Salmah Mat Husain |
KOTA BHARU, 3 Okt: Sehingga kini Kelantan dianggap kekal sebagai peneraju perubahan dalam melaksanakan program-program bagi kebajikan rakyat. Tahun ini diperkenalkan skim Az Ziwaaj iaitu bantuan ‘one-off’ sebanyak RM1,000 bagi pasangan yang kurang berkemampuan melangsungkan perkahwinan. Selain itu turut diperkenalkan skim al It’aam, beras percuma sebanyak 10 kg kepada 8,100 penduduk miskin di seluruh Kelantan. Dan tahun hadapan Kelantan akan menjadi pelopor penggunaan baja organik di mana peruntukan khas akan disediakan pada Belanjawan 2012 bagi meningkatkan hasil tanaman padi dan sayur-sayuran. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi, Che Abdullah Mat Nawi berkata, selain mendapat pulangan hasil pertanian, penggunakan baja organik juga lebih mesra alam. ”Kerajaan negeri berhasrat memperluaskan penggunaan baja organik yang ternyata boleh medatangkan manfaat besar kepada petani. “Baja organik terbukti mesra alam kerana bebas bahan-bahan kimia. Selain itu tidak menjejaskan habitat lain seperti ikan dan belut. “Langkah ini juga selaras dengan tema Bertani Satu Ibadat yang dilancarkan di Kelantan sejak dua tahun lalu,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kelantan 2011, Dataran Stadium Sultan Muhammad ke-1V, petang semalam. Terdahulu ketika berucap pada majlis itu Che Abdullah berkata, dianggarkan lebih 40,000 pengunjung mengunjungi Hari Peladang sejak diadakan pada 21 September lalu, berlaku pertambahan berbanding tahun sebelumnya. Katanya, program tahunan berkenaan turut mendapat kerjasama agensi-agensi kerajaan Persekutuan. Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, Timbalan Mufti, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohammad dan wakil-wakil rakyat serta pegawai kerajaan. |
No comments:
Post a Comment