi pertolongan membawanya menerima rawatan, tetapi mangsa hanya berdiam diri.


Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Mansor Lat yang menjelaskan situasi berkenaan berkata, guru berkenaan bukannya bersikap lewa mengenai masalah disiplin pelajar, tetapi tidak menyedari kejadian menimpa Muhammad Shahfly yang parah dipukul sekumpulan pelajar lain.

“Kesilapannya, guru lelaki yang mengajar di kelas berkenaan mengambil sikap berdiam diri selepas menyedari Muhammad Shahfaly dipukul dan tidak memaklumkan kepada guru disiplin hingga menyebabkan pentadbiran sekolah tidak mengetahui kejadian itu.


“Dia langsung tidak menyedari kehadiran pelajar yang bertindak samseng memasuki kelas kerana dilindungi pelajar lain ketika sibuk mengajar subjek Kemahiran Hidup di dalam kelas itu,” katanya selepas melawat mangsa di rumahnya di Simpang Empat, dekat sini, semalam.


Hadir sama, Pengarah Kebudayaan dan Kesenian Negara Perlis, Mohd Rizal Ismail dan Penyelaras Umno Simpang Empat, Abu Bakar Hamzah Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi Jumaat lalu, Muhammad Shahfaly, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Safi parah dibelasah sekumpulan pelajar lain.

Mangsa dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini selepas terkehel tulang bahu dan patah lengan kiri serta luka di kening dibelasah tiga daripada 10 pelajar yang menunggu di tingkat bawah bangunan.


Kejadian hanya disedari bapa mangsa, Anoar Ahmad, 38, selepas melihat anak sulung daripada empat beradik itu dalam kesakitan, dipapah rakan sekelas ketika menjemputnya kira-kira jam 12.15 tengah hari.

Setakat ini, polis menahan empat pelajar mencederakan Muhammad Shahfaly di rumah masing-masing di sekitar Simpang Empat, Ahad lalu.


Mansor berkata, empat pelajar berkenaan bakal berhadapan tindakan disiplin termasuk kemungkinan dibuang sekolah.


“Kami menyerahkan kepada Jawatankuasa Disiplin SMK Syed Safi yang diarah bermesyuarat serta-merta membuat keputusan serta mengambil tindakan terhadap empat pelajar membelasah Muhammad Shahfaly.


“Bagaimanapun, memandangkan empat pelajar ditahan, kami menyerahkan kepada polis menyiasatnya terlebih dulu,” katanya Sebelum itu, Mansor hadir ke SMK Syed Safi bersama beberapa pegawai JPN serta mengadakan perjumpaan dengan guru untuk mendapatkan gambaran kejadian berkenaan.


Beliau berkata, empat pelajar ditahan polis itu dilaporkan ponteng sekolah kerana semakan mendapati tiada rekod kehadiran kelas.


“Semua pelajar terbabit didapati hadir ke sekolah dengan lengkap berpakaian seragam, tetapi tidak memasuki kelas. Tiga penuntut tingkatan tiga manakala seorang lagi di tingkatan dua sekolah berkenaan,” katanya.


Sementara itu, Muhammad Shahfaly berkata, dia risau kembali ke sekolah dan tetap dengan keputusan bertukar ke sekolah lain selepas kecederaannya sembuh.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Gurutidaksedar/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...