Monday, June 15, 2009

Ramadan kemuncak El Nino

Cuaca paling panas berikutan fenomena El Nino dijangka berlaku pada bulan puasa nanti.


JEREBU yang sedang melanda Kuala Lumpur merupakan petanda awal kedatangan El Nino.


LAZIMNYA, antara ungkapan popular yang sering menjadi petua orang kita mengenai petunjuk ketibaan bulan Ramadan ialah azan Maghrib semakin awal. Juga suhu panas pada tengah hari sesuai dengan maksud asal Ramadan dalam bahasa Arab.

Perkataan itu yang dirujuk kepada bulan kesembilan dalam takwim Hijrah dipercayai digunakan masyarakat Arab kerana keadaan panas sepanjang bulan tersebut. Tidak hairanlah Rukun Islam ketiga itu begitu sinonim dengan suasana cuaca panas.

Namun Ogos ini, umat Islam khasnya di sekitar Lautan Pasifik buat julung kali akan merasai ‘kehangatan’ Ramadan seiring kemunculan fenomena El Nino. Kali ini ujian sebenar Ramadan menyamai saudara seagama di bumi gersang Asia Barat.

Apa tidaknya, Jabatan Meteorologi Malaysia pada Selasa lalu meramalkan negara mungkin mengalami fenomena itu ekoran cuaca panas kering. Ia berikutan tiupan angin Monsun Barat Daya yang dijadual berlaku sehingga akhir September depan.

El Nino dikatakan tanpa disedari sudah terbentuk namun kekuatannya cuma dapat dikenal pasti mulai Ogos ini. Justeru Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar merangka beberapa langkah awal bagi mengurangkan kesan fenomena itu.

“Ironi tidak jelas apakah tindakan dilakukan pihak berkuasa termasuk mengekang aktiviti pembakaran terbuka yang meningkatkan jerebu. Adakah membakar sate secara terbuka untuk dijual juga dilarang?,” soal Mohd. Nizam Mahshar.

Koordinator Sahabat Alam Malaysia (SAM) itu ketika dihubungi bagaimanapun mempersoalkan kurangnya persediaan bagi menghadapi El Nino. Ini kerana fenomena itu bukan cuaca luar biasa malah selalu berulang pada setiap empat tahun.

Malangnya, kita seperti tidak belajar daripada sejarah dan ia dapat dilihat ketika kejadian El Nino terburuk berlaku pada 1982, 1983, 1997 dan 1998. Waktu itu, negara teruk dilanda jerebu dan lebih parah, mengalami kekurangan bekalan air mentah.


PERSEDIAAN untuk menghadapi ketidaktentuan cuaca tidak boleh dibuat secara ad-hoc.


“Banyak empangan kering-kontang dan puncanya kerana kawasan tadahan di sekitarnya terjejas akibat penebangan hutan tanpa kawalan sekali gus mengancam zon penampan. Kini kita kembali ‘bising’ apabila El Nino datang semula,” katanya.

Mohd. Nizam seterusnya menambah, sepatutnya tahun 2009, negara kita menghadapi El Nino dengan penuh persediaan rapi, bukan digerunkan dengan amaran krisis air yang bakal melanda akibat beberapa empangan mengalami susut stok tadahan.

Keadaan panik sekarang ujar beliau, muncul kerana Malaysia setakat ini masih belum memiliki dasar jelas berhubung pelan tindakan kesan perubahan iklim sejagat. Jawatankuasa yang dibentuk kini biasanya bersifat ad-hoc dan bukan tetap.

“Sewajarnya daripada El Nino yang lepas, negara tidak perlu risau empangan kering dan jerebu ekoran pembakaran terbuka, tetapi apa berlaku, kita diberi amaran itu dan ini mengenai El Nino semacam esok dunia hendak kiamat,” jelas beliau kesal.




Hakikatnya, fenomena berulang itu tidak banyak mempengaruhi purata iklim setempat. Sebaliknya cuaca panas melampau kebanyakan disumbangkan oleh faktor persekitaran semasa seperti penebangan hutan dan pembakaran sengaja.

Misalnya suhu Cameron Highlands secara purata berlegar 15.3 darjah Celsius pada bulan Ogos dengan kelembapan 92 peratus. Namun ia pernah mencecah hampir 28 darjah Celsius suatu ketika kerana banyak kawasan bukit di situ habis digondol.

