Friday, April 3, 2009

Rekod paling cemerlang

Ramai yang yakin dengan kemampuan Najib untuk memimpin Malaysia berdasarkan rekod cemerlang beliau dalam setiap portfolio kerajaan yang diberikan kepadanya.


NAJIB menandatangani watikah pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 30 Mac 2004.



TEMPOH 33 tahun dalam politik bukanlah satu jangka masa yang pendek. Ia cukup mematangkan seseorang untuk memimpin hidup ke arah yang lebih baik. Angka itu jugalah menjadi indikator kepada pengalaman Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kerajaan.

Sedar atau tidak, sudah lebih tiga dekad lelaki berkulit cerah itu menghambakan diri sebagai seorang ahli politik dengan berkhidmat kepada rakyat. Memikul tanggungjawab dalam pelbagai jawatan dan kementerian memberikannya pelbagai ilmu, selain menyiapkan dirinya dengan warna pengalaman untuk menduduki jawatan nombor satu negara.

Najib memulakan kerjaya dalam kerajaan pada usia cukup muda, 23 tahun. Bermula sebagai ahli Parlimen Pekan, rekod Najib terus diwarnai dengan amanah membantu dan mengetuai beberapa kementerian.

Tahun pertama bergelar Yang Berhormat, Najib dilantik menjadi Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos sehingga 1980.

Tahun berikutnya, beliau menyertai portfolio Timbalan Menteri Kewangan yang berlanjutan selama dua tahun.

Laluan kerjaya Najib selepas itu berubah ke satu dimensi baru. Pada pilihan raya tahun 1982, Perdana Menteri pada ketika itu Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) meletakkan Najib untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri di Pekan.

MB Pahang

Kemenangan itu membuatkan Najib dilantik sebagai Menteri Besar Pahang pada usia 29 tahun. Menjadi Menteri Besar Pahang sekali lagi membuktikan Najib sebagai seorang pemimpin berwibawa. Beliau dilihat sebagai penyelamat yang berjaya menstabilkan politik negeri Pahang yang pada waktu itu goyah akibat 'ketidakserasian' antara pihak istana dan pejabat Menteri Besar.


NAJIB memotong reben pada majlis pelancaran bekalan elektrik di Felda Cemomoi, Pahang pada 23 April 1985 ketika menjadi Menteri Besar Pahang.


Laman web peribadi Najib, www.1Malaysia.com.my, menyatakan pelantikan Najib yang juga pemegang gelaran Orang kaya Indera Shahbandar Pahang jelas diterima baik oleh istana, sekali gus memperlihatkannya sebagai jawapan untuk menamatkan krisis itu.

Tamat sepenggal berkhidmat di Pahang, Najib kembali ke Kabinet Persekutuan sebagai menteri penuh menerajui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan selama lima tahun (1986-1991).

Sukan

Najib pantas meningkatkan kualiti sukan negara dengan memperkenalkan Polisi Sukan Kebangsaan. Polisi itu bertujuan menyediakan hala tuju pembangunan sukan negara. Setahun kemudian, negara mempamerkan prestasi terbaik dalam Sukan Sea yang diadakan di Kuala Lumpur.

"Ketika polisi ini mula diperkenalkan pada tahun 1988, banyak sukan tidak wujud atau tidak popular. Hasilnya, banyak jenis sukan yang tidak terlibat dalam implementasinya. Justeru, penambahbaikan polisi ini dilihat perlu," kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengulas apa yang ditinggalkan oleh Najib di kementerian itu.


NAJIB (kiri) menerima cenderamata daripada Pengerusi Konvensyen Kemudahan Sukan Menjelang Tahun 2000, Abdul Aziz Abdan di Institut Teknologi Mara, Shah Alam pada Jun 1989.


Pertahanan

Mengikut jejak ayahandanya, Najib kemudian diberi kepercayaan untuk mengetuai Kementerian Pertahanan (1991-1995). Banyak pihak menyatakan Najib berjaya memodenkan kementerian tersebut dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


NAJIB menunjukkan isyarat bagus ketika menaiki helikopter di Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) pada 15 Jun 2006.


