Friday, September 17, 2010

Pembunuhan kejam Sosilawati: Kes boleh dibukti tanpa mayat

2010/09/17

KUALA LUMPUR: Profil asid deoksiribonukleik (DNA) dan keterangan mengikut keadaan boleh menyabitkan suspek dalam kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, walaupun mayat mangsa pembunuhan tidak ditemui untuk dijadikan sebagai bahan bukti dalam pendakwaan.

Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Kuthubul Zaman Bukhari, berkata pendakwaan boleh dilakukan berdasarkan bahan bukti memadai dan keterangan dikumpul polis atau pihak pendakwa mewujudkan prima facie dalam kes jenayah termasuk bunuh.

“Tidak semestinya apabila mayat kes bunuh tidak ditemui seperti dibakar, suspek tidak boleh didakwa kerana ada beberapa kes sebelum ini yang mana suspek didakwa di mahkamah dan dijatuhi dihukum mati,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, polis menganggap kes pembunuhan Sosilawati, 47; dan pemandunya Kamaruddin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, serta pegawai CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, selesai.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, dipetik berkata polis kini pada peringkat akhir mengumpul maklumat dan bukti sebelum mengemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menentukan pertuduhan terhadap sembilan suspek yang ditahan setakat ini.

Kuthubul Zaman berkata, antara keterangan mengikut keadaan yang boleh dijadikan bahan bukti dalam pendakwaan di mahkamah ialah senjata diguna untuk membunuh, pengecaman waris terhadap mangsa atau barang milik mangsa termasuk profil DNA mangsa.

“Apa yang penting, pihak pendakwa perlu mempersiapkan segala bahan bukti diperoleh menerusi siasatan mereka untuk dikemukakan di mahkamah bagi dijadikan inti pati pertuduhan dan berupaya mewujudkan prima facie.
“Jika tidak wujud prima facie, suspek akan dilepas dan dibebaskan tetapi jika wujud prima facie, suspek dalam pembelaannya perlu mengemukakan bukti yang menimbulkan keraguan munasabah terhadap dakwaannya,”
katanya.

Presiden Majlis Peguam Malaysia, K Ragunath berkata, turut mengesahkan bahawa keterangan mengikut keadaan, cebisan mayat mangsa dan DNA boleh dijadikan bahan bukti dalam menyabitkan suspek dalam kes pembunuhan.

“Apa-apa yang dijumpai dan boleh dijadikan bahan bukti atau keterangan mengikut keadaan, boleh digunakan untuk mendakwa suspek di mahkamah. Kita ada kaedah dan peraturannya,” katanya. t

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PembunuhankejamSosilawati_Kesbolehdibuktitanpamayat/Article/index_html

Pembunuhan kejam Sosilawati: Sukar dapatkan DNA mangsa

2010/09/17


ANAK Sosilawati, Erni Rineelawati Buhari (kiri), menyambut kunjungan sanak-saudara dan tetamu pada majlis tahlil untuk arwah ibunya.


Seminggu untuk keluarkan kalsium daripada tulang dibakar pada suhu tinggi


KUALA LUMPUR: Jabatan Kimia berdepan kesukaran dalam menentu dan mengenal pasti profil asid deoksiribonukleik (DNA) serpihan tulang yang dipercayai milik mangsa pembunuhan kejam, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain berikutan keadaan tulang yang terbakar teruk berikutan suhu pembakaran terlalu tinggi.

Bagi mendapatkan keputusan ujian, Jabatan Kimia dijangka mengambil masa seminggu kerana terpaksa mengeluarkan kalsium yang masih terkandung dalam tulang berkenaan terlebih dulu.


Ketua Pengarahnya, N Hithaya Jeevan, berkata sekiranya tulang yang ditemui tidak dibakar sebaliknya hanya reput dan ditanam, proses menganalisis mungkin mengambil masa maksimum dua hari.

“Persampelan tulang juga agak sukar dilakukan berbanding sampel lain seperti darah atau rambut kerana ia perlu dihancurkan terlebih dulu bagi mendapatkan debu.

“Di dalam tulang terdapat banyak kalsium, justeru itu kita perlu mengeluarkan semua kalsium di dalamnya terlebih dulu yang mungkin akan mengambil masa antara dua ke tiga hari. Apatah lagi tulang itu bukan reput atau lama sebaliknya ia terbakar teruk.

“Daripada debu tulang, pakar forensik boleh memulakan proses menganalisis bergantung kepada keadaan tulang, bagaimanapun kami tidak menolak kemungkinan ketepatannya boleh dicapai sehingga 100 peratus,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jabatan Kimia menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes berprofil tinggi ini membabitkan enam pakar forensik terlatih dan berpengalaman supaya profil DNA yang akan diketengahkan nanti boleh dijadikan bahan bukti, sekali gus membantu dalam menyelesaikan kes pembunuhan kejam berkenaan.

Katanya, buat masa ini semua sampel tulang masih belum dikenal pasti sama ada milik empat mangsa yang didakwa dibunuh atau milik orang lain atau milik haiwan sehinggalah ia siap dianalisis.

“Apa pun besar harapan mudah-mudahan sampel yang dihantar ini akan memberikan petunjuk dan antaranya yang mudah untuk diproses dan dianalisis,” katanya.

Sebahagian daripada sampel tulang dari lokasi kejadian diterima Jabatan Kimia daripada Unit Forensik Polis kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Hithaya bagaimanapun berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang sampel lain seperti rambut atau darah keluarga yang sudah pun menyerahkan sampel DNA masing-masing kepada Hospital Kuala Lumpur (HKL) Selasa lalu bagi ujian paterniti DNA.

