Friday, April 3, 2009

Cabaran politik PM baru

Najib bakal berdepan dengan tiga cabaran utama selepas mengambil alih tampuk pemerintahan negara iaitu meningkatkan ekonomi, mengukuhkan kestabilan politik dan perpaduan antara kaum.


AKSI Najib di Parlimen. Beliau menjadi Ahli Parlimen sejak 1976.



PERALIHAN kuasa jawatan No. 1 negara buat sekian kalinya berlangsung tanpa melanggar tradisi. Sewaktu pertama kali baton jawatan Perdana Menteri dilepaskan pada tahun 1970, tercetusnya kemelut akibat rusuhan kaum. Namun selepas itu, peralihan kuasa berlangsung dalam suasana damai dan harmoni.

Tiada pertelingkahan ataupun perebutan kuasa. Yang pasti, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil langkah bijak dan tepat apabila menuruti tradisi dan trend peralihan kuasa tanpa perlu melawan ketuanya.

Kini, jawatan sebagai orang No. 1 negara sudah selamat dipegang oleh Najib sekali gus membolehkannya menyambung legasi pentadbiran ayahnya, Tun Razak Hussein yang menjadi Perdana Menteri Kedua dari tahun 1970 hingga 1976.

Berada dalam dua era yang berbeza, hakikatnya misi dan senario yang didepani Najib tidak sama seperti zaman bapanya. Jika dahulu cabaran Tun Razak adalah mengatasi masalah ketidaksamaan ekonomi dan sosial yang telah memuncakkan antagonisme perkauman, kini anaknya Najib turut menghadapi senario yang tidak kurang hebatnya.

Mengukuhkan UMNO, melonjakkan ekonomi, menyatukan orang Melayu, mengembalikan semula kepercayaan warga Cina dan India yang beralih sokongan kepada parti pembangkang serta memulihkan kembali maruah Barisan Nasional (BN) yang tercalar selepas pilihan raya umum ke-12 adalah antara senario negara di bawah kerajaan pimpinan Najib.

Apabila Abdullah menyerahkan baton kuasa kepada Najib dan selaku Perdana Menteri Keenam, Najib perlu memecut laju. Ramai pemerhati politik mengakui Najib tidak punya banyak masa kerana tanpa ketangkasan dan kebijaksanaan mengatur langkah larian, keputusan pilihan raya umum ke-13 mungkin menyebabkan BN semakin pincang.

Cabaran ekonomi

Menurut Ketua Program Ekonomi dan Fiskal Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Nor Ghani Mohd. Noor, apabila kepimpinan negara diambil alih oleh Najib, keadaan ekonomi negara tidak banyak berubah.


MERENUNG cabaran hebat yang menanti Najib dalam hal berkaitan ekonomi, politik dan perpaduan kaum.


"Secara umumnya selagi ekonomi dunia masih tidak mencapai tahap seperti sebelum ini, maka tidak banyak perubahan ekonomi yang akan berlaku di Malaysia.

"Bagaimanapun, tindakan Najib mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama dan Kedua bernilai RM7 bilion dan RM60 bilion baru-baru ini merupakan satu langkah terbaik dalam usaha merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

"Namun, mencatat kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi adalah mustahil untuk dilakukan dalam tempoh terdekat. Sekurang-kurangnya ia akan mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk meningkat," kata Nor Ghani kepada Kosmo! baru-baru ini.

Ekonomi Malaysia sangat terbuka, tambahnya. Oleh itu, sebarang masalah yang berlaku seperti krisis ekonomi global, ia secara tidak langsung turut memberi kesan yang cukup besar kepada ekonomi negara.

"Cabaran paling besar yang perlu dihadapi Najib dalam aspek ekonomi adalah meningkatkan tahap ekonomi daripada negara pengeluar atau pengilang kepada satu tahap di mana Malaysia boleh menjadi pelopor terhadap sesuatu teknologi dan mencipta inovasi.