“Justeru suhu panas bukan disebabkan El Nino tetapi akibat perbuatan manusia sendiri. Ini perlu difahami kerana setiap perubahan iklim lebih bersifat kepada proses penyelarasan semula planet bumi secara semula jadi,” kata Mohd. Nizam.

Pihak berkuasa ujarnya, harus melihat El Nino seperti masalah banjir yang memerlukan pencegahan awal seperti membina parit monsun atau mendalamkan sungai. Ia amat mudah kerana El Nino boleh diramal sama seperti kes tsunami.

Bayangkan menerusi langkah persediaan awal, sektor pertanian misalnya tidak perlu risau ketibaan El Nino. Ini kerana tali air sokongan sudah dibina untuk memastikan bekalan air tidak terputus, sekali gus tempias El Nino boleh diminimumkan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0614&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Di sebalik tragedi solat Isyak

Tragedi Masjid Al-Furqan di Narathiwat, Thailand baru-baru ini mengimbas kekejaman peristiwa Masjid Kerisek dan insiden Tak Bai pada 2004.




BAU hanyir darah menyambut orang ramai yang berpusu-pusu untuk melihat Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan, Narathiwat, Thailand.

Lokasi itu, pada malam 8 Jun lalu, telah menyaksikan kejadian serangan sekumpulan enam pengganas berbaju hitam dan bertopeng hingga mengorbankan 11 nyawa jemaah yang sedang khusyuk mengerjakan solat Isyak.

Untuk sampai ke kampung tersebut, penulis perlu menempuh hampir 10 sekatan jalan oleh anggota polis atau pasukan tentera. Wajah mereka nampak bengis dan melihat setiap kenderaan yang lalu dengan penuh curiga.

Meskipun kedudukannya hanya sejauh 50 kilometer dari Sungai Golok yang mengambil masa sejam perjalanan dengan kereta, sesi soal jawab dan pemeriksaan ketat oleh pihak keselamatan Thailand begitu merimaskan.

Mujur, penulis dan jurugambar dapat melepasi pemeriksaan itu dan dibenarkan untuk memasuki lokasi kejadian. Kehadiran kami mengundang rasa ajaib kepada penduduk tempatan.

“Macam mana boleh lepas sekatan? Kalau ikutkan kawalan askar, orang luar tak dibenarkan masuk ke sini,” kata seorang penduduk kampung itu.

Mengetahui kami wartawan dari Malaysia, penduduk kampung menyambut baik kehadiran kami.

“Nakau (wartawan) dari mana? Harap dapat tunjukkan kebenaran dan tolonglah bantu mengurangkan kesengsaraan kami,” luah seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail.

MASJID TENGAH PATTANI pernah menyaksikan penganjuran demonstrasi aman yang membantah cara layanan Kerajaan Thailand dan anggota tentera terhadap oleh umat Islam Selatan Thai.


Menurut beliau, orang tempatan sudah hilang kepercayaan kepada media Thailand yang berat sebelah dalam melaporkan berita di wilayah yang sebahagian besar penduduknya berketurunan Melayu itu.

Bagi seorang anak jati kampung itu, Wan Kamaruzaman Wan Latiff, perasaan kecewa dan kecil hati kerap menimpa mereka kerana masyarakat Islam seringkali dipersalahkan setiap kali ada keganasan yang berlaku tanpa ada penghakiman dan pembuktian yang adil.

“Tuhan tidak kurniakan ‘syahid’ kepada jemaah yang mati tempoh hari jika orang Islam benar-benar menjadi dalangnya.

“Sesuatu yang bodoh bagi kami untuk mengorbankan saudara seagama untuk matlamat yang masih kabur,” luahnya yang merupakan adik kepada Wan Abdullah Wan Latiff, 62, imam masjid tersebut yang turut terbunuh.

Kemarahan yang memuncak

Kisah duka rumah Allah dicemari tumpahan darah di Selatan Thailand bagaikan kengerian yang berulang. Dalam pada birokrasi Bangkok sering mengetepikan siasatan, hukuman dan keputusan mahkamah mengenai keterlibatan anggota keselamatan mereka, ada sesuatu yang membakar hati orang Islam di wilayah itu.

