There was an error in this gadget

Saturday, July 30, 2011

Bebas tahanan EO tanda BN tertekan

Posted by admin on July 30th, 2011

Barisan Nasional (BN) tidak sanggup berhadapan dengan risiko politik dengan kemerosotan populariti dan sokongannya ekoran tindakan menahan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) sejak awal bulan ini, kata Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar malam ini.Sehubungan itu tegas beliau, keputusan pentadbiran Najib membebaskan keenam-enam mereka adalah langkah politik dan bukannya kerana tindakan profesional polis.

Dr Jeyakumar, 56, dan lima yang lain iaitu setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, A.P.Letchumanan, 49, anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, 33 dan M.Sukumaran, 50, timbalan pengerusi PSM, M. Sarasvathy, 58, dan pemimpin pemuda, R. Sarat Babu, 25, dibebaskan petang ini dalam satu tindakan mengejutkan banyak pihak.

“Mereka (BN) semakin kehilangan populariti dan sokongan rakyat memandangkan ia sangat tinggi kos dari segi politik bagi mereka untuk kekal menahan kami (di bawah Ordinan Darurat),” kata beliau kepada pemberita selepas berucap di hadapan penyokongnya di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur di sini.

Justeru Dr Jeyakumar memberitahu, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak petang tadi bahawa pembebasan mereka adalah selaras dengan undang-undang negara dan keputusan itu dibuat berdasarkan pemerhatian polis.

“Tidak, ia sudah tentu disebabkan tekanan daripada rakyat. Seleps lebih sebulan, tiada petanda sokongan awam kepada kami menurun, sebaliknya, ia mengalami peningkatan.

“Orang ramai berjalan, berpuasa di semua tempat. Ia menjadi satu keadaan (berisiko) yang terlalu besar bagi mereka,” kata beliau lagi.

Dr Jeyakumar menambah, Najib mengambil langkah bijak dengan membenarkan mereka dibebaskan sebelum keadaan bertambah buruk ke atas kerajaan.

“Ini bukan kerana polis sudah sedar ataupun menjadi jujur dan profesional. Tidak, mereka tidak,” katanya lagi.

Kata beliau, polis meletakkan keenam-enam mereka dalam tahanan untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia daripada menyuarakan pandangan mereka.

“Tetapi ia tidak menjadi. Orang ramai berani dan disebabkan mereka, saya bebas hari ini,” kata wakil rakyat penggal pertama ini.

Ketika ditanya mengenai tindakan susulan, Dr Jeyakumar berkata, beliau kemungkinan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan ke atas pihak berkuasa berhubung tindakan menahan mereka secara tidak sah.

“Tetapi kami baru sahaja keluar dan kami kena duduk dan berbincang,” katanya lagi.

Petang tadi, Najib berkata kerajaan menerima baik keputusan polis membebaskan enam aktivis PSM termasuk Dr Jeyakumar, yang ditahan di bawah Ordinan Darurat selama 28 hari.

Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat berdasarkan pengamatan dan siasatan yang dilakukan oleh polis.

Bagaimanapun, beliau berkata terpulang kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan selanjutnya terhadap enam aktivis tersebut.

Mereka ditahan pada 2 Julai lepas di Seberang Prai, Pulau Pinang mengikut Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan).

Terdahulu, mereka ditahan bersama 24 yang lain dalam sebuah bas persiaran di Plaza Tol Sungai Dua, Kepala Batas pada 25 Jun dan didakwa di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana cuba melancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong.


http://www.kl-today.com/2011/07/bebas-tahanan-eo-tanda-bn-tertekan/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...