"Setelah kita berjaya menjadi sebuah negara yang mempelopori teknologi, barulah kita mampu untuk menjana ekonomi kita sendiri.

"Justeru, saya berharap setelah mengambil alih tampuk pemerintahan negara, Najib akan memberi penekanan utama terhadap faktor-faktor ekonomi kerana ia menjadi sebab utama kestabilan sesebuah negara yang berdaulat," jelasnya.

Kestabilan politik negara

Selain faktor ekonomi, Najib juga perlu berdepan dengan situasi politik negara yang semakin tidak menentu dan membimbangkan.

Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, berdasarkan kajian yang dilakukan USM, lebih daripada 51 peratus rakyat menyokong kepimpinan Najib berbanding menolak beliau.

"Walaupun menerima sokongan, tetapi dalam masa yang sama ramai rakyat tidak mahu memihak kepadanya dan lebih menjurus kepada parti pembangkang.

"Ironinya, jika Najib tidak melakukan sesuatu yang boleh menambat semula hati rakyat yang 'membelakanginya', tidak mustahil kerajaan di bawah pimpinan Najib bakal menghadapi saat-saat sukar kekalahan dalam pilihan raya umum ke-13 kelak.

"Mungkin saya boleh katakan bahawa Najib perlu mentadbir negara lebih baik daripada era pemerintahan Tun Dr. Mahathir dan kemudian barulah BN akan mendapat majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan yang lebih mantap.

"Yang pasti, masa depan politik BN bergantung kepada bagaimana cara Najib menangani setiap masalah yang timbul terutama melibatkan salah laku politik seperti amalan rasuah dan politik wang serta isu sensitif yang melibatkan agama dan kaum," ujar Ahmad Atory yang juga penganalisis politik di negara ini.


PARTI komponen BN perlu memainkan peranan yang lebih agresif untuk mengembalikan perpaduan kaum yang dikatakan semakin rapuh.


Hubungan kaum

Menyentuh aspek perpaduan kaum, Ahmad Atory berkata, Najib memerlukan bantuan dan sokongan kuat daripada anggota Kabinetnya serta orang bawahan.

"Najib perlu memilih barisan Kabinet yang berwibawa dan bersih daripada sebarang tingkah laku negatif selain mempunyai integriti yang kuat.

"Setiap parti komponen utama seperti MCA, MIC, Gerakan dan sebagainya perlu memainkan peranan penting dalam mengembalikan semula kepercayaan kaum Cina dan India terhadap kepimpinan Najib," kata Ahmad Atory lagi.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_04.htm

Rekod paling cemerlang

Ramai yang yakin dengan kemampuan Najib untuk memimpin Malaysia berdasarkan rekod cemerlang beliau dalam setiap portfolio kerajaan yang diberikan kepadanya.


NAJIB menandatangani watikah pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 30 Mac 2004.



TEMPOH 33 tahun dalam politik bukanlah satu jangka masa yang pendek. Ia cukup mematangkan seseorang untuk memimpin hidup ke arah yang lebih baik. Angka itu jugalah menjadi indikator kepada pengalaman Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kerajaan.

Sedar atau tidak, sudah lebih tiga dekad lelaki berkulit cerah itu menghambakan diri sebagai seorang ahli politik dengan berkhidmat kepada rakyat. Memikul tanggungjawab dalam pelbagai jawatan dan kementerian memberikannya pelbagai ilmu, selain menyiapkan dirinya dengan warna pengalaman untuk menduduki jawatan nombor satu negara.

Najib memulakan kerjaya dalam kerajaan pada usia cukup muda, 23 tahun. Bermula sebagai ahli Parlimen Pekan, rekod Najib terus diwarnai dengan amanah membantu dan mengetuai beberapa kementerian.

Tahun pertama bergelar Yang Berhormat, Najib dilantik menjadi Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos sehingga 1980.

Tahun berikutnya, beliau menyertai portfolio Timbalan Menteri Kewangan yang berlanjutan selama dua tahun.

