Friday, February 18, 2011

Bawa pendakwah China ke Malaysia

Ismail Hashim

Badan-badan Islam disaran berusaha membawa pendakwah dari Negara China terutama golongan Ahong yakni imam yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas di dalam mengamalkan kehidupan beragama untuk tujuan dakwah kepada masyarakat Cina di negara ini.

Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China, berpangkalan di Beijing Foreign Studies University (BFSU), Prof Dr Awang Sariyan (gambar) berkata, Islam yang dibawa ke negara itu sekitar pertengahan abad ke 7 oleh Sahabat Nabi Muhammad bernama Saad Abi Waqas diterima baik oleh Maharaja China dewasa itu.

Menurutnya, sehingga kini jumlah umat Islam di negara Asia Timur itu sekitar 70 juta dengan nilai keIslaman dan syiar agama yang hebat seperti pintu gerbang ke kediaman mereka yang bertulis Basmallah dan Allah Muhammad.

Prof Awang menyampaikan ucapan itu dalam majlis Syarahan Sarjana Pelawat anjuran Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam di sebuah pusat pengajian tinggi di Shah Alam, 16 Februari lalu.

Ucapan sekitar dua jam bertajuk Kembara Bahasa di China; Memupuk Kerjasama Ketamadunan Melayu-China itu banyak memberikan input baharu kepada khalayak pendengar dengan bentuk penyampaian beraudio visual.

Turut hadir di dalam majlis itu adalah ketua jabatan, pensyarah kanan, pensyarah dan staf yang kelihatannya sangat berpuas hati dengan pendedahan maklumat termasuk hubungan Malaysia China, perkembangan agama dan kemajuan Bahasa Melayu mutakhir.

Prof Dr Awang Sariyan adalah Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China, berpangkalan di Beijing Foreign Studies University (BFSU) sejak awal 2008.

Sebelumnya Pengarah Jabatan Bahasa DBP, Profesor Bahasa di UPM dan di UM; tenaga akademik UIAM, Universiti Brunei Darussalam dan UPSI; Profesor Tamu Pusat Pengajian Asia Tenggara, Universiti Frankfurt, Jerman dan Universiti Sumatera Utara; Perunding Seberang Laut Kementerian Pendidikan Singapura.

Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (2000-2008) dan anggota Kumpulan Perihatin; pernah aktif dalam Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM).

Penyampai lebih 200 ucap utama, syarahan, kertas dasar dan kertas kerja di dalam dan di luar negara (Australia, Belanda, Brunei Darussalam, Indonesia, Jerman, Kampuchea, Korea Selatan, Perancis, Rusia, Republik Rakyat China, Singapura, Sri Lanka, Thailand); penatar kurus bahasa dan penulisan profesional; penulis lebih 50 judul buku bahasa, pendidikan, kamus serta Profesor Adjung UPSI.

Menjawab satu soalan, Prof Awang berkata, kedatangan Islam pada abad ketujuh itu diterima baik sehinggakan Maharaja China menaja pembinaan banyak masjid sebagai lambang agama Islam.
Kerana itu, ujarnya, bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke negara itu, jangan terkejut jika melihat terdapat colok gaharu diletakkan di mimbar-mimbar masjid dan ukiran binatang di tempat ibadat.


"Colok gaharu dan ukiran binatang itu adalah budaya masyarakat China yang sedikit pun tidak mencacatkan aqidah umat Islam," tegasnya.

Beliau berkata, terdapat perbezaan besar antara orang China yang datang ke Melaka bersama gerombolan Laksamana Cheng Ho yang membawa Islam dengan mereka yang dibawa datang ke Tanah Melayu oleh penjajah Inggeris.

Katanya, Laksamana Cheng Ho atau dalam Bahasa Chinanya disebut sebagai Zheng He adalah seorang pahlawan utusan Maharaja China yang datang ke Melaka adalah seorang Islam.
Cheng Ho pula jelasnya mengikut kajian absah, merupakan seorang pahlawan hebat yang mempunyai susur galur darah keturunan Saidina Hassan, cucu Rasulullah SAW. yakni anak kepada Saidina Ali dan Fatimah.


Bercakap tentang Ahong, beliau berkata, setiap orang daripada mereka mempunyai kelayakan hebat kerana mereka diwajibkan mengikuti Pengajian Agama Islam selama tiga tahun.

Mereka mempunyai kemahiran berbahasa etnik termasuk Bahasa Arab yang fasih, jelasnya, mereka juga merupakan penghafaz Al-Quran yang dilatih khas bagi memenuhi keperluan agama dan umat.

Tamadun China sangat hebat dengan usianya melebihi 5,000 tahun dengan 56 kumpulan etnik berbanding dengan tamadun Melayu yang baharu berusia 2,000 tahun, jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, interaksi tamadun Malaysia China bukan hanya berlaku pada 1974 tetapi bermula sejak Zaman Han Shu pada 140 S.M. ekoran pelayaran utusan Maharaja Wu Di ke India melalui Tanah Melayu.

Hubungan China dengan alam Melayu melonjak ke peringkat lebih tinggi sesudah munculnya Dinasti Tang (618-907M) dan Empayar Sriwijaya di alam Melayu pada abad ke-7.

Dalam majlis itu, Prof Awang banyak mengemukakan saranan bernas antaranya; penyelidikan hubungan Malaysia/alam Melayu dengan China dalam pelbagai aspek, ketamadunan seperti politik, ekonomi, kebudayaan, bahasa dan falsafah/pemikiran dari zaman dahulu hingga kini berdasarkan sumber China dan Melayu sendiri.

Begitu juga dengan perkembangan Islam di Tanah Besar China dan kaitannya dengan pengIslaman di alam Melayu, kajian-kajian perbandingan dengan pelbagai aspek dalam tamadun China dan Islam termasuk budaya dan bahasa.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30923:bawa-pendakwah-china-ke-malaysia&catid=99:seni-budaya&Itemid=143

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...