Wednesday, June 22, 2011

Lajim: Pastikan Sabah kekal 'simpanan tetap' BN

Lajim: Pastikan Sabah kekal 'simpanan tetap' BN
Jun 15, 11 11:03am

Pemimpin dan ahli parti komponen BN di Sabah perlu meningkatkan momentum sedia ada bagi memastikan negeri ini kekal sebagai "simpanan tetap" BN pada pilihan raya umum akan datang.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin, berharap isu yang menjejaskan kekuatan BN, termasuk tuntutan kerusi oleh parti kompenan BN untuk bertanding pada pilihan raya akan datang, tidak dibangkitkan atau dibincangkan secara terbuka dalam media.

"Sepatutnya tumpuan kita sekarang ialah memperkasa parti masing-masing di samping melaksanakan tanggungjawab kepada ahli dan parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Juara Rakyat bagi peringkat daerah mengundi Tempurung, dekat Kuala Penyu.

Lajim yang juga pengerusi BN bagi Parlimen Beaufort, berkata demikian ketika diminta mengulas isu tuntutan dan pembahagian kerusi parti komponen BN yang mula disuarakan melalui media cetak.

Beliau berkata, walaupun setiap parti kompenan BN berhak menyuarakan pendapat serta pandangan mereka bagi menuntut kawasan yang bakal mereka tandingi, namun kenyataan terbuka melalui media boleh mengeruhkan suasana, sekali gus boleh menjejaskan momentum perpaduan BN yang sedia ada di negeri ini.

"Isu ini sepatutnya dibangkitkan dalam perbincangan tertutup dan ia akan diputuskan dalam semangat BN dan biarlah pucuk pimpinan BN memutuskannya," katanya.

Lajim melnyifatkan pilihan raya umum akan datang sebagai getir dan memerlukan BN membuat persediaan rapi serta menyeluruh bagi membolehkannya terus kekal sebagai parti yang memerintah di peringkat negeri dan Persekutuan.

"Keadaan ini tidaklah menggambarkan bahawa BN atau Umno sekarang berada dalam situasi lemah dan tidak kuat. Bagaimanapun, kita perlu bekerja keras bagi memastikan BN mencapai kejayaan yang cemerlang," katanya.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/166952

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...