Laluan kerjaya Najib selepas itu berubah ke satu dimensi baru. Pada pilihan raya tahun 1982, Perdana Menteri pada ketika itu Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) meletakkan Najib untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri di Pekan.

MB Pahang

Kemenangan itu membuatkan Najib dilantik sebagai Menteri Besar Pahang pada usia 29 tahun. Menjadi Menteri Besar Pahang sekali lagi membuktikan Najib sebagai seorang pemimpin berwibawa. Beliau dilihat sebagai penyelamat yang berjaya menstabilkan politik negeri Pahang yang pada waktu itu goyah akibat 'ketidakserasian' antara pihak istana dan pejabat Menteri Besar.


NAJIB memotong reben pada majlis pelancaran bekalan elektrik di Felda Cemomoi, Pahang pada 23 April 1985 ketika menjadi Menteri Besar Pahang.


Laman web peribadi Najib, www.1Malaysia.com.my, menyatakan pelantikan Najib yang juga pemegang gelaran Orang kaya Indera Shahbandar Pahang jelas diterima baik oleh istana, sekali gus memperlihatkannya sebagai jawapan untuk menamatkan krisis itu.

Tamat sepenggal berkhidmat di Pahang, Najib kembali ke Kabinet Persekutuan sebagai menteri penuh menerajui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selama lima tahun (1986-1991).

Sukan

Najib pantas meningkatkan kualiti sukan negara dengan memperkenalkan Polisi Sukan Kebangsaan. Polisi itu bertujuan menyediakan hala tuju pembangunan sukan negara. Setahun kemudian, negara mempamerkan prestasi terbaik dalam Sukan Sea yang diadakan di Kuala Lumpur.

"Ketika polisi ini mula diperkenalkan pada tahun 1988, banyak sukan tidak wujud atau tidak popular. Hasilnya, banyak jenis sukan yang tidak terlibat dalam implementasinya. Justeru, penambahbaikan polisi ini dilihat perlu," kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengulas apa yang ditinggalkan oleh Najib di kementerian itu.


NAJIB (kiri) menerima cenderamata daripada Pengerusi Konvensyen Kemudahan Sukan Menjelang Tahun 2000, Abdul Aziz Abdan di Institut Teknologi Mara, Shah Alam pada Jun 1989.


Pertahanan

Mengikut jejak ayahandanya, Najib kemudian diberi kepercayaan untuk mengetuai Kementerian Pertahanan (1991-1995). Banyak pihak menyatakan Najib berjaya memodenkan kementerian tersebut dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


NAJIB menunjukkan isyarat bagus ketika menaiki helikopter di Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) pada 15 Jun 2006.


Najib dalam satu temu bual setelah dilantik sebagai Menteri Pertahanan pernah berkata: "Saya tahu apabila masuk Kementerian Pertahanan, ramai orang cakap, habislah. Asyik orang tabik kita dan periksa perbarisan sahaja." (Petikan daripada buku: Najib Razak 30 Tahun Dalam Politik tulisan Datuk Chamil Wariya.)

Namun, anggapan itu terbukti salah. Najib memperkenalkan banyak pembaharuan dari aspek dasar pertahanan, keselamatan serantau dan global.

Malah, pasukan tentera Malaysia turut memainkan peranan penting di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu membantu negara-negara yang sedang bergolak.

Transformasi pendidikan

Kecemerlangannya diteruskan ketika dilantik menjadi Menteri Pendidikan (1995-1999). Najib sedar, bagi menyediakan anak bangsa untuk memenuhi aspirasi menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020, pendidikan amat penting.

Penstrukturan semula kementerian telah dibuat, di samping memperkenalkan banyak perubahan. Antaranya adalah mengkorporatkan universiti awam (dimulakan dengan Universiti Malaya), menggalakkan kerjasama dengan universiti antarabangsa, pengenalan Akta Pendidikan 1995, penubuhan Majlis Pendidikan Tinggi, penubuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pelaksanaan jadual waktu anjal, penekanan ke atas mata pelajaran sains, teknologi dan matematik di sekolah, kawalan terhadap pusat pengajian swasta dan banyak lagi.


