Monday, May 16, 2011

Pemuda Umno berhimpun bantah Ladang Rakyat

M Faqih dan Rizal Tahir

KOTA BHARU, 16 Mei: Kira-kira 200 Pemuda Umno berhimpun di perkarangan pintu masuk Kota Darul Naim yang menempatkan pejabat Menteri Besar pagi ini bagi membantah projek Ladang Rakyat.

Mereka memakai baju Umno dan lambang 1Malaysia membantah projek Ladang Rakyat anjuran kerajaan negeri yang kini menjadi sumber pendapatan lebih 4,300 rakyat miskin di negeri itu.

Dengan memakai kain lilitan kepala bertulis 'Gelombang Merah' mereka membuat bising di hadapan pintu masuk utama ke Kota Darulnaim yang juga menempatkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

Perhimpunan bermula jam 9 pagi apabila pemuda yang memakai baju berwarna merah berlogo Umno mulai tiba sedikit demi sedikit. Mereka turut membawa sepanduk bagi mengecam projek Ladang Rakyat.

Selepas Ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Safian sampai pemuda dan segelintir penyokong veteran Umno yang berselerakan di kawasan taman di hadapan SUK beredar ke tempat jalan di mana sebuah pacuan empat roda digunakan sebagai tempat berucap.

Kawalan di kawasan itu agak ketat apabila ramai anggota polis yang berpakaian seragam termasuk FRU dan trafik berkawal. Pintu masuk ke SUK ditutup di mana orang yang datang berurusan tidak dibenarkan masuk.

Ucapan pemuda Umno dimulakan oleh bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Wan Khairul Wan Ihsan. Beliau mendakwa perhimpunan pemuda Umno itu sebagai tanda kebangkitan awal pemuda Umno Kelantan.

Seorang lagi pemuda Umno dengan megah memberitahu Umno berjaya membina jambatan Sultan Yahya Kedua biar pun lewat disiapkan berbanding projek Ladang Rakyat di bawah kerajaan negeri.

Seorang pemuda lain yang juga memakai baju berwarna merah menarik tangan rakannya yang berada agak jauh daripada tempat perhimpunan dengan menyebut 'jangan pula takut hendak masuk rapat'.

Malah seorang peserta perhimpunan tersebut membisik kepada rakannya lebih baik kita balik sahaja.

Beberapa penduduk Orang Asal juga kelihatan. Wanita yang memakai pakaian parti itu juga juga hadir biar pun jumlahnya tidak ramai. Turut kelihatan Pengerusi Biro Agama Pemuda Umno Pusat, Affendi Yusof.

Akhirnya, kira-kira jam 10.10 pagi, Anuar Safian menyerahkan 'memo rakyat' kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yussof di hadapan pagar Kota Darulnaim dengan kawalan ketat anggota pasukan keselamatan.

Turut kelihatan Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman dan timbalan Speaker, Mohd Zaki Ibrahim.

Seminggu lalu difahamkan Umno menghantar khidmat pesanan ringkas dengan mengarahkan setiap bahagian menghantar 500 orang, namun yang hadir hari ini hanya tidak sampai 500 orang.

Apa yang jelas perhimpunan tersebut bukan membabitkan rakyat yang sebelum ini mendakwa Ladang Rakyat merampas tanah mereka, sebaliknya Pemuda Umno pula mengambil kesempatan.

Projek Ladang Rakyat dimulakan kerajaan negeri pada 2006 untuk membantu rakyat miskin di mana setiap peserta diberi dividen RM200 sebulan.

Projek ini dan Bazar Tok Guru menjadi sasaran Umno Kelantan melalui gelombang merahnya bagi menyerang kerajaan negeri.

Bagi kerajaan negeri, Umno sangat takut terhadap kejayaan kedua-dua projek terbabit kerana parti itu tidak ada harapan untuk menawan semula Kelantan seperti diimpikan ramai pemimpin Umno.

Ekoran itu pelbagai usaha dibuat untuk mempastikan ia tidak berjaya dan dibantah rakyat. RTM menjadikan agenda berita 'rampasan tanah' sebagai bahan provokasi bagi menghasut rakyat.

Projek Bazar Tok Guru yang bakal menjadi mercu tanda baru perniaga kecil di negeri ini juga mendapat serangan bertubi-tubi Umno dengan berselindung di sebalik persatuan peniaga.

Namun sekarang peniaga tidak lagi mengendahkan Umno dan ramai sudah berdaftar untuk berniaga di bazar terbabit.

Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat diberi tanggungjawab mengurus kira-kira 50,000 ekar tanah bagi melaksanakan program pembangunan ladang kelapa sawit. Pulangannya diberi manfaat kepada rakyat.

Projek pertama bagi pembangunan tersebut melibatkan kawasan seluas 10,000 ekar di Lubok Bongor dan sembilan lagi lokasi lain.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz sebelum ini berkata, kerajaan negeri tidak memberi sumbangan ‘one-off’ kepada rakyat miskin sebaliknya mewujudkan ladang untuk mendapatkan hasil sebelum diagih kepada mereka.

Katanya, melalui program itu rakyat miskin diberi dividen sebanyak RM200 sebulan daripada hasil keuntungan ladang yang diusahakan dengan kerjasama syarikat swasta.

“Program ini bukannya semata-mata untuk menampung perbelanjaan hidup, tetapi ia merupakan program pendidikan kewangan dan peningkatan taraf hidup. Rakyat miskin akan memasuki ‘akademi ladang rakyat’, sebagai peserta program,” ujarnya.

Tambahnya, mereka akan dibantu sehingga menjadi ‘graduan’ daripada akademik berkenaan, dan diharap dapat keluar dari garis kemiskinan.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob berkata, keunikan program terbabit iaitu tanah-tanah kerajaan yang diberi milik kepada Ladang Rakyat atas nama Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat.

“Pemilihan syarikat pemaju dibuat menerusi tawaran terbuka. Melalui program ini syarikat diberi hak untuk membangunkan tanah dengan tanaman kelapa sawit dan membayar setiap awal tahun kepada Akaun Amanah Peserta Program Ladang Rakyat," katanya.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/3298-pemuda-umno-berhimpun-bantah-ladang-rakyat

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...