Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Dr Abdul Aziz Bari yang sedang disiasat oleh tiga pihak berhubung kenyataannya tentang titah Sultan Selangor menerima peluru dengan ugutan bunuh hari ini.Aziz menerima sebutir peluru yang dihantar menerusi sampul surat ke rumahnya di Bandar Baru Selayang dekat sini kira-kira 11.45 pagi tadi.“Saya menerima sampil surat dengan sebutir peluru, dengan nota berkata ‘jangan kurang ajar dengan Sultan, maut nanti’,” kata Aziz.
Aziz berkata beliau akan berhubung dengan peguamnya untuk tindakan susulan termasuk membuat laporan polis.
Katanya, bersama peluru itu, diselitkan juga sepucuk surat bertulis: “Jangan kurang ajar dengan Sultan maut nanti”.
“Saya waktu itu baru hendak keluar rumah, dalam perjalanan ke Utara, ke satu program forum dengan (Timbalan Presiden PAS) Mohamad Sabu di Bagan Serai,” katanya yang kini dalam perjalanan bersama keluarganya.
“Saya ada majlis di Ipoh, saya akan membuat laporan polis nanti… anda boleh menghubungi peguam saya untuk maklumat lanjut,” kata beliau yang disiasat oleh pengurusan UIA, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung kenyataannya tentangt titah Sultan Selangor awal bulan ini.
Dalam pada itu peguamnya Dr Zulqarnain Lukman berkata laporan polis akan dibuat esok.
“Saya sudah menghubungi Prof Aziz, dan beliau berkata laporan polis akan dibuat esok,” jelas beliau.
Siasatan polis dan SKMM dijalankan ekoran beberapa laporan polis.
Aziz dilaporkan berkata, tindakan Sultan Selangor campur tangan berhubung isu Gereja Methodist Damansara Utara bukan tindakan yang lazim.
Menurutnya, walaupun sebagai ketua agama Islam negeri baginda mempunyai hak itu, tetapi ia perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.
Ditanya perasaannya sama ada takut, beliau berkata “tidak” kerana pernah mendapat ancaman bertulis sebelum ini ketika mengkritik kepimpinan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelang muktamar pemilihan parti itu pada 2009.
“Saya OK. Saya bukan biadap dengan sultan. Saya bukan kata ‘natang’. Itu jauh sekali.
“Saya cuma bercakap tentang exercise of power,” kata pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.
Pada 23 Mac 2008, sekumpulan orang, dipercayai penyokong bekas Menteri Besar Terengganu dilaporkan mengadakan perhimpunan di hadapan kediaman rasmi menteri besar di Kuala Terengganu sambil membawa kain rentang bertulis “kami nak Idris, natang”.
“Natang”, dalam loghat Terengganu, bermaksud binatang.
Laporan polis itu juga mendakwa kenyataan Aziz boleh mengundang kemarahan umat Islam di selangor serta boleh mencetuskan suasana tidak harmoni, kacau bilau dan tidak tenteram di negara ini.
Sultan sebelum itu bertitah, siasatan Jabatan Agama Islam Selangor mendapati cubaan memesongkan akidah umat Islam dibuktikan tetapi ia tidak mencukupi untuk diambil tindakan undang-undang.
http://www.kl-today.com/2011/10/aziz-terima-peluru-dan-ugutan-bunuh/
No comments:
Post a Comment