Thursday, July 28, 2011

Mahkamah Rayuan sahkan pembebasan KP Felcra

Jul 28, 11 5:05pm

Mahkamah Rayuan hari ini mengesahkan pembebasan bekas Ketua Pengarah Felcra, Datuk Mustapa Juman, daripada tuduhan melakukan pecah amanah membabitkan RM40 juta.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Sulaiman Daud memutuskan bahawa tiada sebab bagi panel itu untuk campur tangan dengan fakta dapatan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi berhubung keputusan mengenai pembabitan Mustapa dalam pemindahan wang.

Oleh itu, Hakim Sulaiman yang bersidang berhubung rayuan itu dengan Hakim-Hakim Datuk Azhar Ma'ah dan Datuk Mohamed Apandi Ali menolak rayuan akhir yang dibawa pihak pendakwaan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi berhubung pembebasan Mustapa.

Panel hakim membuat keputusan itu selepas mendengar penghujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd Abbas, bagi pihak pendakwaan dan peguam bela V Rajadevan dan Mohd Fozi Md Zain yang mewakili Mustapa.

Rajadevan memberitahu pemberita bahawa mahkamah sudah memutuskan bahawa tidak berlaku pecah amanah kerana arahan memindahkan wang bukan datang daripada responden (Mustapa).

Selepas mahkamah mengumumkan keputusan itu, Mustapa, 64, kelihatan menangis dan memeluk peguamnya.

Pada 3 Disember, 1999, Mustapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga tuduhan melakukan pecah amanah terhadap wang Felcra berjumlah RM40 juta di Pejabat FELCRA, Tingkat 3, Bangunan Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Jalan Bukit Bintang di Kuala Lumpur pada 6, 7 dan 9 Mei, 1997.

Pada 15 Mei, 2009, Mahkamah Tinggi menolak rayuan pendakwaan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 30 Mac 2006 yang melepaskan dan membebaskannya daripada tuduhan.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/171331

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...