Ogos 29, 11
12:21pm
"Setelah mendengar kembali ucapan saya dan dibandingkan dengan laporan muka depan dan muka lima Utusan (27 Ogos) dan kecaman berterusan akhbar (itu) bertarikh 28 Ogos, saya dapati Utusan telah memutar belit (dan) menambah cerita yang menimbulkan fitnah terhadap saya dan PAS," katanya pada sidang media di Kompleks PAS Perlis hari ini.
Dalam laporan berkenaan, akhbar milik Umno itu mendakwa pemimpin kanan PAS tersebut berkata pengganas dalam Kompeni Pasukan Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah sebagai hero sebenar.
"Saya agak lambat menjawab isu ini kerana saya mahu melihat dan mendengar balik apa yang saya katakan di ceramah itu. Pagi ini saya melihat balik videonya dan mendapati apa yang dilaporkan oleh Utusan itu tidak benar sama sekali," katanya.
Akhbar itu pula, kata Mohamad, hanya menyiarkan laporan mengenai ceramahnya di Pulau Pinang itu selepas semingggu.
"Saya ceramah 21 Ogos, Utusan siar 27 Ogos...jadi saya lupa apa yang tepatnya saya cakap, jadi saya tunggu rakaman itu dan pagi ini saya mendengarnya," kata Mohamad.
"Pembohongan yang dilakukan dan reka cerita yang ditambah, sehingga menimbul kegelisahan orang ramai dan menyebabkan saya dikecam, diancam dan difitnah atas berita Utusan," katanya.
Arahan selanjutnya
Menurutnya, beliau akan bertemu dengan peguamnya selepas sambutan Aidilfitri untuk memberikan arahan selanjutnya berhubung perkara berkenaan.
Utusan dalam laporan muka depannya kelmarin menyiarkan Mohamad juga mendakwa Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai polis itu.
Mingguan Malaysia semalam pula menyiarkan berita yang memetik reaksi pelbagai pihak mengecam Mohamad yang kebih dikenali sebagai Mat Sabu. Mereka termasuk penerima Pingat Gagah Berani (PGB) dan Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), bekas pegawai waran 1 Kanang anak Langkau.
Kanang dipetik sebagai berkata Mat Sabu tidak layak mengambil bahagian dalam politik demokrasi di negara ini dan menganggap timbalan presiden PAS itu sebagai "watak penghasut yang sewajarnya dikenakan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)".
Utusan turut memperhebatkan gesaan supaya tindakan ISA dikenakan ke atas Mat Sabu dalam edisinya hari ini.
Antara yang diwawancara yang menggesa ISA digunakan ke atas timbalan presiden PAS itu, termasuk, daripada anak kepada Ketua Balai Polis Bukit Kepong, Sarjan Jamil Md Shah yang terbunuh - Ahmad Jamil dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Tak tahu langsung
Mohamad berkata, selepas mendengar kembali rakaman ucapannya itu, beliau "tidak menyebut langsung nama Mohamad Indera sebagai komunis".
"Bahkan ketua penyerang Goh Peng Tun, saya tidak tahu langsung nama itu sehingga saya membaca Utusan Malaysia.
"Ini dua contoh rekaan Utusan untuk memfitnah saya," katanya, sambil menegaskan lagi, bahawa beliau tidak pernah kenal Goh Peng Tun dan tidak pernah menyebut nama Muhamad Indera sebagai komunis dalam ceramah itu.
"Berikutan dengan penyiaran berita itu, Radio dan Televisyen Malaysia serta TV3 terus menyiarkan dan membuat ulasan terhadap berita Utusan Malaysia itu, seolah-olah saya adalah penyokong perjuangan komunis bahkan saya adalah bapa komunis yang sebenar," katanya lagi.
Rentetan laporan media-media milik Umno itu, pelbagai pihak terutamanya bekas-bekas perajurit dan ahli keluarga mangsa Bukit Kepong menyelar Mohamad dan menuntut orang nombor dua PAS itu meminta maaf secara terbuka serta didakwa di bawah Akta Hasutan.
Tidak terkecuali mengutuknya ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menganggap pemimpin kanan PAS itu buta sejarah serta mengkhianati perjuangan bangsa Melayu dalam menuntut kemerdekaan tanah air.
Mengulas lanjut isu ini, Mohamad berkata penyiaran berita seumpama itu adalah taktik parti pemerintah dengan menggunakan media arus perdana untuk mengalihkan isu sebenar yang lebih besar seperti kepincangan sistem pilihan raya di negara ini.
"Saya tak nampak sangat penyiaran berita ini bertujuan untuk menjatuhkan saya mahupun PAS, tetapi yang lebih besarnya mereka telah digunakan untuk mengalihkan tumpuan rakyat dari isu Suruhanjaya Pilihan Raya, isu pendatang asing sebagai pengundi serta pembongkaran PAS dan BERSIH tentang kotornya daftar pemilih di negara ini.
"Ini yang mereka cuba alihkan dari pandangan orang ramai khususnnya sokonganorang-orang Melayu. Jadi mereka guna ucapan saya yang telah diselewengkan itu untuk mengalihkan isu yang lebih besar," katanya lagi.
http://malaysiakini.com/news/174379
No comments:
Post a Comment