Sementara itu, sumber memberitahu Berita Harian, serpihan tulang boleh membantu menentukan DNA jika sum-sum pada tulang berkenaan masih ada. Selain menentukan identiti, ia juga boleh menentukan bila sebenarnya mangsa dibunuh dan dibakar.

Katanya, DNA itu kemudian akan dipadankan dengan sampel tisu, rambut dan darah waris mangsa untuk ujian paterniti DNA bagi mengenal pasti padanan sampel.

“Dalam kes Sosilawati, penemuan barang kes seperti jam tangan dan senjata digunakan dalam pembunuhan mereka adalah untuk tujuan dokumentasi bagi mengukuhkan proses pendakwaan ke atas suspek.

“Dalam kes di Banting ini, penjenayah memang bijak dalam melupuskan bahan bukti dengan membunuh, kemudian bakar dan membuang ke sungai. Ini yang menyukarkan kes untuk kita siasat kerana sampel gigi yang biasanya menjadi sumber utama DNA turut musnah. Namun begitu, pakar forensik mempunyai banyak kaedah lain untuk mencari DNA ini,”
katanya yang juga seorang pakar forensik.

Beliau berkata, selain itu alat pengesan logam juga banyak digunakan bagi mengesan bahan bukti antaranya atap zink yang dipercayai digunakan sebagai lapik untuk membakar mayat, jam tangan dan senjata pembunuhan.

Katanya, Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat turut masuk ke lokasi dipercayai tempat mayat dibakar bagi menyiasat kesan bau petrol dan kesan terbakar bagi menentukan waktu sebenar kesemua mangsa dibakar.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PembunuhankejamSosilawati_SukardapatkanDNAmangsa/Article/index_html

Pembunuhan kejam Sosilawati: Tiga dakwa nyaris jadi mangsa

2010/09/17


ORANG ramai yang mengunjungi Ladang Soon Beng Longan Trading di Tanjung Sepat, di Banting sempena cuti umum Hari Malaysia semalam berputih mata apabila polis menutup laluan ke ladang itu sejak Sabtu lalu berikutan penyiasatan kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi mangsa kerana ladang itu terletak bersebelahan ladang suspek utama.Peguam mahu jumpa ahli perniagaan, dua rakan di Banting Isnin lalu

KUALA LUMPUR: Pembongkaran kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain serta kejayaan polis menahan sembilan orang berhubungnya berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya tiga ahli perniagaan bergelar Datuk dari Selangor daripada menjadi mangsa suspek kes itu.

Ketiga-tiga ahli perniagaan itu sebelum ini dikatakan diminta peguam bergelar Datuk yang juga suspek utama kes pembunuhan Sosilawati menemuinya di Banting, Isnin lalu, untuk mendapatkan semula wang pendahuluan bagi urusan jual beli tanah.
Salah seorang ahli perniagaan terbabit yang enggan dikenali berkata, beliau dihubungi peguam itu sehari sebelum Aidilfitri dan me-mintanya ke Banting, Isnin lalu kerana mahu memulangkan wang pendahuluan RM1 juta bagi pembelian tanah seluas enam hektar di Butterworth, Pulau Pinang.

Katanya, beliau terkejut apabila mendapat tahu peguam itu ditahan polis Sabtu lalu selepas disyaki menjadi dalang kes pembunuhan Sosilawati dan tiga individu lain di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting.

“Dia (suspek) menghubungi saya dan bertanya di mana saya berada dan memberitahunya saya di Johor untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga dan dia minta berjumpanya pada hari raya keempat di Banting.

“Saya bersyukur kerana belum berjumpanya. Jika tidak, saya juga mungkin menjadi mangsanya,”
katanya ketika ditemui, semalam.
Katanya, suspek pada mulanya memberitahu tanah di Pulau Pinang itu milik seorang lelaki berbangsa India, tetapi pemeriksaannya mendapati ia didaftar atas nama seorang lelaki Cina.

“Saya kemudian tidak berminat membeli tanah itu dan meminta suspek memulangkan bayaran pendahuluan RM1 juta yang diserahkan kepadanya. Dia berjanji memulangkannya apabila bertemu di Banting, Isnin lalu,” katanya.

Ahli perniagaan itu mendakwa dua lagi rakannya yang juga ahli perniagaan turut berurusan dengan suspek bagi pembelian tanah turut diminta ke Banting, Isnin lalu bagi menyelesaikan urus niaga mereka.

Berikutan itu, beliau bersama seorang rakannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, Selasa lalu.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PembunuhankejamSosilawati_Tigadakwanyarisjadimangsa/Article/index_html

Pembunuhan kejam Sosilawati: Bertelingkah hasil jualan tanah RM29 juta

Oleh Hardi Effendi Yaacob, Rafidah Md Ruzki, Shaarani Ismail, Wan Faizal Ismayatim, Norakmah Mat Youb, Suhana Roslan, Nor Fazlina Abdul Rahim, Sukhairi Abd Thani, Syed Azwan Syed Ali, Mohd Zaky Zainuddin, Faridzwan Abdul Ghafar, Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bharian.com.my


2010/09/17


LOKASI kes pembunuhan Sosilawati dan tiga individu lain di Ladang Gadong, Tanjung Sepat.



KUALA LUMPUR: Pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya dikatakan dirancang rapi oleh suspek utama kes itu selepas timbul masalah wang hasil jualan sebidang tanah di Pulau Pinang milik mereka dan dua lagi rakan kongsi.

