Monday, March 21, 2011

Liga Arab bantah serangan

KAHERAH: Pemimpin Liga Arab semalam berkata, pihaknya membantah serangan tentera Barat ke atas orang awam Libya walaupun pertubuhan itu menyokong pelaksanaan zon larangan terbang di negara itu.

Dalam kenyataan disiarkan agensi berita rasmi Mesir, Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa, berkata dia memanggil mesyuarat tergempar bagi membincangkan situasi terkini di rantau berkenaan.


“Apa yang berlaku di Libya berbeza daripada matlamat pelaksanaan zon larangan terbang.

“Kami mahukan perlindungan terhadap orang awam dan bukan pengeboman lebih ramai rakyat tidak berdosa,” katanya.


Amr berkata, dia menuntut laporan rasmi mengenai apa yang berlaku di Libya sehingga ramai orang awam negara itu terbunuh.


“Saya mahukan data sepenuhnya untuk mengetahui apa berlaku,” katanya.

Sementara itu, di Limassol, Cyprus, kerajaan negara itu menentang sebarang penggunaan pangkalan tentera Britain di situ untuk melaksanakan larangan terbang di Libya.


Bagaimanapun, kerajaan berkata, mereka tidak berkuasa menghalang pembabitan Britain.

Ketika ini Britain memiliki dua pangkalan tentera di Cyprus.


Sebuah pusat kawalan bagi menyelaras operasi Britain di Libya dibuka di Akrotiri, selatan Cyprus. - Reuters


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/LigaArabbantahserangan/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...