NAJIB beramah mesra dengan seorang peserta cilik Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) siri dua, Azri Azimin selepas majlis penutup program itu di Universiti Malaya pada Jun 2007.


Jasa-jasa itu telah melayakkan Najib menerima Pingat Emas ABE- Edward de Bono International yang diberikan oleh Persatuan Eksekutif Perniagaan (ABE) pada tahun 2007.

"Beliau bertanggungjawab memperkenalkan konsep Pendidikan Bestari. Ia membawa kepada penambahbaikan sistem pelajaran dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran lebih baik.

"Usaha Najib merintis komitmen kerajaan untuk mengubah semua sekolah dalam negara kepada Sekolah Bestari menjelang 2010," kata Pengerusi ABE, Datuk Dr. Tan Tiong Hong.

Pada tahun 1999, Najib kembali menjadi Menteri Pertahanan. Beliau mengambil peluang kali kedua ini untuk mengembalikan keyakinan anggota tentera agar kembali menyokong kerajaan yang goyah akibat penyingkiran bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kerajaan.

Najib juga meneruskan misinya memodenkan angkatan tentera dengan pembelian pelbagai senjata canggih dan dan pengangkutan ketenteraan dari Perancis, Rusia, Amerika Syarikat (AS), Itali dan Poland. Malaysia juga terlibat dengan beberapa perjanjian pertahanan dengan beberapa negara di Asia, Eropah dan AS.

Beliau juga merupakan individu yang bertanggungjawab memperkenalkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bertujuan memperkasakan sahsiah remaja Malaysia. Pada masa ini lebih 100,000 remaja menjalani latihan di kem-kem PLKN di seluruh negara setiap tahun.

Dilantik Timbalan PM

Tahun 2004 mencatat sejarah manis buat Najib apabila dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas 47 tahun ayahandanya, Allahyarham Tun Razak diamanahkan dengan jawatan sama.

Beliau turut diberi kepercayaan untuk memegang pelbagai tanggungjawab besar yang lain seperti memantau perjalanan Felda, SUHAKAM dan Suruhanjaya Pilihan Raya. Malah, Najib mempengerusikan lebih 28 Jawatankuasa Kabinet yang ditubuhkan untuk menangani pelbagai isu.

Tahun lalu, sekali lagi kepakaran Najib dituntut. Beliau diamanahkan untuk menjadi Menteri Kewangan. Pastinya ia bukan satu tugas mudah, apatah lagi sewaktu dunia mula berada di ambang kemelesetan ekonomi.

Hari ini, Najib menduduki jawatan paling tinggi dalam kerajaan selaku Perdana Menteri Malaysia Keenam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm

Memikul tanggungjawab berat

Pengalaman bertugas di bawah kepimpinan tiga orang Perdana Menteri menyediakan bekal sewajarnya buat Najib untuk mengemudi negara.


NAJIB (kiri) sempat memandang ke arah jurugambar sebelum memulakan sesi taklimat selepas dilantik memegang portfolio Menteri Kewangan.






MULAI 3 April 2009, semua mata dan telinga terarah kepada Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak. Seluruh warga Malaysia seakan-akan tidak sabar menanti apakah pembaharuan dan kejutan yang bakal dilaksanakannya.

Biar apa pun ekspektasi rakyat, anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu sememangnya terpaksa mendepani pelbagai cabaran getir. Boleh dikatakan bahawa rintangan yang perlu dihadapi Najib datang dari segala sudut.

Di peringkat domestik, anak kepada Perdana Menteri Kedua, Tun Razak Hussein itu harus bijak menangani corak politik yang sudah berubah.

Zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad bersifat dominan, namun kepimpinan itu telah diubah oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menjadikannya lebih terbuka.

Abdullah percaya kepada aspek pemberdayaan (empowerment). Maksudnya, apabila berdepan dengan kakitangan awam, beliau mahu keputusan yang dibuat oleh kerajaan dinilai dan diteliti secara profesional.