Tanah seluas 12 hektar bernilai RM25 juta itu dibeli secara kongsi oleh keempat-empat mereka pada 24 Mac 2008 dan dikatakan dijual kepada seorang ahli perniagaan di Selangor pada harga RM29 juta, tahun lalu.

Pembelian dan penjualan tanah itu difahamkan dikendalikan sepenuhnya oleh suspek utama yang juga peguam dan bertindak sebagai broker berikutan pengalaman luasnya sebagai pengamal undang-undang, terutama dalam urusan berkaitan jual beli tanah.

Seorang rakan kongsi tanah itu memberitahu Berita Harian, mereka membeli tanah tepi pantai berkenaan untuk tujuan pelaburan dengan Sosilawati menjadi pelabur terbesar.

“Atas persetujuan bersama, kami berempat termasuk suspek berkongsi membayar modal RM2.5 juta sebagai bayaran pendahuluan 10 peratus untuk membeli tanah itu.

“Apabila tanah itu dijual pada 2009 dengan harga RM29 juta, kami sepatutnya berkongsi keuntungan RM4 juta, bagaimanapun kami tidak menerima pulangan yang dijanjikan daripada peguam terbabit sehingga kini, kecuali modal,”
kata ahli perniagaan bergelar Datuk itu yang tidak mahu namanya disiarkan.

“Kami pernah bertanyakan hal itu kepada suspek, namun dia memberikan alasan proses penjualan tanah belum selesai... ada kaveat ke atas tanah itu menyebabkan proses menukar nama tidak dapat dilakukan tanpa perintah mahkamah.
“Malah, suspek sentiasa menjelaskan kepada kami bertiga proses itu bukan mudah dan mengambil masa kerana membabitkan banyak prosedur mahkamah, selain meminta kami bersabar,”
katanya.

Ahli perniagaan itu berkata, kali terakhir mereka berempat bertemu kira-kira dua bulan lalu bagi membincangkannya, bagaimanapun suspek memberi alasan urusan berkenaan belum selesai.

Beliau mengaku mereka berempat sebagai rakan kongsi selalu berhubungan melalui telefon.

“Saya terkejut membaca mengenai kehilangan Sosilawati, disusuli berita pembunuhannya yang dikaitkan dengan peguam kami. Lebih mengejutkan cara Sosilawati dibunuh bersama tiga yang lain,” katanya.

Sosilawati, pengasas produk kecantikan, Nouvelle Visages; pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44; perunding kewangan CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dipercayai dibunuh dan dibakar di sebuah ladang di Banting sebelum abu mereka dibuang ke dalam Sungai Panchau, pada 30 Ogos lalu.

Sementara itu, seorang lagi ahli perniagaan bergelar Datuk berasal dari Selangor mengesahkan beliau yang membeli tanah berkenaan pada harga RM29 juta daripada mereka berempat, tahun lalu.

Beliau yang meminta identitinya dirahsiakan, bagaimanapun menjelaskan bayaran tanah itu masih belum selesai sepenuhnya berikutan prosedur mahkamah.

“Setakat ini, saya sudah membayar wang pendahuluan 10 peratus (RM2.9 juta) dan hanya menunggu proses kelulusan untuk bayaran penuh,” katanya mengesahkan sudah menerima beberapa dokumen daripada suspek berhubung pembelian tanah itu dan percaya semua proses mengikut saluran undang-undang.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PembunuhankejamSosilawati_BertelingkahhasiljualantanahRM29juta/Article/

Media Perlu Dibenar Debat, Perjelas Isu Sensitif - NUJ

Jumaat September 17, 2010

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membenarkan media mengambil sikap lebih terbuka dan bebas mendebatkan sesuatu perkara termasuk isu sensitif, untuk memberi kefahaman yang lebih jelas kepada semua pihak, kata Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Malaysia Norila Daud.

Beliau berkata, NUJ percaya langkah tersebut mampu melahirkan rakyat yangberpengetahuan dan menghargai perbezaan pendapat itu sebagai satu asas penting yang membolehkan negara mencapai kemajuan setelah 53 tahun merdeka.

"Adalah lebih sihat perkara yang walaupun dianggap dan diklasifikasikan sebagai sensitif, diperjelaskan dan diperdebatkan dalam media dengan cara beretika, daripada membiarkan rakyat mengambil tindakan sendiri kerana tidak mendapat gambaran jelas serta maklumat tepat mengenai sesuatu perkara itu.

"Kebebasan pembaca untuk berdebat dan memberi pandangan mengenai sesuatu isu tidak boleh disekat di akhbar-akhbar yang dikawal oleh Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, berikutan keterbukaan dan kebebasan mereka berbuat demikian di portal-portal dan akhbar online,"
katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong bahawa kementerian itu akan merangka garis panduan penerbitan baru, Norila berkata ia akan menjadikan akhbar yang dikawal akta berkenaan tidak lagi relevan, dan secara perlahan mampu membunuh industri persuratkhabaran itu sendiri.

"Dengan ini, NUJ berpendapat sudah sampai masanya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dipinda supaya penerbit tidak perlu lagi memohon lesen penerbitan akhbar dan majalah.

"NUJM juga berpendapat pihak yang mengancam ketenteraman awam dan menjejaskan keharmonian rakyat menerusi penulisan dan penyiaran, mesti didakwa di bawah undang-undang sedia ada, bagi membolehkan mereka membuat pembelaan diri di mahkamah,"
katanya.

