Tuesday, July 5, 2011

Empat sasterawan negara gesa bebas semua tahanan BERSIH

Selasa, 05 Julai 2011 12:51
Ditulis oleh Nujumraja

Empat sasterawan negara tampil menggesa semua yang ditahan menjelang perhimpunan BERSIH 2.0 yang dijadual Sabtu ini dibebaskan segera.
Dalam kenyataan bersama Datuk Shahnon Ahmad, Muhammad Haji Salleh, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Dr Anwar Ridhwan berkata mereka juga berharap pintu rundingan sentiasa dibuka.

"Kami juga menggesa supaya mereka yang ditahan dibebaskan segera, dan wakil mereka diajak berunding. Suasana dan kesan positif hendaklah merupakan hasil yang diharapkan," kata mereka.

Mereka berkata, sebagai sebuah negara maju yang memilih demokrasi sebagai landasan falsafah dan amalan politik, Malaysia harus dapat mengimbangkan kebebasan bersuara dan kesejahteraan awam.

Setakat hari ini, sekurang-kurang 23 orang masih ditahan polis berkaitan perhimpunan BERSIH dengan enam daripadanya bawah ordinan darurat.

Sementara itu, keempat-empat mereka turut membela seorang lagi rakan mereka Sasterawan Negara Datuk A Samad Said (atas, kanan sekali) yang disiasat polis ekoran bacaan puisinya "Unggun-Bersih" yang dibacakan dalam majlis pelancaran BERSIH 2.0 sebelum ini.

"Di sebuah negara seperti Malaysia, kebebasan bersuara dan berkarya merupakan salah satu jaminan prinsip demokrasi.

"Pada pandangan kami SN (Sasterawan Negara) Datuk Dr A Samad Said hanya memanfaatkan bakat seninya untuk menzahirkan pandangan serta tafsirannya terhadap isu semasa berhubung proses pilihan raya negara ini," katanya.


http://www.penangdaily.com/index.php/Politik/empat-sasterawan-negara-gesa-bebas-semua-tahanan-bersih.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...