Sekiranya ada pandangan yang tidak selari dengan Perdana Menteri, mereka dialu-alukan untuk memberikan pendapat.

Di bawah beliau, sesi demonstrasi jalanan bukan lagi satu pemandangan asing di Malaysia.

Malangnya, tindakan yang diambil terhadap golongan pencetusnya tidak cukup tegas. Ini sekali gus menunjukkan sudah wujud satu senario bahawa rakyat telah semakin berani.

Tidak cukup dengan itu, kecanggihan teknologi juga melahirkan semakin ramai golongan 'berhaluan kiri' yang mengetengahkan pendapat masing-masing menerusi blog-blog peribadi dan mesej Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

Maka, cabaran yang terpikul di bahu Najib adalah cara beliau menangani politik yang telah berubah itu, tahap toleransi dan ketegasannya.

Sebagai Perdana Menteri, beliau juga harus menangani keberanian baru rakyat dengan bijaksana.

Beliau mewarisi politik yang ditinggalkan oleh Abdullah, Perdana Menteri kelima, yang menunjukkan ada sesetengah rakyat bersedia mencuba corak pemerintahan kerajaan baru, biarpun keupayaan parti seperti PKR, Pas atau DAP dalam mengendalikan sebuah negara belum terbukti.


Najib pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Barisan Nasional (BN) Perak.



NAJIB menunjukkan papan tanda Undilah Barisan Nasional pada majlis perjumpaan dengan masyarakat Cinadi Kampung Tiong, Kuala Terengganu.


Mesej itu disampaikan dengan cukup jelas melalui pilihan raya umum ke-12 lalu apabila lima buah negeri iaitu Perak, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, kini berada di bawah kekuasaan parti pembangkang.

Adakah sikap itu akan membawa kepada satu pola bahawa rakyat ingin mencuba pula perubahan di peringkat kerajaan pusat? Najib kini berdepan dengan politik baru itu.

UMNO yang dipimpin oleh Najib kini diserang dari semua penjuru. Bukan sekadar daripada parti pembangkang, malah parti-parti komponen dalam BN seperti Gerakan, MCA, MIC dan PPP juga menyuarakan rasa tidak puas hati.

Walaupun tidak secara total, adakalanya anggota-anggota BN tidak sependapat dalam isu-isu tertentu. Situasi itu menuntut satu corak kepimpinan baru daripada Najib yang berbeza berbanding Abdullah.

Dunia kini sedang dilanda kemelesetan ekonomi dan Malaysia pastinya tidak terkecuali. Kesan global ini kian menampakkan impaknya apabila semakin ramai pekerja terutama dalam sektor perkilangan dan pembuatan kehilangan kerja.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank, Malaysia Export Credit Insurance Berhad dan kini Pengerusi Eksekutif Bullington Offshore Sdn. Bhd., Noordin Abbas memberitahu, jika dilihat dari aspek keadaan ekonomi semasa, tanggungjawab yang bakal dipikul oleh Najib amat berat.

"Contohnya, kadar kemasukan pelaburan asing yang menurun sehingga ke paras sama dengan tahap pelaburan ke luar negara.

"Nilai pasaran juga jatuh seiring dengan penurunan indeks pasaran saham Kuala Lumpur biarpun kebanyakan syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia memiliki asas yang kukuh.

"Saya pasti Najib akur dengan cabaran yang menantinya. Ia bukanlah suatu tanggungjawab yang mudah," katanya.

Bajet mini berjumlah RM67 bilion yang diumumkan beliau selaku Menteri Kewangan baru-baru ini turut memberi petunjuk betapa serius kerajaan dalam menyerap impak negatif krisis ekonomi.

Tugas utama Najib sekarang adalah untuk memastikan peruntukan tersebut dapat disalurkan secepat mungkin supaya ia dapat dirasai oleh segenap sektor ekonomi.