Semalam, Lee berkata garis panduan baru itu dirangka bagi memastikan penerbit memahami tanggungjawab serta peranan mereka sepenuhnya.

Katanya, antara perkara yang perlu dilakukan penambahbaikan ialah memperjelaskan dengan lebih terperinci peraturan dan syarat permit serta peruntukan di dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Norila berkata, tidak menjadi kesalahan sekiranya penerbit atau akhbar tertentu menghurai dan memberitahu pembaca tentang keadaan sebenar jika berlaku gangguan terhadap mana-mana agama, budaya atau tatatertib oleh pihak yang tidak memahami sensitiviti sesuatu kaum.

"Menggunakan isu sesuatu berita dan rencana itu boleh membawa kesan kepada keselamatan dan ketenteraman awam, tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh kerajaan hari ini sebagai syarat untuk mengetatkan dan mengawal penerbitan berita.

"Kekayaan budaya yang dilahirkan daripada kepelbagaian bangsa, agama dan keturunan di negara ini tidak akan menuju ke satu tahap kemajuan, sekiranya kementerian terus menggunakan akta itu sebagai alasan untuk mengetatkan syarat-syarat penerbitan sehingga menyukarkan penyaluran maklumat sebenar,"
katanya. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/9/17/mstar_berita/20100916180511&sec=mstar_berita

9 Kes Jenayah Dikaitkan Dengan Suspek Utama Kes Bunuh Sosilawati

Jumaat September 17, 2010

Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

KUALA LANGAT: Sebanyak sembilan kes jenayah dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain dilaporkan, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata, peguam yang bergelar Datuk itu dikatakan terbabit dengan tujuh kes jenayah komersial membabitkan penipuan dan pecah amanah berjumlah RM7.1 juta di daerah ini.

"Ini termasuk dua laporan polis melibatkan kehilangan dua orang iaitu seorang warga India dan seorang warga tempatan berbangsa Cina.

"Kes ini dibuka semula untuk siasatan. Sedia maklum, kes jenayah komersial bukan cepat untuk diselesaikan maka perlu diteliti banyak dokumen dan menyoal siasat ramai saksi,"
katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Ditanya sama ada terdapat pegawai atau anggota polis 'dibeli' oleh peguam terbabit bagi menutup kes tersebut, Khalid berkata, tiada laporan dibuat mengenainya setakat ini.

"Jika ada, laporkan kepada polis atau datang berjumpa dengan saya sendiri, ceritakan kepada saya apa maksud polis ini dibeli.

"Sudah semestinya perkara ini akan diambil tindakan sekiranya betul. Setakat ini, semuanya sekadar cakap-cakap saja.

"Kita tidak akan melindungi orang-orang kita yang menyeleweng atau mereka yang melindungi orang jahat,"
tegasnya.

Selain itu, laporan lain yang disyaki mempunyai kaitan dengan suspek adalah kehilangan seorang warga India dan seorang warga tempatan berbangsa Cina.

Khalid berkata, kehilangan warga India dilaporkan kepada polis pada 8 September lalu dan berdasarkan siasatan, ia mempunyai kaitan dengan suspek kes bunuh Sosilawati.

"Walaupun kehilangannya pada awal tahun ini namun laporan mengenainya baru saja diterima polis pada 8 September lalu. Ia kini dalam siasatan polis," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kes bunuh seorang wanita India iaitu T.Selvi turut disyaki mempunyai kaitan dengan kes yang sama.

"Bagaimanapun, kes tersebut masih dalam siasatan meskipun suami mangsa membuat pelbagai ulasan dan mengaitkannya dengan suspek.

"Sebelum ini kami sudah melakukan siasatan awal terhadap kes itu namun sehingga kes baru melibatkan Sosilawati, belum ada petunjuk baru yang diperoleh,"
jelasnya.

Pun begitu, katanya, kes bunuh wanita itu tidak pernah ditutup kerana polis terus mendapatkan risikan serta maklumat untuk meneruskan siasatan.

"Sekarang kita sudah pun dapat petunjuk baru, maka kes ini terus disiasat," katanya lagi.

Selvi ditikam hingga mati di bahagian dada dan perut di kawasan rumahnya di Taman Cempaka dekat sini pada April 2009 kira-kira pukul 5 petang.

Suami mangsa, P. Balasandram, 54 mendakwa kematian isterinya pada tahun lalu mempunyai kaitan dengan suspek utama kes bunuh Sosilawati.


Ini berikutan dia pernah menjalinkan kerjasama dengan suspek atas urusan pinjaman wang sejak 2006 dengan bertindak sebagai pemberi pinjaman mencecah berpuluh ribu ringgit manakala suspek pula menyediakan dokumen perjanjian.

Sosilawati bersama tiga individu lain telah dipukul sehingga mati dan kemudian dibakar dan abu dibuang di Sungai Panchau berhampiran lokasi kejadian di Ladang Gadong, Tanjong Sepat dekat sini.

Selain Sosilawati, tiga individu lain adalah pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32.

Kesemua mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/9/17/mstar_berita/20100916124846&sec=mstar_berita

Majlis Peguam: Polis Lambat Bertindak Kes Salah Laku Peguam

Jumaat September 17, 2010

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam memecat kira-kira 30 hingga 40 peguam setiap tahun kerana pelbagai kesalahan namun tiada sebarang tindakan lanjut oleh polis walaupun laporan telah dibuat.