Najib dalam satu temu bual setelah dilantik sebagai Menteri Pertahanan pernah berkata: "Saya tahu apabila masuk Kementerian Pertahanan, ramai orang cakap, habislah. Asyik orang tabik kita dan periksa perbarisan sahaja." (Petikan daripada buku: Najib Razak 30 Tahun Dalam Politik tulisan Datuk Chamil Wariya.)

Namun, anggapan itu terbukti salah. Najib memperkenalkan banyak pembaharuan dari aspek dasar pertahanan, keselamatan serantau dan global.

Malah, pasukan tentera Malaysia turut memainkan peranan penting di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu membantu negara-negara yang sedang bergolak.

Transformasi pendidikan

Kecemerlangannya diteruskan ketika dilantik menjadi Menteri Pendidikan (1995-1999). Najib sedar, bagi menyediakan anak bangsa untuk memenuhi aspirasi menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020, pendidikan amat penting.

Penstrukturan semula kementerian telah dibuat, di samping memperkenalkan banyak perubahan. Antaranya adalah mengkorporatkan universiti awam (dimulakan dengan Universiti Malaya), menggalakkan kerjasama dengan universiti antarabangsa, pengenalan Akta Pendidikan 1995, penubuhan Majlis Pendidikan Tinggi, penubuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pelaksanaan jadual waktu anjal, penekanan ke atas mata pelajaran sains, teknologi dan matematik di sekolah, kawalan terhadap pusat pengajian swasta dan banyak lagi.


NAJIB beramah mesra dengan seorang peserta cilik Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) siri dua, Azri Azimin selepas majlis penutup program itu di Universiti Malaya pada Jun 2007.


Jasa-jasa itu telah melayakkan Najib menerima Pingat Emas ABE- Edward de Bono International yang diberikan oleh Persatuan Eksekutif Perniagaan (ABE) pada tahun 2007.

"Beliau bertanggungjawab memperkenalkan konsep Pendidikan Bestari. Ia membawa kepada penambahbaikan sistem pelajaran dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran lebih baik.

"Usaha Najib merintis komitmen kerajaan untuk mengubah semua sekolah dalam negara kepada Sekolah Bestari menjelang 2010," kata Pengerusi ABE, Datuk Dr. Tan Tiong Hong.

Pada tahun 1999, Najib kembali menjadi Menteri Pertahanan. Beliau mengambil peluang kali kedua ini untuk mengembalikan keyakinan anggota tentera agar kembali menyokong kerajaan yang goyah akibat penyingkiran bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kerajaan.

Najib juga meneruskan misinya memodenkan angkatan tentera dengan pembelian pelbagai senjata canggih dan dan pengangkutan ketenteraan dari Perancis, Rusia, Amerika Syarikat (AS), Itali dan Poland. Malaysia juga terlibat dengan beberapa perjanjian pertahanan dengan beberapa negara di Asia, Eropah dan AS.

Beliau juga merupakan individu yang bertanggungjawab memperkenalkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bertujuan memperkasakan sahsiah remaja Malaysia. Pada masa ini lebih 100,000 remaja menjalani latihan di kem-kem PLKN di seluruh negara setiap tahun.

Dilantik Timbalan PM

Tahun 2004 mencatat sejarah manis buat Najib apabila dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas 47 tahun ayahandanya, Allahyarham Tun Razak diamanahkan dengan jawatan sama.

Beliau turut diberi kepercayaan untuk memegang pelbagai tanggungjawab besar yang lain seperti memantau perjalanan Felda, SUHAKAM dan Suruhanjaya Pilihan Raya. Malah, Najib mempengerusikan lebih 28 Jawatankuasa Kabinet yang ditubuhkan untuk menangani pelbagai isu.

Tahun lalu, sekali lagi kepakaran Najib dituntut. Beliau diamanahkan untuk menjadi Menteri Kewangan. Pastinya ia bukan satu tugas mudah, apatah lagi sewaktu dunia mula berada di ambang kemelesetan ekonomi.

Hari ini, Najib menduduki jawatan paling tinggi dalam kerajaan selaku Perdana Menteri Malaysia Keenam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...