Apa yang dimaksudkan adalah api kemarahan dan dendam pemberontakan. Sedangkan semua sifat itu sepatutnya tidak meracuni fikiran orang Islam yang diajar mencintai keamanan dan kesejahteraan.


AGENDA 'pengsiaman' Melayu giat dijalankan, kononnya atas dasar nasionalisme.


“Lebih malang dan licik, kemarahan itu dimanipulasi pula kumpulan rahsia yang bertindak dalam samaran bagi melaga-laga hubungan antara Melayu Islam dan Siam Buddha,” kata Zolkipli Ghofur, 42.

Pembekal makanan kering dari Yala yang sering berulang-alik ke Kuala Lumpur itu mendakwa kerajaan Thailand sering berprasangka terhadap orang Melayu. Pemerintah mengesyaki terdapat gerakan bawah tanah yang memusuhi kerajaan, tali barut kerajaan, tentera dan orang Siam Buddha.

“Tetapi akhirnya, orang Melayu juga yang bercerai nyawa. Para ulama dan anak-anak muda ditembak tanpa usul periksa hanya kerana dipercayai merancang keganasan.


SELATAN Thai sebenarnya kaya dengan hasil ekonomi namun dibelenggu kerenah birokrasi.


Zolkipli turut menyebut kematian secara tidak diduga ini boleh berlaku sama ada dengan serangan bom, serang hendap bersenjata, ataupun kejadian pandu tembak di jalanan seperti yang ditakuti penduduk Pattani yang menggunakan jalan raya pada waktu malam.

“Kalau bukan terang-terangan orang Melayu mati di hujung senjata anggota keselamatan kerajaan, ada kes-kes tertentu yang dicanangkan sebagai serangan balas orang Siam Buddha.

“Sampai bilakah helah mencetus kebencian ini hendak dimainkan?” ujar Zolkipli yang tidak mahu gambarnya dirakamkan Jurnal.

Kain kapan dan telur ayam

Dalam sebuah kajian yang dibuat oleh Dr. Sisomphop Jitphiromsi dari Universiti Songkhla Nakharin, Pattani, dalam kebanyakan kes pembunuhan orang Melayu Thai, isyarat maut akan dihantar sebelum pembunuhan dilakukan.


SERANGAN kejam di Masjid al-Furqan mengorbankan 11 orang jemaaah.


Pasir, beras, kain kapan dan telur ayam diletakkan di depan rumah orang yang akan dibunuh. Beberapa hari selepas itu, orang yang diberi isyarat maut itu akan ditembak. Kebanyakan mereka yang menjadi mangsa pembunuhan seperti itu adalah orang bekerja untuk kerajaan (tali barut).

“Jika benar pun ia dilakukan oleh orang Melayu Islam, kami sangat kesal jika ada saudara-mara kami yang berjuang secara sebegitu. Mana mungkin kami boleh kejam terhadap bangsa sendiri, apatah lagi mencemar kemuliaan masjid atas nama mencetus isyarat perjuangan,” kata Zolkipli.

Walau apa pun latar belakang dan niat puak pemisah itu, orang Melayu yang akhirnya dilabel sebagai berbahaya, militan atau ektremis.


SEORANG jemaah tidak dapat menahan hiba tatkala berdoa selepas solat di Masjid Al-Furqan, Kampung Air Tempayan selepas kejadian serangan.


Siri serangan yang mengorbankan nyawa orang Melayu Islam dan Siam Buddha berlarutan sejak hampir sekurun lalu. Sama ada secara rawak atau terancang, prasangka buruk terhadap orang Melayu dirasakan paling buruk ketika Thailand di bawah pentadbiran Thaksin Shinawatra.

Tragedi di Masjid Al-Furqan mengimbas kekejaman kes Masjid Kerisek, Pattani pada tahun 2004 yang mengorbankan seramai 32 orang. Tidak lupa juga, konflik di Tak Bai yang mencalar kesucian Ramadan pada tahun yang sama.

Rentetan tiga tahun selepas itu, penciptaan sengketa Islam-Buddha sudah melonjakkan angka korban di Selatan Thai kepada kira-kira 3,000 orang. Namun, siapa yang mampu menoktahkan semua itu?