Sehubungan itu, Presidennya, K. Ragunath meminta polis mengambil tindakan tegas terhadap peguam yang menyalahi undang-undang seperti terlibat dalam sebarang kes pecah amanah atau penggubahan wang haram.

"Dalam Majlis Peguam, kita memiliki sebuah lembaga disiplin yang tegas dan berdikari bagi menangani peguam menyeleweng, namun, hanya itulah kuasa yang kami ada, kami tidak berkuasa menghantar mereka ke penjara.

"Isu kami di sini ialah polis lambat bertindak dalam kes sedemikian. Kami bersedia membantu polis jika mereka ingin mengambil tindakan rasmi terhadap peguam menyeleweng,"
katanya kepada pemberita selepas melancarkan Fasa Keenam: Badan Kehakiman dan sambutan Festival Jalanan Hari Malaysia pada Khamis.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang menyarankan supaya Majlis Peguam mengaudit anggotanya bagi memastikan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Saranan itu dibuat berikutan pembunuhann kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, yang dilaporkan didalangi dua peguam adik-beradik.

Dalam pada itu, Ragunath menggesa pihak media dan rakyat di negara ini agar memberi ruang kepada polis melengkapkan siasatan dan menyelesaikan isu berkenaan, tanpa melemparkan sebarang tuduhan sehingga mereka yang ditahan berhubung kes itu didapati bersalah.

"Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah isu serta dakwaan yang disiarkan pihak media mengenai kes ini mungkin boleh menyebabkan keadaan menjadi bahaya dan prejudis.

"Jika anda inginkan sabitan (dalam kes pembunuhan ini), anda mesti memberikan polis sedikit ruang bagi mereka melengkapkan siasatan. Jika terdapat sebarang kekaburan (dalam kes ini), kita tidak mahu berlaku situasi di mana seseorang itu telah didakwa di mahkamah dan kemudian terpaksa dibebaskan atas sebab-sebab teknikal.

"Jadi tolonglah, saya mohon kepada pihak media dan orang ramai agar memberikan polis sedikit ruang, mereka telah melakukan tugas yang cemerlang apabila mampu menyelesaikan kes berkenaan, namun, mereka yang ditahan adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya," katanya.

Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Karim, 32, sebelum ini dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Siasatan kemudiannya mendedahkan keempat-empat mereka dibunuh di sebuah ladang ayam di Sungai Gadong dekat Tanjung Sepat, Selangor sebelum mayat mangsa dibakar dan abunya dibuang ke dalam sebatang sungai di kawasan berhampiran ladang milik peguam bergelar Datuk itu.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/9/17/mstar_berita/20100917113331&sec=mstar_berita

Rahsia Ngeri Sungai Panchau

Published: Jumaat September 17, 2010 MYT 10:02:00 AM
Updated: Jumaat September 17, 2010 MYT 10:06:40 AM

Polis menjumpai ratusan fragmen tulang manusia di dasar sungai

Oleh M.KUMAR, STEVEN CHIEW, WANI MUTHIAH, A.RUBAN dan PRISCILLA DIELENBERG

KUALA LANGAT: Sungai Panchau dekat sini kemungkinan memiliki lebih banyak rahsia mengerikan daripada yang dibayangkan.

Di sebalik air sungai yang keruh itu mengandungi ratusan fragmen tulang manusia, dipercayai dijadikan sebagai ‘kubur berair’ bagi mangsa bunuh.


Difahamkan, polis menjumpai lebih 300 fragmen tulang manusia dari dasar sungai yang terletak hanya antara empat dan lima kilometer daripada ladang berlakunya pembunuhan empat individu.

Menurut seorang pakar yang mengendalikan pembakaran mayat sejak 20 tahun, apabila badan manusia itu dibakar, ia akan meninggalkan kira-kira 20 sehingga 25 fragmen tulang yang dapat dilihat.

Setakat ini, polis sedang menyiasat pembunuhan ngeri jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dan mengesahkan sekurang-kuranya lapan laporan mengenai individu hilang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek utama ke berkenaan.

Selain Sosilawati, tiga individu lain adalah pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32.

Mereka dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu dan seminggu selepas itu cebisan mayat mereka dijumpai dalam Sungai Panchau dan beberapa sungai lain berhampiran Ladang Gadong.

Jumlah fragmen tulang yang banyak menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai mereka yang lain mungkin dibunuh di ladang terbabit sebelum Sosilawati bersama tiga individu.

Sumber yang mempunyai kaitan dalam penyiasatan itu berkata, fragmen tulang dianalisis oleh pasukan khas forensik dan jabatan kimia bagi mengenal pasti latar belakang mereka.

Pasukan polis forensik memulakan pencarian di sungai berkenaan sejak Ahad lalu dan menjumpai dua pisau, beberapa jam tangan dan barangan kemas.

Polis telah melantik dua pasukan khas manakala penyiasat melakukan tugas mereka sepanjang masa di lokasi kejadian.

Polis turut meneliti laporan kehilangan beberapa individu yang tidak diselesaikan sejak beberapa tahun lalu bagi mengenal pasti terdapat kaitan dengan suspek utama yang merupakan adik-beradik peguam.

“Diharapkan, kita dapat menyelesaikan beberapa kes yang dibuka semula dengan petunjuk-petunjuk baru ini,” menurut satu sumber.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, satu pasukan khas kini menyiasat semua laporan kehilangan individu yang mempunyai kaitan dengan suspek.

