Sunday, March 13, 2011

Tokyo lumpuh

TERSADAI... sebuah kapal diheret arus kuat  dan  tersadai di kawasan bandar Miyagi.
TERSADAI... sebuah kapal diheret arus kuat dan tersadai di kawasan bandar Miyagi.
KEMUSNAHAN BESAR... tsunami menenggelami kawasan Sendai, timur laut Jepun.
KEMUSNAHAN BESAR... tsunami menenggelami kawasan Sendai, timur laut Jepun.

TOKYO: Gempa bumi paling kuat dalam sejarah yang melanda Jepun kelmarin bukan saja membawa kemusnahan besar, malah melumpuhkan bandar moden dunia ini.

Kesan daripada gempa bumi sekuat 8.9 skala Richter itu mengakibatkan sistem pengangkutan kereta api elektrik dan komuter yang membawa jutaan penumpang setiap hari lumpuh, talian komunikasi terputus manakala ratusan penduduk terperangkap dalam lif.


Penduduk sebelum ini bangga dengan teknologi moden yang melengkapi Tokyo dan bergantung kepada kecekapan sistem pengangkutan awam dalam melakukan pekerjaan harian, namun disebabkan kerosakan teruk, pihak berkuasa terpaksa membatalkan hampir semua perkhidmatan itu.

Pekerja restoran, Akira Tanaka, 54, berkata gempa bumi sekuat itu tidak pernah dialaminya dan dipercayai melanda setiap 100 tahun.


“Disebabkan sistem pengangkutan terhenti, buat pertama kali dalam hidup, saya terpaksa berjalan kaki sejauh 20 kilometer untuk pulang ke rumah,” katanya.


Penduduk, Tomoko Suzuki berkata, dia dan ibunya tidak dapat pulang ke kediaman mereka yang terletak di tingkat 29 kondominium kerana kerosakan lif.

“Kami juga tidak dapat mencari teksi untuk pergi ke rumah saudara atau menempah bilik hotel berdekatan. Suhu sangat sejuk dan kami tidak lagi tahu hendak buat apa,” katanya.


Walaupun pusat bandar itu tidak terputus bekalan elektrik, kebanyakan lif gagal berfungsi akibat kerosakan atau dihentikan sebagai langkah berjaga-jaga manakala di kawasan pinggir ibu negara Jepun itu, jutaan kediaman dan bangunan bergelap akibat ketiadaan elektrik.

Menurut laporan Kementerian Pengangkutan Jepun, 163 penduduk terperangkap dalam lif dengan 75 masih belum dikeluarkan sehingga pagi semalam.


Puluhan ribu penduduk yang terperangkap di stesen kereta api pula terpaksa berteduh di kafe, hotel dan pejabat kerajaan yang menawarkan tempat berlindung.


Talian telefon bimbit yang terputus menyebabkan orang ramai terpaksa beratur di pondok telefon sekitar bandar Tokyo.


Syarikat komunikasi Jepun, Nippon Telegraph and Telephone Corp (NTT) turut menyediakan talian kecemasan dan Internet khas bagi memudahkan orang ramai menghantar mesej kepada keluarga dan rakan.


Jurucakap NTT, Mai Kariya bagaimanapun berkata, hampir 90 peratus panggilan yang dibuat terpaksa disekat akibat sistem telekomunikasi melebihi bebanan.


“Pihak kami kini melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap kerosakan menara dan kabel,” katanya.


Sehingga semalam, beberapa perkhidmatan kereta api bawah tanah beroperasi semula selepas terputus selama enam jam dan diteruskan walaupun melebihi waktu biasa.


Langkah itu kebiasaannya diambil jika perkhidmatan terbabit berdepan masalah, namun apabila pengendali sistem pengangkutan itu mengumumkan penangguhan operasi hampir semua kereta api, orang ramai membanjiri jalan raya.


Pihak berkuasa tempatan menawarkan lebih 60 pejabat kerajaan, kampus universiti dan beberapa tempat lain sebagai penempatan sementara kepada orang ramai untuk bermalam.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tokyolumpuh/Article/artikelMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...