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0614&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Mati 1/2 jam



MICHAEL tersenarai dalam 38 kes sindrom Lazarus di seluruh dunia.


SEBUAH mahkamah majistret di sini diberitahu bagaimana seorang lelaki yang disahkan mati kemudian didapati hidup semula selepas setengah jam, sebelum betul-betul meninggal dunia selang dua hari berikutnya.

Dikenali sebagai sindrom Lazarus, kejadian itu merupakan antara 38 kes direkodkan di serata dunia setakat ini. Pesakit Michael Wilkinson, 23, bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir pada 3 Februari lalu.

Mendiang didiagnosis menghidapi serangan jantung setelah ditemui ibunya dalam keadaan terbaring di katil. Doktor yang membuat rawatan awal mengisytiharkan dia sudah mati sebelum nadinya kembali berdenyut 30 minit kemudian.

Penolong jabatan koroner Derek Baker ketika menyoal ibu pesakit, Susan Horrigan, 44, memaklumkan, sebaik anaknya hidup, mendiang dipindahkan ke Royal Preston Hospital di Lancashire.

Pesakit itu ditempatkan di unit rawatan rapi dan menjalani pembedahan kecemasan. Namun keluarga tersebut memberitahu, mereka ketika itu sudah bersedia dengan kemungkinan mangsa meninggal dunia pada akhirnya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0614&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Susu badan lawan kanser bapa



GEORGIA (duduk) sanggup melakukan apa sahaja demi bapanya, Tim Browne.


SEORANG wanita dari Bristol sanggup mendermakan susu badannya kepada bapanya semata-mata untuk membantu orang tuanya itu melawan barah. Georgia Browne, 27, dilaporkan berbuat demikian lebih sebulan lalu.

Georgia memerah susu lebih selepas menyusukan bayi lelakinya sebelum dihantar ke rumah ibu bapanya di Wiltshire. Bapanya, Tim Browne, 67, kemudian mencampurkan susu itu dengan susu biasa untuk dijadikan sarapan pagi harian.

Hasilnya, imbasan terkini menunjukkan daya ketahanan lelaki itu semakin baik dan kanser yang dihidapinya sedang pulih. Georgia memberitahu, beliau mendapat idea unik itu setelah menonton sebuah dokumentari TV mengenai kebaikan susu badan.

"Keluarga saya berfikiran terbuka dan tidak berasa pelik dengan idea ini. Ibu dan suami saya menyokong biarpun pada awalnya kelihatan kelakar. Ayah juga sempat bergurau dengan beritahu rakan-rakannya," kata Georgia.

Dokumentari yang ditontonnya itu memaparkan pesakit kanser prostat dari Amerika Syarikat yang sembuh hasil meminum susu badan.

Tertarik dengan idea tersebut, dia kemudian berbincang dengan bapanya. Tim didiagnosis menghidap barah pada Julai 2007 dan mengalami ketumbuhan berulang selepas pembedahan.

Idea susu badan itu juga mendapat sokongan doktor Tim biarpun penyelidikan sebelum cuma membuktikan susu itu sesuai melawan kanser dihidapi kanak-kanak. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0614&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Genius berumur 2 tahun

DUNIA

Genius berumur 2 tahun


POTENSI IQ Karina dikatakan setanding saintis Stephen Hawking.


KARINA Oakley, bakal berumur tiga tahun tidak lama lagi. Namun dia agak istimewa berbanding rakan seusia kerana memiliki kebijaksanaan luar biasa dengan tahap IQ 160.

Malah, tahap IQ kanak-kanak ini setanding dengan saintis cacat saraf terkenal, Stephen Hawking dan jutawan firma gergasi komputer dunia Microsoft, Bill Gates.

Dia kini ahli forum Mensa - sebuah organisasi intelektual dari seluruh dunia. Tahap kepandaian Karina seperti budak berusia lima tahun dengan daya imaginasi dan kepetahan bercakap.

Menyedari kebolehan itu, ibu Karina, Charlotte Fraser mengambil keputusan membawanya berjumpa pakar psikologi pendidikan, Prof. Joan Freeman untuk diuji tahap IQ selepas menonton rancangan televisyen mengenai budak genius.

"Karina nyata seorang yang bijak dan mampu bercakap dengan baik selain cepat memahami apa yang diajarkan," jelas Freeman. Katrina juga mengambil ujian IQ selama 45 minit.

