Monday, August 1, 2011

Perkasa bantah 2 menteri dari MIC

Posted by admin on July 31st, 2011

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali mengingatkan MIC yang dua kerusi menteri penuh yang mereka miliki akan ‘hilang’ sekiranya parti itu sekali lagi gagal mendapatkan sokongan masyarakat India dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.Katanya, ramai yang terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pertambahan kerusi menteri untuk parti itu sedangkan MIC tewas teruk dalam pilihan raya sebelumnya.

Namun, kata Ibrahim, Perdana Menteri lebih tahu apa yang tersirat di sebalik pengumuman berkenaan.

” Kalau kaum India masih tidak mahu berterima kasih dan tidak menang dalam pilihan raya akan datang, maka dua kerusi kabinet itu akan hilang, saya lihat pertambahan kerusi menteri ini hanya untuk menguji sejauh mana sokongan kaum itu kepada Barisan Nasional (BN),” katanya pada Mynewshub.my di sini hari ini

Najib semalam mengumumkan MIC, parti komponen BN itu, akan menerima satu lagi jawatan menteri penuh — amalan yang dipraktikkan ketika pentadbiran bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak.

Dengan keputusan itu kata Najib, Presiden MIC Senator Datuk G. Palanivel akan dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi membuktikan komitmen pentadbirannya ke atas masyarakat India.

Permintaan agar BN memperuntukkan jawatan menteri penuh kedua telah dibuat sejak era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya hendak kembali ke era Tun Razak apabila ada (wakil) India Malaysia dalam Kabinetnya,” kata beliau ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MIC di sini semalam.

Najib berkata Yang di-Pertuan Agong sudah memberi perkenan atas keputusannya dan Palanivel, kini merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Perusahaan dan Komoditi, akan mengangkat sumpah dalam waktu terdekat.

Palanivel dilantik sebagai senator pertengahan tahun lalu. Beliau tewas dalam pilihan raya umum Mac 2008 dan gagal menjadi calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor April 2010.

Sebagai kompromi beliau dilantik menjadi anggota Dewan Negara dan dijadikan timbalan menteri.

Beliau menggantikan Datuk Seri S Samy Vellu sebagai Presiden MIC pertengahan Disember lalu.

Ini perhimpunan agung pertama baginya selaku ketua MIC.


http://www.kl-today.com/2011/07/perkasa-bantah-2-menteri-dari-mic/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...