"Najib ialah Perdana Menteri pertama Malaysia berkelulusan bidang ekonomi. Tunku Abdul Rahman, ayahandanya Tun Razak dan bapa saudara beliau, Tun Hussein Onn ialah peguam. Tun Dr. Mahathir lulusan bidang perubatan dan Datuk Seri Abdullah merupakan graduan Pengajian Islam.

"Bagi golongan yang optimis, mereka melihat gabungan kefahaman asas bidang ekonomi dan pengalaman mendalam pentadbiran mampu mematangkan Najib sebagai seorang ahli politik.

"Malah, pengalamannya selama 33 tahun, lima tahun sebagai Menteri Besar dan tempoh 23 tahun bertindak selaku menteri boleh dijadikan asas paling signifikan untuk menilai keupayaan Najib," kata Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin.


NAJIB (kiri) melihat kereta keluaran Easter MPV keluaran Chery dari China pada majlis pelancaran kereta tersebut di Kuala Lumpur.


Penganalisis politik berpengalaman itu turut menekankan bahawa Najib harus mencari keseimbangan antara mentadbir urus negara dan mengendalikan isu dalaman parti. Sama ada dalam UMNO, BN mahupun berdepan dengan Pakatan Rakyat, keseimbangan itu harus ada.

Turut mustahak diberi penekanan, kata Shamsul Amri, adalah bagaimana beliau menangani 'kepembangkangan' (oppositionism)bukan berbentuk parti daripada kumpulan NGO, bloggers, SMS dan selainnya.

Cabaran seterusnya tersulam halus dalam governans politik. Apa lagi kalau bukan mengenai perpaduan nasional dan khususnya tentang hubungan etnik.

Najib harus belajar daripada pengalaman ayahandanya ketika berdepan dengan krisis etnik pada 13 Mei 1969. Walaupun krisisnya berbeza, tetapi ancamannya sama, kerana kalau tak diurus dengan baik akan terjerumus ke kancah 13 Mei.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Penyambung legasi Tun Razak

Penglibatan Najib dalam politik tanpa dirancang akhirnya membawa beliau menyambung legasi keluarga Razak. Inilah kali pertama anak seorang Perdana Menteri menduduki jawatan tertinggi yang pernah dipegang oleh bapanya.





MENJADI anak kepada seorang Perdana Menteri mungkin impian ramai orang, tetapi mendapat peluang menjawat jawatan yang sama pastinya satu takdir dan pencapaian luar biasa buat empunya diri.

Itulah takdir yang tertulis buat Datuk Seri Najib Tun Razak. Jasa bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein kepada bangsa Malaysia tidak dapat dinilai dengan kata-kata, dan kini beliau berpeluang untuk menghulurkan jasa seperti yang pernah bapanya sumbangkan.

Sudah 33 tahun Tun Razak meninggalkan kita. Tempoh enam tahun memimpin dimanfaatkan oleh Allahyarham dengan menyediakan platform kukuh dari aspek pembangunan sosial, ekonomi dan fizikal negara.

Bangkit daripada pengalaman hitam 13 Mei 1969, Tun Razak bersama barisan kabinetnya merencana pelan terbaik untuk membina satu warga yang bersatu. Biarpun mereka dipisahkan oleh sempadan rumpun bangsa, bahasa dan kepercayaan yang berbeza.

Bapa Pembangunan itu juga amat sinonim dengan inisiatifnya mengukuhkan kedudukan ekonomi orang Melayu menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan pembukaan tanah-tanah rancangan Felda.


JASA Tun Razak terhadap negara tidak ternilai harganya.


Hakikatnya, Tun Razak tidak hanya meninggalkan semua itu untuk kita. Malah, beliau mewariskan kepada negara satu lagi 'hadiah' yang tidak ternilai harganya - seorang insan bernama Najib.