Dia diarah menghabiskan cabaran dalam bentuk ingatan dan kebolehan lisan mengendalikan pensil, nombor serta bentuk. Karina nyata ada kebolehan dengan perkataan imaginasi yang tinggi selain penyayang, bertanggungjawab serta peramah

Ibu Karina bekerja dalam bahagian pemasaran sebuah syarikat swasta manakala bapanya, Nick merupakan seorang pakar komputer. Mereka tinggal di Guildford, Surrey. Britain.

Saturday, June 13, 2009

Lagi serangan berani mati di Pakistan

LAHORE - Skuad penyerang berani mati menyerang sebuah masjid dan sebuah madrasah selang beberapa minit di dua buah bandar di Paksitan menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang terbunuh termasuk seorang ulama terkenal.

Sehingga kini masih belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukan dua kejadian tersebut.

Sejak akhir-akhir ini, Pakistan dikejutkan dengan beberapa siri kejadian pengeboman berani mati dan lain-lain serangan yang dipercayai satu tindakan balas dendam terhadap operasi ketenteraan terhadap kedudukan kumpulan Taliban di Lembah Swat.

Di timur Pakistan, madrasah Jamia Naeemia di Lahore dikejutkan dengan satu letupan bom sejurus selesai solat Jumaat sekali gus menyebabkan dua orang terbunuh manakala enam lagi cedera, kata seorang pegawai polis, Sohail Sukhera.

Pengasas madrasah yang menjadi sasaran serangan, Sarfraz Naeemi meninggal dunia ketika dihantar ke sebuah hospital berdekatan, kata anak Sarfraz, Waqar.

Saluran televisyen Geo TV menunjukkan mayat Sarfraz terbaring di atas pengusung dengan jambang dan rambutnya dipenuhi habuk manakala darah mengalir dari hidung. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Obama guna pengalaman hidup baiki imej AS

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Barack Obama baru-baru ini mendapat banyak pujian kerana ucapannya mengenai dunia Islam.

Ucapan yang dibuat oleh Obama di Kaherah, Mesir pada minggu lalu itu turut mendapat reaksi positif di kalangan pemimpin dan golongan intelektual.

Ketika berucap di Kaherah, Obama cuba mengikis tanggapan buruk terhadap Islam yang kerap dikaitkan dengan keganasan.

Ketika berucap di hadapan 4,000 orang, Obama menyatakan Amerika dan Islam berkongsi prinsip keadilan dan kemajuan, toleransi serta maruah manusia.

Obama berkata: "Saya bersimpati tetapi sehingga negara-negara Islam boleh bertoleransi berhubung kewujudan kitab Injil atau pemakaian lambang salib oleh seorang paderi tentera dalam sempadan mereka, kita tidak berkongsi prinsip yang sama itu."

Ada pihak berpendapat George W. Bush yang melancarkan perang ke atas Iraq tidak akan berucap dengan nada serupa seperti Obama.

Sebelum ini ketika AS diperintah oleh Bush selama dua penggal, penduduk Islam di seluruh dunia berasa terhina apabila agama mereka dikaitkan dengan keganasan.

Cara penganut Islam diperiksa di lapangan terbang di Barat dan AS turut mengaibkan mereka selain dipandang serong selepas serangan pengganas 11 September 2001 di New York, AS.

Namun, apakah yang menyebabkan Obama boleh membuat ucapan sedemikian rupa?

Latar belakang hidup Obama dan Bush sebenarnya jauh berbeza.

Obama pernah hidup di Indonesia iaitu sebuah negara yang mempunyai ramai penduduk Islam di dunia.

Presiden AS itu turut mempunyai saudara-maranya yang beragama Islam di Afrika.

Justeru Obama yang dilayan baik ketika beliau hidup di Indonesia yang menjadi lokasi serangan pengganas pada 2002 di Bali lebih banyak mengetahui mengenai Islam berbanding Bush.

Buat masa ini, Presiden AS itu menjadi kebanggaan sebahagian penganut Islam kerana usahanya yang mahu membaiki hubungan AS dengan dunia Islam.