“Tiada satu pun akan terkecuali dan semua laporan orang hilang akan disiasat,” katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata pada Ahad, terdapat empat kes orang hilang yang disiasat semula berdasarkan laporan polis dibuat oleh keluarga yang mempunyai kaitan dengan adik-beradik peguam.

Satu sumber berkata, antara mereka yang hilang dipercayai ‘dihapuskan’ adalah seorang warga India, seorang wanita tempatan dan dua lelaki.

Difahamkan polis di bahagian pemalsuan wang akan memohon Majlis Peguam supaya aset dua peguam terbabit dibekukan.

http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/9/17/mstar_berita/20100917095959&sec=mstar_berita

Haiwan mirip lembu bertanduk dua ditemui


GAMBAR menunjukkan haiwan mirip lembu tetapi mempunyai dua tanduk di kepala yang ditangkap di wilayah Bolikhamxay, Laos pada Ogos lalu.


VIENTIANE - Seekor haiwan mirip lembu yang mempunyai dua tanduk di bahagian kepala telah dilihat buat pertama kali dalam tempoh lebih sedekad selepas ia ditangkap oleh penduduk kampung di wilayah Bolikhamxay, Laos, lapor sebuah akhbar semalam.

Haiwan itu yang mempunyai bentuk seperti lembu liar tetapi mempunyai dua tanduk dikenali dengan nama Saola.

Apabila berita Saola ditangkap pada lewat Ogos lalu tersebar, anggota-anggota Pertubuhan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa dan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar dihantar untuk memeriksa dan melepaskan binatang tersebut yang kali terakhir dilihat pada 1999.

Malangnya, Saola dewasa itu mati dan gambarnya ketika hidup sempat dirakamkan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Baju dihasilkan daripada semburan khas


DR. MANEL menyembur badan seorang model menggunakan semburan khas.


MADRID - Seorang pereka fesyen dari Sepanyol, Dr. Manel Torres mencipta semburan khas yang boleh menghasilkan baju dan dipakai seperti pakaian biasa, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia bekerjasama dengan Paul Lauckham yang merupakan Profesor Teknologi Partikel di Kolej Imperial London untuk menghasilkan semburan baju tersebut yang dinamakan Fabrican selepas melakukan penyelidikan selama 10 tahun.

Pakaian segera itu dihasilkan daripada campuran fiber kapas, polimer dan pelarut untuk membentuk larutan sebelum dimasukkan ke dalam tin aerosol.

Pengguna cuma perlu menyembur baju segera itu yang didatangkan dalam pelbagai warna dan membiarkannya kering dalam tempoh kurang 15 minit.

Baju segera itu boleh ditanggalkan, dibasuh dan dipakai semula oleh penggunanya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Bersenam bukan cara kuruskan badan

LONDON - Satu kajian menunjukkan bahawa bersenam bukannya cara terbaik untuk menurunkan berat badan, lapor sebuah akhbar semalam.

Kajian itu menyatakan penurunan bilangan kanak-kanak yang berjalan ke sekolah dan peningkatkan bilangan orang menonton televisyen didapati bukan penyumbang kepada berat badan.

Menurut kajian itu, kanak-kanak yang pergi ke sekolah dengan menaiki kereta akan menghabiskan masa untuk berlari di taman permainan.

Menurut seorang pakar dari Universiti Aberdeen, Profesor John Speakman, pada tahun 1950an, tidak ada seorang pun yang membeli sebuah basikal senaman dan mengayuhnya di dalam garaj.

Namun, katanya, ketika ini ramai orang yang menggunakan basikal senaman dan mengayuhnya di dalam garaj untuk menguruskan badan.

Justeru, katanya, seseorang manusia kini bukannya tidak aktif jika dibandingkan 20 tahun lalu.

Menurutnya, peningkatan masalah kegemukan sebenarnya disebabkan seseorang itu makan terlalu banyak dan bukannya kurang melakukan senaman. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Lembu terkecil di dunia


GAMBAR yang disiarkan Guinness World Records menunjukkan lembu
terkecil dunia, Swallow (kanan) bersama dengan seekor lembu jantan.


LONDON - Seekor lembu kerdil yang meminati muzik kontemporari dinamakan sebagai lembu terkecil di dunia oleh Guinness World Records, lapor sebuah akhbar semalam.

Pihak pengurusan Guinness menyatakan, lembu sebesar seekor biri-biri itu berasal dari kawasan Yorkshire Barat, utara England dan berukuran 84 sentimeter panjang.

Lembu tersebut berusia 11 tahun dan dinamakan Swallow.

Pemiliknya, Caroline Ryder berkata, Swallow kerap menghabiskan masa dengan memakan rumput atau mendengar radio Perbadanan Penyiaran British (BBC) di bangsalnya.

Swallow berasal dari baka lembu Dexter yang terkenal kerana saiznya yang kerdil tetapi haiwan tersebut jauh lebih kecil berbanding kebanyakan lembu Dexter lain. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Haiwan aneh ditemui di Kenya



KAMERA yang dipasang di Hutan Boni-Dodori menunjukkan seekor haiwan aneh mencari makanan di Kenya.


NAIROBI - Sejenis mamalia ganjil dipercayai spesies baru tikus kasturi gajah berjaya dirakamkan di hutan Boni-Dodori, pedalaman timur laut Kenya baru-baru, lapor sebuah akhbar semalam.

Saintis-saintis percaya bahawa mamalia sebesar seekor kucing yang mempunyai belalai dan memakan serangga itu merupakan spesies baru tikus kasturi gajah.

Haiwan ganjil itu yang menyerupai kombinasi seekor tenggiling dan kancil pertama kali dirakamkan di Hutan Ndundulu, Tanzania pada 2005.