Memetik tulisan yang diabadikan dalam buku berjudul Tun Abdul Razak: A Personal Portrait terbitan Utusan Publications & Distributors, di dalamnya Najib pernah berkongsi satu cerita tentang bapa kesayangannya itu:

"Masih ingat sewaktu masih kanak-kanak dulu, kami ingin sekali mempunyai sebuah kolam renang. Tetapi selepas puas menunggu selama kira-kira sebulan, permintaan itu ditolak.

"Setelah meneliti anggaran belanja yang disediakan oleh Jabatan Kerja Raya, beliau akhirnya memberitahu, 'Tidak boleh. Nanti apa pula orang kata?'

"Beliau (Allahyarham Tun Razak) berpegang kepada prinsip, hingga menidakkan banyak perkara yang diingini oleh keluarga, semata-mata supaya tiada orang bercakap mengenainya. Atas sebab itu jugalah orang melihatnya sebagai seorang yang sederhana keinginannya."

Tangga hierarki politik dalam UMNO dan kerajaan didaki oleh Tun Razak pada tahun 1950-an hingga beliau menjadi Perdana Menteri pada tahun 1970. Kini legasi itu diteruskan oleh anak sulungnya, Datuk Seri Najib.


NAJIB (dua dari kiri) pada usia 22 tahun bersama keluarganya.


Najib bernafas dan membesar dengan melihat bapanya mengemudikan negara yang pada ketika itu masih berada dalam fasa awal memperoleh kemerdekaan.

Biarpun begitu, penglibatan Najib dalam arena politik tempatan boleh dianggap sebagai tidak sengaja.

Pemergian mendadak dan tidak terduga Tun Razak pada usia 54 tahun, iaitu pada 14 Januari 1976, akibat penyakit leukemia, telah mengubah laluan kerjaya beliau secara dramatik.

Mendapat sokongan padu daripada UMNO Pahang, kekosongan kerusi Parlimen Pekan kemudian diisi oleh Najib, graduan jurusan Ekonomi Industri dari Universiti Nottingham, England yang ketika itu baru berusia 23 tahun.

Najib sekali gus memegang rekod dipilih menjadi Ahli Parlimen termuda dalam sejarah Malaysia. Sebelum itu, beliau sempat berkhidmat di Bank Negara dan Petronas selaku Pengurus Hal Ehwal Awam.

Di kalangan pemimpin senior, tidak ramai yang yakin Najib mampu mengharungi segala sepak terajang politik nasional tanpa bekal nama gah Allahyarham bapanya. Namun, Najib membuktikan beliau berjaya berdiri di atas meritnya sendiri.


NAJIB (kanan) menyambut ulang tahun kelahirannya yang keenam dengan memotong kek berbentuk kapal terbang. Di sebelahnya, Ahmad Johari.


Sebenarnya nama Tun Razak hanya memberikan beliau permulaan yang hebat, tetapi apa yang dicapainya adalah liku-liku perjuangan yang terpaksa ditempuhinya sendiri.

Buktinya, anak muda itu terus diberi kepercayaan untuk memegang jawatan penting dalam kerajaan. Dalam tempoh setahun selepas bertanding kerusi Parlimen Pekan pada 1976, Najib diberi kepercayaan dengan dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos, sebelum berkhidmat selaku Timbalan Menteri Pendidikan dan Timbalan Menteri Kewangan.

Najib kemudian dipilih untuk menerajui kerajaan negeri Pahang sebagai Menteri Besar selepas pilihan raya 1982. Bintang ahli politik kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu terus bersinar apabila beliau mula memegang portfolio sebagai menteri penuh di beberapa kementerian termasuklah Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pertahanan (dua kali) dan Kementerian Pendidikan.

Benar, Najib menyambung legasi ayahnya. Namun, harus diingat bahawa mereka berdua berjuang dalam dua era yang sangat berbeza.

Tun Razak memainkan peranannya dalam zaman mengisi kemerdekaan, sedangkan Najib kini memikul tugas memastikan UMNO terus relevan dan ekonomi Malaysia terus gah di pentas antarabangsa.

