Selamatkan aqidah! Cegah murtad! Ayuh ke stadium!
Masih banyak ruang-ruang demokrasi boleh diisi. Salah satu prinsip demokrasi adalah kebebasan untuk bersuara. Kesedaran demokrasi kalangan rakyat makin teserlah sejak BERSIH 2.0. Justeru, satu perhimpunan besar-besaran anjuran HIMPUN akan berlangsung di stadium Shah Alam Sabtu ini untuk menyuarakan pandangan dan penerangan terhadap usaha memurtadkan umat Islam yang dikatakan giat dijalankan di negara ini.
Himpunan ini dinamakan sebagai Himpunan Sejuta Umat dengan tema "Selamatkan Akidah Umat". Secara kasar, kita boleh katakan bahawa himpunan ini merupakan respon yang terhadap peristiwa 3 Ogos lalu yang melibatkan Gereja Methodist Damansara Utama. Untuk itu, HIMPUN mengajak umat Islam dari segenap lapisan untuk menyertai perhimpunan ini sebagai tanda solidariti di samping memperkukuh persaudaraan di antara satu sama lain.
Sebelum kita membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut, ada beberapa perkara yang masih samar dan menimbulkan tanda tanya. Antaranya, apakah maksud tujuan perhimpunan ini benar-benar ikhlas untuk selamatkan akidah umat Islam Malaysia? Apakah rasional perhimpunan ini diadakan? Lebih membingungkan adalah bagaimana permit perhimpunan yang dilihat sensitif ini terlalu mudah diperoleh? Siapakah di sebalik penganjuran himpunan ini dan siapa pula yang akan menanggung akibatnya nanti?
Cuba untuk bersangka baik, kita tidak mahu menyalahkan siapa-siapa berhubung perhimpunan ini. Perhimpunan ini adalah pilihan. Perhimpunan ini mungkin cuma respon terhadap peristiwa agar setiap umat Islam terjaga akidahnya dan dapat masuk syurga. Mungkinlah, sebagai sebuah jangkaan…
Rasional HIMPUN dan persoalan
Untuk mengupas permasalahan akidah dan pindah agama, ia merupakan sebuah perbincangan yang sangat panjang. Walau bagaimanapun, punca kepada masalah pindah agama boleh kenalpasti.
Persoalannya, apakah dengan menghimpunkan seramai mungkin umat Islam di stadium mampu untuk menyelamatkan akidah? Apakah sebenarnya di sebalik kegusaran kita terhadap gejala murtad ini? Perlukah kita menyalahkan pihak lain sedangkan jawapannya ada pada kita sendiri? Ataupun kita tercari-cari di mana letaknya kehebatan Islam sebagai agama yang syumul sedangkan Islam punya penyelesaian terhadap semua masalah umat? Ini adalah persoalan pokok yang harus kita jawab dengan hati yang terbuka dan rasional.
Kristianisasi
Kita harus melihat kembali sejarah. Gerakan kristianisasi telah berlaku sejak zaman penjajahan British lagi di Tanah Melayu dengan pembukaan sekolah-sekolah mubaligh dan sebagainya. Ramai anak-anak Melayu yang bersekolah di institusi berkenaan tetap teguh dengan Islam yang diwarisi dari keluarga mereka.
Harus diakui juga bahawa Kristianisasi di zaman penjajahan lebih kuat berbanding sekarang di mana silibus pendidikan negara sekarang telah dilengkapi dengan subjek agama Islam dan modul lainnya. Akan tetapi, kita berasa hairan mengapa gejala pindah agama ini kian menular di kalangan umat Islam negara kita?
Kedangkalan HIMPUN dan kegagalan institusi agama kita
HIMPUN tidak mampu menjawab persoalan pindah agama ini secara matang. Secara terang, HIMPUN juga nampaknya gagal menilai situasi yang berlaku dan mengambil jalan keluar yang sangat mudah dan akibatnya cuma memperlihatkan kegagalan institusi agama Islam di bawah pentadbiran kerajaan memainkan peranan sebenar mereka dalam memperkukuh akidah dan menjaga kemaslahatan umat Islam. Satu kelemahan yang sukar difahami!
