Monday, July 18, 2011

SPR: Pembangkang hanya bercakap sahaja...

Jul 17, 11 1:40pm

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata setakat ini pembangkang tidak membawa bukti atau petisyen mengenai pengundi hantu.

"Mereka hanya bercakap sahaja," tulis beliau dalam Mingguan Malaysia hari ini.

NONE"Sepatutnya mereka membawa mereka yang dikatakan pengundi hantu untuk diambil tindakan.

"Mereka hanya membawa senarai tetapi bila diperiksa, nama-nama tersebut adalah pengundi yang sah," tulisnya di halaman 6 akhbar mingguan tersebut.

Menurut Abdul Aziz, apa yang dikatakan pengundi hantu adalah pengundi yang tidak tinggal di tempat mereka mengundi.

"Apabila hari mengundi, mereka balik mengundi. Mereka ini tidak memaklumkan kepada JPN atau SPR. Tetapi mereka ini adalah pengundi yang sah.

"Pengundi hantu sebenarnya adalah mereka yang menggunakan pengenalan diri orang lain," tambahnya.

Dalam tulisannya itu, Abdul Aziz berkata, pada mulanya penganjur BERSIH datang berjumpa dengan SPR akhir tahun lalu dan menurutnya, itulah pertama kali mereka memohon untuk berjumpa dengan suruhanjaya tersebut.

Katanya, mereka membawa 17 tuntutan dalam perjumpaan tersebut yang berlangsung dalam suasana baik "dan saya sebagai pengerusi SPR menerangkan satu demi satu, dan ada yang mereka tidak puas hati".

"Selepas itu tidak ada perjumpaan lagi., Pada April lalu mereka mahu berjumpa dengan SPR tetapi ketika itu di pihak SPR sibuk kerana pilihan raya Sarawak," katanya sambil menambah SPR mencadangkan perjumpaan diadakan selepas pilihan raya negeri tersebut.

"Bila tidak dapat mengadakan perjumpaan dengan SPR, saya mendapat berita mereka akan mengadakan demonstrasi jalanan. Mereka mengambil tindakan lain, iaitu menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Saya difahamkan daripada 17 tuntutan itu, hanya tinggal lapan tuntutan sahaja. Kerana itu saya fikir tujuan mereka untuk menambahbaikkan sistem pilihan raya yang ada hanya dalih saja," katanya.

Dalam lapan tuntutan tersebut, kata Abdul Aziz, hanya empat sahaja yang ada hubungan dengan SPR - pertama membersihkan daftar pemilih; kedua, mengenai undi pos; ketiga, penggunaan dakwat kekal; dan keempat, tempoh berkempen 21 hari .

"Sebenarnya setiap hari SPR membersihkan daftar pemilih. Tetapi SPR tidak boleh membersihkan sendiri sebaliknya memohon kepada pengundi sendiri.

"Kalau ada yang tidak betul, tolonglah mengisi borang A. Ini kerana sebarang pindaan mesti dibuat secara teratur dan ditandatangani sendiri oleh pengundi itu," katanya.

Abdul Aziz berkata, bila ada tandatangan tersebut, barulah SPR membuat tindakan dan perlu menyemak nama-nama pemilih dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Mengenai undi pos pula, beliau berkata, SPR tidak boleh menghapuskan sama sekali undi pos kerana banyak anggota tentera, polis serta rakyat Malaysia yang berada di luar negara dan mereka ada hak untuk mengundi.

Katanya, SPR membuat penambahbaikan untuk dijalankan pada pilihanraya umum ke-13, iaitu.

- Undi undi awal - mengundi awal dua atau tiga hari daripada hari mengundi;

- Tidak lagi menggunakan sampul surat A atau B;

- Tidak menggunakan borang identiti tetapi mengundi seperti pengundi lain pada hari mengundi; dan

- Pengundian akan disaksikan oleh wakil parti yang bertanding.

"Sekarang ini, undi pos hanya lebih kurang 200,000 daripada 12 juta pengundi," kata Abdul Aziz sambil menambah, di kawasan yang diadakan undi pos, kebanyakannya dimenangi pembangkang.

Menurutnya, teradapat 19 kerusi parlimen kerusi yang mempunyai bilangan undi pos yang ketara - Perak (7), Selangor (1), Pulau Pinang (1), Kedah (1), Negeri Sembilan (2), Kuala Lumpur (6) dan Sarawak (1).

Daripada jumlah tersebut, kata beliau, 14 daripadanya dimenangi oleh pembangkang.

"Di Kuala Lumpur, ada sebelas kawasan parlimen, sepuluh dimenangi oleh pembangkang dan hanya satu oleh BN. Adakah ini menunjukkan pilihan raya kita tidak demokratik.

"Begitu juga banyak kerusi pembangkang yang tidak pernah kalah seperti di 14 kerusi parlimen," katanya sambil menambah, begitu juga dengan 16 pilihan raya kecil di mana lapan daripadanya di menangi pembangkang dan dalam pilihan raya Sarawak DAP dapat 12 kerusi, berbanding enam sebelumnya.

Mengenai pengunaan dakwat kekal, Abdul Aziz berkata ia memerlukan pindaan Perlembagaan Malaysia.

"Sebab dalam perlembagaan Malaysia, individu yang tertentu saja yang tidak boleh mengundi tetapi tidak tercatat mereka yang ada dakwat di jari. Tidak ada dalam perlembagaan kita, orang yang ada dakwat di jari tidak boleh mengundi," jelasnya.

Sebagai pilihan, katanya, SPR mencadangkan penggunaan sistem biometrik yang lebih ke depan dan berteknologi tinggi.

Mengenai tempoh berkempen 21 hari, Abdul Aziz berkata, sebenarnya SPR tidak menolaknya tetapi boleh dibincangkan, bagaimanapun, bukanlah 21 hari seperti yang dituntut.


http://malaysiakini.com/news/170170

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...