"Kita tidak boleh lihat Najib dan Allahyarham Tun Razak secara tertutup. Najib pasti akan mengutamakan perpaduan selain gaya kepimpinan yang disifatkan sebagai berjiwa rakyat sebagaimana Tun Razak. Sesuai dengan pepatah Melayu, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

"Selain itu, agenda pendidikan dan ekonomi pasti akan diberi perhatian khusus di bawah kepimpinan Najib. Harus diingat juga bahawa satu realiti dalam kepimpinan ialah apabila seseorang menjadi perdana menteri, beliau pasti akan mencipta satu agenda tersendiri yang sesuai dengan kehendak zaman dan tuntutan rakyat," kata Presiden Yayasan Kajian dan Strategi Melayu, Datuk Dr. Radzi Abd. Latiff.

Pengalaman berjuang begitu lama dalam politik sehingga dilantik sebagai orang nombor satu negara sememangnya menjadi aset paling berharga buat Najib.

Sepanjang menyaksikan kepimpinan empat orang Perdana Menteri silih berganti, Najib tentunya memperoleh banyak pendedahan tentang cara terbaik menyelesaikan masalah dan memaksimumkan peluang.


NAJIB sewaktu menjadi Ketua Pemuda UMNO dan Menteri Belia dan Sukan mendengar penerangan setiausaha politiknya, Zahid Hamidi.


Ketika ditanya mengenai hubungan antara Najib dengan Perdana Menteri sebelum ini, Radzi menyatakan saat paling signifikan kepada rakyat adalah ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Najib membuktikan beliau merupakan seorang Timbalan Perdana Menteri yang setia kepada ketuanya. Beliau tidak tergesa-gesa dan tidak pernah cuba membuktikan dirinya lebih handal. Ciri-ciri seorang pengikut yang baik sentiasa ada dalam dirinya.

"Pada masa yang sama, kita boleh lihat Najib cukup fokus untuk menyempurnakan tugas yang dipertanggungjawabkan ke atasnya. Tidak kira ketika menjawat apa-apa jawatan pun. Najib tidak melakukan sesuatu demi populariti atau bersikap retorik," katanya.

Biar apa pun tanggapan serta harapan rakyat terhadap seorang lelaki bernama Najib, yang pastinya beliau datang daripada 'benih' terbaik dan akan terus berusaha membawa Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi.


Najib dapat restu jadi PM


ABDULLAH dan Mohd. Najib selepas masing-masing menghadap Tuanku Mizan di Istana Negara semalam.



ABDULLAH mengucapkan selamat tinggal semasa diarak pada majlis perpisahannya di Kementerian Pertahanan semalam.


PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin telah memperkenankan pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri keenam, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Sidek Hassan mengumumkan semalam.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan dan sumpah simpan rahsia oleh Najib di hadapan Seri Paduka Baginda akan diadakan di Istana Negara 10 pagi ini.

Pagi semalam, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghadap Tuanku Mizan untuk menyerahkan surat melepaskan jawatan Perdana Menteri, selaras dengan proses peralihan kuasa antara beliau dan Najib yang dirancang sebelum ini.

Abdullah tiba pada 10 pagi dengan menaiki Proton Perdana rasminya bernombor WCH 13 dan meninggalkan kawasan istana satu jam kemudian sambil melambai-lambai ke arah sekumpulan 70 petugas media termasuk wartawan asing yang berkumpul di situ sejak 7.30 pagi.

Najib, yang mengambil alih jawatan Presiden UMNO daripada Abdullah pada Perhimpunan Agung UMNO minggu lepas, turut menghadap Seri Paduka di Istana Negara, selepas istiadat menghadap oleh Abdullah.

Abdullah dilantik sebagai Perdana Menteri kelima menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 30 Oktober 2003.

Sementara itu, Abdullah turut menghadiri majlis perpisahan yang diadakan di Kementerian Pertahanan petang semalam.

Abdullah, yang juga Menteri Pertahanan, memeriksa barisan kawalan kehormat Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Norhisyam Kamar dan dianggotai 103 pegawai serta anggota pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Darat Malaysia.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...