Saturday, October 1, 2011

ISA DIMANSUH BULAN MAC DEPAN

POSTED BY ADMIN ON SEPTEMBER 30TH, 2011

Usul memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan dibentangkan di Parlimen Mac depan selepas dua undang-undang yang bakal menggantikannya siap digubal, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.Najib berkata janjinya untuk melaksanakan pembaharuan undang-undang akan bermula dengan memansuhkan Akta Buang Negeri dan Akta Kediaman Terhad minggu depan apabila Parlimen mula bersidang.

“Minggu depan saya akan memulakan proses tetapi ISA akan dilakukan (proses pemansuhan) pada bulan Mac kerana perlu menggubal dua undang-undang baru,” kata beliau yang juga Presiden Umno selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi petang ini.

Katanya, pindaan ke atas Akta Polis antara lain bagi membolehkan kebebasan berhimpun akan dibentangkan November ini.

“Yang mana boleh kita buat cepat, kita buat cepat,” kata beliau.

Kata Najib, kerajaan perlu memberi tumpuan supaya langkah menepati hasrat dan tujuan.

“Kita tidak boleh terburu-buru. Ada banyak perkara yang perlu dikaji dengan teliti,” kata beliau.

Najib juga memberitahu bahawa Majlis Tertinggi Umno memberi sokongan penuh kepada pengumuman beliau mengenai perkara itu.

Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia 15 September lalu, Najib mengumumkan ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal.

Undang-undang baru itu akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Selain itu beliau turut mengumumkan pemansuhan Akta Buang Negeri selain akan mengkaji semula secara komprehensif Akta Kediaman Terhad, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan Seksyen 27 Akta Polis.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib menyifatkan penulis lirik dan pembikin filem yang kontroversial Wee Meng Chee sebagai seorang pendukung kuat 1 Malaysia meskipun banyak pihak mahu tindakan dikenakan ke atas penerbit “Nasi Lemak 2.0” kerana didakwa mengkritik negara.

Presiden Umno berkata Wee , yang turut dikenali sebagai Namewee, seorang yang unik dan tidak konvensional dalam pemikiran dan kaedah menyampaikan ideanya.

http://www.kl-today.com/2011/09/isa-dimansuh-bulan-mac-depan/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...