Sunday, July 24, 2011

PACE kesal pertemuan Zahid-Ehud Barak

SELASA, 28 JULAI 2009 03:54 PROF MADYA DR HAFIDZI MOHD NOOR

zahid hamidi

Pertemuan antara Menteri Pertahanan Malaysia, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak merupakan satu lagi gurisan hati terhadap para pejuang keamanan dan pembebasan Palestin khususnya dan para pencinta keamanan seluruh dunia umumnya. Israel yang terkenal dengan sifat kejam dan tidak berperikemanusiaan adalah satu entiti haram yang diwujudkan di atas tanah Palestin yang dirampas.

Sudah tentu pertemuan Menteri Pertahanan Malaysia yang beragama Islam dan dengan agama rasmi negara juga adalah agama Islam itu menggambarkan betapa tidak sensitifnya menteri tersebut terhadap penderitaan rakyat Palestin yang berjuang selama lebih 60 tahun untuk membebaskan tanah air mereka daripada penjajah kejam zaman moden iaitu rejim haram Israel.

Selama 60 tahun Israel telah menunjukkan sikapnya yang sombong dan mengetepikan kesemua resolusi antarabangsa yang mahukan rejim ganas itu berundur dari wilayah Palestin yang diduduki. Malangnya mereka bukansetakat tidak mengendahkan saranan antarabangsa malah terus-menerus membunuh rakyat Palestin yang bangun menentang pendudukan haram Israel. Langkah Menteri Pertahanan Malaysia bertemu dengan Ehud Barak tidak akan mendatangkan sebarang manfaat kepada perjuangan umat Islam Palestin sebaliknya akan mengundang mudarat yang lebih besar kepada umat Islam di Palestin. Ini disebabkan pertemuan ringkas ini akan dieskploitasi habis-habisan oleh media barat yang pro-Israel dengan menggambarkan kesediaan sebuah negara umat Islam seperti Malaysia melakukan hubungan dua hala. Ini akan dijadikan ‘lesen’ untuk bertindak lebih kejam ke atas umat Islam di Palestin.

Perjuangan membebaskan bumi Palestin menuntut solidariti umat Islam seluruh dunia. Bagaimanapun, pertemuan Menteri Pertahanan Malaysia ini seperti bergerak ke belakang dan memecahkan kesatuan umat yang cuba dibina bukan sahaja oleh masyarakt Islam tetapi juga seluruh masyarakat dunia. Seluruh dunia mengutuk kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin sejak 60 tahun lalu tetapi apa yang dilakukan oleh menteri Malaysia ini seperti menggadai prinsip keadilan sejagat, apatah lagi dirinya sebagai seorang Islam yang menuntut lebih daripada itu iaitu persaudaraan Islam.

PACE mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi bertemu dengan Menteri Pertahanan Rejim Haram Israel atas alasan apa sekalipun. Perkara seperti ini tidak sepatunnya berlaku dan beliau wajib meminta maaf kepada para pejuang keamanan diseluruh dunia dan secara khusus kepada rakyat Palestin yang ditindas.

PACE (Pusat Kecemerlangan Palestin)
24 Julai 2009
Kuala Lumpur


http://www.malaysiaharmoni.com/v2/index.php/kolumnis/prof-madya-dr-hafidzi-mohd-noor/59-pace-kesal-pertemuan-zahid-ehud-barak

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...