Namun, beberapa perangkap kamera dipasang di hutan Boni-Dodori selepas seorang ahli Persatuan Zoologi London (ZSL), Grace Wambui terserempak dengan makhluk aneh itu. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Ibu buang bayi kerana dirogol majikan



GAMBAR fail menunjukkan seorang jururawat mendukung bayi yang ditemui dalam beg sampah di dalam pesawat Gulf Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila pada Ahad lalu.


MANILA - Seorang wanita Filipina mengaku melahirkan seorang bayi di dalam sebuah pesawat sebelum dia membuang anaknya itu ke dalam beg sampah di dalam tandas pesawat yang mendarat di Lapangan Terbang Antarbangsa Ninoy Aqiono di sini pada Ahad lalu, kata seorang Ahli Dewan Perwakilan Rakyat, Lani Mercado semalam.

Menurutnya, wanita Filipina itu hamil selepas dia dirogol oleh majikannya semasa dia bekerja sebagai pembantu rumah di Qatar.

"Dia berasa sakit untuk melahirkan anak," kata Mercado yang menemui wanita berkenaan di sebuah ibu pejabat siasatan polis di sini.

Menurutnya, wanita itu terpaksa membuang anaknya kerana dia berasa bimbang akan mendapat tanggapan buruk daripada keluarganya sendiri.

Mercado berkata, wanita itu menjelaskan isteri majikannya memaksanya kembali ke Filipina sekali gus menyebabkan dia terpaksa menyembunyikan kehamilannya.

Pada Ahad lalu, seorang pengawal keselamatan lapangan terbang itu menemui bayi seberat tiga kilogram yang masih mempunyai tali pusat dan dibalut dengan kertas tisu di dalam sebuah beg sampah dari pesawat yang tiba dari Bahrain.

Pihak berkuasa berjaya mengesan wanita itu di Apayao kelmarin sebelum menahannya untuk disoal siasat di sebuah ibu pejabat siasatan polis di Manila.

Identiti wanita itu diketahui selepas para penyiasat mencari nama penumpang yang duduk di sebuah kerusi yang didapati mempunyai kesan darah. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Tangisan bayi di bawah jambatan


BAYI yang ditemui ditinggalkan di bawah jambatan di Tapah semalam.


TAPAH – Seorang bayi lelaki dijumpai dalam keadaan kesejukan dan dihurung serangga di bawah sebuah jambatan merentasi Sungai Liar berhampiran Taman Rekreasi Air Panas Sungai Klah, Sungkai dekat sini kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Supritendan Abdullah Arshad berkata, bayi malang yang dipercayai berusia dua hari itu dijumpai oleh seorang remaja perempuan, Nurul Ain Zakaria, 16, yang terdengar suara tangisan kira-kira pukul 5.40 petang.

Beliau berkata, sebelum itu Nurul Ain sedang menunggu ibu dan adik lelakinya untuk pulang ke rumah di Menderang, Sungkai setelah berkelah di Sungai Tesong tidak jauh dari situ.

“Setelah dicari bunyi suara tangisan itu, remaja dan keluarganya menemui seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat tanpa pakaian di bawah jambatan tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Ladang didakwa ada tempat pembakaran


ANGGOTA polis mengawal jalan masuk ke Ladang Gadong, Tanjung Sepat semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


BANTING - Keadaan ladang milik peguam Datuk K. Patmanaban yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain di Ladang Gadong di sini dianggap sebagai pelik kerana didakwa mempunyai satu tempat pembakaran.

Perkara itu didedahkan oleh seorang lelaki yang mendakwa dia pernah memasuki ladang tersebut untuk menghantar haiwan ternakan yang dibeli Patmanaban empat bulan lalu.

Di ladang itu, lelaki yang enggan dikenali itu mendakwa dia melihat beberapa kepingan zink diletakkan bersebelahan tempat pembakaran di ladang itu.

"Dari luar ladang itu tidak nampak apa-apa kerana ia dikelilingi tembok setinggi kira-kira dua meter," katanya yang merupakan penduduk di sini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Bayi lelaki menggigil ditemui bawah jambatan

2010/09/17

TAPAH: Perasaan curiga seorang remaja perempuan berjaya menyelamatkan nyawa bayi malang yang ditinggalkan di bawah jambatan Sungai Liar berhampiran Taman Rekreasi Air Panas Sungai Klah (TRAPSK), Sungkai petang kelmarin.

Lebih menyedihkan, ketika ditemui kira-kira jam 5.40 petang, bayi lelaki bertali pusat itu menggigil kesejukan kerana tidak berpakaian serta mengalami luka di telinga kiri, jari tangan kiri dan hidung dipercayai gigitan binatang.

Berdasarkan keadaan fizikal dan persekitaran kawasan dia ditinggalkan, peratusan bayi dipercayai berusia dua hari itu hidup begitu tipis jika remaja berkenaan tidak menemuinya.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdullah Arshad berkata, remaja perempuan berkenaan berada di kawasan kejadian kerana menunggu ibu dan adik lelakinya pulang ke rumah selepas berkelah di Sungai Tesong.


“Remaja berkenaan mendengar bunyi seperti tangisan bayi dan selepas curiga, dia memberitahu keluarganya dan mereka turut mendengarnya.


“Mereka mencari arah suara itu sebelum menemui bayi tidak berpakaian menangis di bawah jambatan merentasi Sungai Liar. Mereka melaporkan penemuan bayi itu kepada polis,”
katanya.