Pastinya, pengalaman hidup Obama di Indonesia menyebabkan beliau berani menongkah arus Bush yang popular kerana dasar luarnya mencetuskan banyak kontroversi terutamanya melibatkan dunia Islam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

40 dara kawal Gaddafi di Rom


GAMBAR menunjukkan Gaddafi (tengah) dikawal oleh seorang pengawal peribadi wanitanya ketika beliau disambut oleh Berlusconi (kiri) di Rom, Itali pada Rabu lalu.


ROM - Kunjungan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi ke Itali mendapat liputan meluas media apabila beliau membawa ratusan pengiring termasuk 40 pengawal peribadi wanita yang masih dara, lapor sebuah akhbar semalam.

Pemimpin berkenaan mencipta kejutan apabila tiba di sini pada Isnin lepas dengan diiringi 300 kakitangan yang menaiki tiga pesawat Airbus dan disambut penuh istiadat oleh Presiden Silvio Berlusconi.

Seperti biasa, Gaddafi membawa bersama sebuah khemah besar yang didirikan di sebuah taman di sini untuk dijadikan tempat tinggalnya sepanjang lawatan itu.

Setiap anggota pasukan pengawal peribadi wanita Gaddafi memakai pakaian seragam dan membawa raifal separa automatik tetapi pada masa sama mereka tidak melupakan ciri-ciri kewanitaan dengan memakai mekap, gincu dan pewarna kuku.

Pemimpin berusia 67 tahun itu merupakan antara diktator paling taksub di dunia dan beliau tidak suka kalah kepada sesiapa kecuali kepada pasukan 40 pengawal wanita itu yang rela berkorban untuknya pada bila-bila masa.

Semua pengawal wanita Gaddafi perlu mengangkat sumpah taat setia dan mereka tidak sesekali akan meninggalkan beliau bersendirian dan wanita berstatus dara sahaja akan diterima menyertai pasukan elit itu.

Mereka menerima latihan di sebuah kolej khas dan perlu lulus ujian fizikal ketat selain mahir membunuh, menggunakan senjata api dan pakar dalam seni mempertahankan diri.

- Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Berjuta rakyat Iran mengundi


BEBERAPA wanita berbaris menunggu giliran mengundi di sebuah pusat pengundian di Teheran semalam.


TEHERAN - Berjuta-juta penduduk Iran memenuhi pusat-pusat membuang undi semalam dengan calon reformasi, Mir Hossein Mousavi (gambar) dijangka memperoleh kelebihan undi berbanding Presiden Mahmoud Ahmadinejad.

Orang ramai keluar mengundi sejak awal pagi malah di beberapa pusat pengundian, ramai yang terpaksa beratur panjang sebelum dapat membuang undi.

"Saya berhadap Mahmoud dapat dikalahkan," kata seorang pengundi, Mahnaz Mottaghi, 23, selepas membuang undi di sebuah masjid di tengah Teheran.

Di luar pusat pengundian sama, seorang peniaga, Abbas Rezai, 29, berkata, dia, isteri dan adik iparnya mengundi Mahmoud.

"Kami memilih Mahmoud untuk menjadi presiden untuk empat tahun lagi," katanya.


MAHMOUD dikelilingi penyokongnya di sebuah pusat pengundian di Teheran semalam.


Ceramah, slogan, kempen Internet dan debat televisyen menyemarakan lagi pilihan raya presiden kali ini.

Berikutan itu, Kementerian Dalam Negeri yang menyelia proses pengundian mengharamkan perhimpunan sehingga keputusan rasmi diumumkan hari ini.

Keputusan pemilihan kali ini dijangka tidak mengubah dasar utama Iran atau keputusan peringkat tertinggi seperti kemungkinan perbincangan dengan Washington berhubung beberapa isu.

Dasar-dasar itu dikawal langsung oleh ulama yang diketuai pemimpin agung, Ayatollah Ali Khamenei.

Mir Houssein berharap untuk memperkenalkan sistem media liberal dan cuba berdialog dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama selepas hampir 30 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua negara terhenti.

Beliau lebih berminat terhadap perbincangan dengan kuasa utama dunia dalam menyelesaikan isu reaktor tenaga nuklear yang dianggap Barat sebagai usaha menghasilkan bom nuklear.




Selain di Iran, warganya di seluruh dunia turut membuang undi di bangunan kedutaan.