Apakah mungkin disebabkan kekurangan ulama, ahli akademik dan pentadbir yang baik di dalam institusi agama di Malaysia penyebab kepada gejala pindah agama yang kian meruncing ini walhal saban tahun akan ramai sahaja graduan yang tamat pengajian dari timur tengah pulang ke tanah air mencurah bakti?
Mungkinkah juga ia melibatkan kaedah dakwah di Malaysia yang bersifat menghukum dan hitam-putih sukar untuk diterima sebilangan masyarakat kita?
Sebagai umat Islam yang rasional dan realis, kita seharusnya berasa malu apabila isu murtad ditangani dengan emosi. Malaysia yang mempunyai pentadbiran agama Islam yang sistematik seolah-olah tidak mampu untuk melaksanakan tindakan yang serius dan seolah membiarkan pihak lain medahului tanggungjawab mereka.
Sekiranya gejala pindah agama ini disebabkan oleh gerakan Kistianisasi yang modus operandinya melalui cara kebajikan, mengapa pihak berkuasa agama kita tidak serius seperti mereka? Di mana pula fungsi baitulmal dalam pengagihan zakat kepada golongan miskin yang memerlukan?
Apakah cukup dengan mendabik dada berbangga mengumumkan kutipan zakat kian meningkat saban tahun sudah memadai? Di manakah sejumlah besar dana umat Islam ini pergi sehingga terpaksa mengemis di pihak lain?
Lagi-lagi yang keluar hanya persoalan. Dan persoalan-persoalan ini perlulah diselesaikan sebaik mungkin.
Ujian buat PAS: sekali lagi!
Melihat dalam konteks politik, PAS sekali lagi teruji. Di antara publisiti, keutamaan, perjuangan dan kepercayaan penyokong. Apakah HIMPUN benar-benar ikhlas atau ada tangan-tangan politik yang berkepentingan menangguk diair yang keruh?
Inilah bahayanya.
Sekiranya PAS bersetuju untuk menyertai perhimpunan ini, ia bererti PAS sedia untuk menerima risiko yang sangat besar. Parti Islam yang selama ini melaungkan sloganPAS for all cuma akan dilihat sebagai topeng semata-mata hanya disebabkan menyertai perhimpunan yang konon-kononnya mahu menyelamatkan akidah sedangkan segalanya masih tersirat dan sulit untuk dijelaskan. Akhirnya, PAS akan dilabel sebagai puak ekstrimis agama yang tidak mampu lagi berfikir dengan waras. Kita yakin, dengan segala pengalaman yang ada, PAS mampu untuk berbuat yang lebih baik dari menyertai perhimpunan ini.
Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, kita boleh bersetuju bahawa perhimpunan ini mudah dilihat, malah dikhuatiri untuk mengancam keharmonian beragama di negara ini yang dikecapi sejak sekian lamanya - lebih-lebih lagi seandainya tujuannya tidak diperjelaskan sebaik-baiknya kepada seluruh masyarakat.
Percayalah, perhimpunan ini mungkin boleh menyemai bibit kebencian antara rakyat yang berbilang agama, seandainya tidak ditangani dengan baik. Berbeza dengan BERSIH 2.0 yang menuntut satu sistem yang adil untuk semua, HIMPUN dilihat lebih "eksklusif". Lebih-lebih lagi pada saat-saat umat Islam dibelenggu dengan nilai dan kefahaman yang rapuh, mudah dimanipulasi dan gagal untuk berfikir dengan wajar. Mungkin kerajaan perlu keluar dengan penyelesaian alternatif.
*Hafiz Zainuddin ialah kolumnis MerdekaReview.
No comments:
Post a Comment