Di Dubai, jalan-jalan berhampiran bangunan konsulat dipenuhi warga Iran yang cenderung memberi sokongan terhadap Mir Hossein.

"Dia ialah Obama kami," kata seorang ahli perniagaan, Maliki Zadehamid, 39.

Jumlah pengundi kali ini boleh mengatasi rekod 80 peratus keluar mengundi 12 tahun lalu yang menyaksikan Presiden Mohammad Khatami menang.

Mohammad menjangkakan Mir Hossein yang pernah menjadi perdana menteri pada 1980-an akan dipilih menggantikan Mahmoud.

"Semua penunjuk menunjukkan Mir Hossein akan menang," kata Mohammad.

Mir Hossein mengecam Mahmoud kerana salah urus ekonomi yang menyebabkan inflasi naik sehingga dua digit serta menyebabkan kadar pengangguran yang tinggi walaupun negara itu dilimpahi rizab gas dan minyak mentah. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

MAS rugi RM138 juta suku pertama 2009


KERUGIAN MAS disebabkan kelembapan ekonomi global. – Gambar hiasan.


PETALING JAYA – Malaysian Airline System Bhd., (MAS), mencatat kerugian pada suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2009 berdasarkan tiga faktor iaitu lebihan kapasiti, turun naik bahan bakar yang luar biasa serta kelembapan global yang menjejaskan permintaan penumpang dan kargo.

“MAS mencatatkan kerugian operasi suku pertama 2009 sebanyak RM138 juta, kerugian operasi pertama bagi syarikat penerbangan itu sejak suku ketiga 2006, kata Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Datuk Seri Idris Jala, semasa mengumumkan keputusan kewangan suku pertama syarikat itu di sini semalam.

MAS juga mencatat kerugian dalam lindung nilai bahan bakar berjumlah RM557 juta.

Pendapatan turun kepada RM2.7 bilion ketika ia berdepan dengan kemelesetan global paling buruk dalam tempoh 70 tahun dengan faktor tempat duduk jatuh 13.1 mata peratusan, katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_14.htm

Gagal samun ATM ceroboh restoran


DUA anggota polis memeriksa mesin ATM yang diumpil
di Pertama Kompleks di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Kejahilan dua pengawal keselamatan warga Nepal mengenai kecanggihan sistem keselamatan mesin pengeluar wang automatik (ATM) menghampakan niat mereka melarikan wang berjumlah RM320,000 dari sebuah mesin ATM di Pertama Kompleks Jalan Tunku Abdul Rahman di sini semalam.

Kedua-dua suspek yang bertugas syif malam bermula pada pukul 8 malam di sebuah premis perniagaan di situ dikatakan telah cuba mengumpil mesin tersebut menggunakan empat peralatan iaitu tukul, batang besi, pengumpil dan ragum.

Bagaimanapun, usaha mereka gagal kerana mesin ATM milik sebuah bank itu tidak mudah dipecah.

Enggan berputih mata, kedua-dua suspek itu kemudian menceroboh pula sebuah restoran yang terletak bersebelahan dengan mesin ATM tersebut.

Di restoran itu, kedua-dua suspek telah memecahkan peti simpanan dan melarikan wang berjumlah RM1,500.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohammad Sabtu Osman berkata, cubaan memecah mesin ATM itu disedari oleh dua pengawal keselamatan lain juga warga Nepal yang mahu memulakan syif pagi pada pukul 8 pagi.

"Semasa memulakan kerja mereka nampak ada percubaan memecahkan mesin ATM tersebut," kata beliau.

Menurut beliau, polis yang menyiasat kejadian itu mengesahkan terdapat cubaan menyamun wang dalam mesin ATM itu tetapi gagal.

"Kira-kira dua jam meninggalkan premis itu, kami menerima panggilan dari restoran yang memaklumkan peti besi restoran itu telah diumpil," kata beliau.

Kata beliau, polis yang menyiasat kedua-dua kejadian itu percaya suspek sama terlibat dalam kedua-dua kejadian tersebut.

Muhammad Sabtu memberitahu, pihaknya turut menjumpai beberapa peralatan memecah kedai yang ditinggalkan di restoran tersebut.

"Kita sedang mencari dua pengawal keselamatan itu yang telah menghilangkan diri," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...