Abdullah berkata, pemeriksaan awal polis mendapati bayi itucedera di hidung, jari tangan kiri dan telinga kiri dipercayai akibat digigit binatang.


Katanya, selepas dibawa ke Klinik Kesihatan Sungkai, bayi seberat 1.9 kilogram itu kemudian dirujuk ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan lanjut.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bayilelakimenggigilditemuibawahjambatan/Article

Jururawat diragut beraya atas katil

2010/09/17

AMPANG: Seorang wanita terpaksa menyambut lebaran di atas katil selama sembilan hari selepas cedera akibat diragut berhampiran bulatan Taman Seraya, di sini, dua hari sebelum Aidilfitri lalu.

Mangsa, Azlina Yamin, 28, yang juga seorang jururawat patah tulang rusuk, luka bahu dan dua kaki apabila ditolak peragut yang cuba merampas rantai lehernya sebelum dia ditolak dan terseret bersama motosikalnya.

Difahamkan, peragut terbabit bertindak kejam apabila dia yang cuba menarik rantai mangsa gagal selepas mangsa yang menunggang motosikal berseorangan menepis tangannya.


Bagaimanapun, peragut terbabit naik angin dan sekali lagi cuba merampas rantai leher mangsa, namun gagal sebelum nekad menolak motosikal mangsa.


Perbuatan itu bukan saja membuatkan mangsa terpaksa menanggung kesakitan, malah kini trauma untuk menunggang motosikal berseorangan. Mangsa yang ditemui berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari, 8 September lalu, ketika dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di sebuah hospital swasta di Ampang ke rumahnya di Hulu Langat.


“Saya perasan ada sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki mengekori ketika berhenti di lampu isyarat berhampiran Taman Seraya.


“Bagaimanapun, saya tidak peduli,”
katanya.


Menurutnya, tidak lama selepas itu, gerak hatinya mula berasa pelik dan curiga kerana lelaki terbabit langsung tidak memotong.


“Namun, dia menghampiri motosikal saya sebelum cuba merentap rantai leher, namun tidak berjaya kerana saya menepis tangannya,” katanya.


Menurutnya, peragut terbabit tidak berpuas hati sekali lagi menghampiri motosikalnya.


“Peragut terbabit cuba merampas rantai leher, namun gagal kerana saya menepis tangannya. “Tindakan saya itu membuatkan dia berang sebelum menolak pemegang motosikal menyebabkan saya tersungkur dan terseret bersama motosikal,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jururawatdiragutberayaataskatil/Article

Polis cemburu ugut tembak bekas isteri

2010/09/17

AMPANG: Hanya kerana cemburu dan mengesyaki bekas isterinya mempunyai hubungan sulit dengan rakan baik sendiri, seorang pegawai kanan polis sanggup mengacukan pistol dan mengugut akan menembak wanita terbabit pada penghujung Ogos lalu.

Malah, ugutan mahu menembak itu berlaku dua kali dan bukan saja isterinya, namun lelaki yang juga rakan baiknya turut sama diugut akan ditembak pegawai polis itu.

Mangsa yang berusia lingkungan 30-an
itu pada mulanya enggan mendedahkan perkara terbabit kerana khuatir dengan sikap panas baran bekas suaminya itu bagaimanapun selepas mendapat nasihat, dia akhirnya melaporkan kejadian itu kepada polis, Selasa lalu.


Menurut sumber, kejadian bermula apabila bekas suami mangsa yang dikatakan naik angin kerana mengesyaki isterinya itu mempunyai hubungan dengan rakannya sendiri memukul mangsa hingga mukanya lebam.


“Mangsa dan lelaki terbabit dikatakan kerap bertengkar sejak beberapa bulan lalu dan setiap kali pertengkaran berlaku mangsa pasti dipukul bekas suaminya.


“Kemuncaknya berlaku pertengahan Julai lalu apabila mangsa bukan saja dipukul hingga bibirnya berdarah, malah dilafazkan cerai oleh suaminya itu,”
katanya.


Sumber terbabit berkata, bagaimanapun mangsa masih lagi tinggal bersama bekas suaminya kerana menunggu keputusan mahkamah selepas dia memfailkan perceraian berkenaan. “Sepanjang tempoh tinggal bersama, mangsa turut dipukul hingga mengalami kecederaan di tangan membuatkan dia sudah tidak tahan dengan perangai bekas suaminya itu.


“Mangsa tidak dibenarkan keluar dari rumah dan mangsa hanya mengikut arahan itu bagi mengelak dicederakan,”
katanya.


Beliau berkata, mangsa cuba mendapatkan bantuan daripada seorang lelaki yang juga rakan bekas suaminya namun tindakan itu menimbulkan rasa cemburu bekas suami mangsa dan menuduh wanita terbabit mempunyai hubungan sulit.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Poliscemburuuguttembakbekasisteri/Article

4 lelaki alim kucing pura-pura sesat jalan

2010/09/17

KUALA LUMPUR: Dengan berlagak seperti orang baru di sesuatu kawasan, sekumpulan empat pakar pukau didalangi seorang wanita berusia lewat 30-an dikesan bergerak aktif di sekitar pasar raya di ibu kota untuk memerangkap mangsa, sejak sebulan lalu.

Kumpulan terbabit hanya menggunakan sekeping kertas bagi memukau mangsa sebelum merampas barang berharga milik mangsa.

Bagi memudahkan mereka mendekati mangsa terutama wanita, seorang daripada ahli kumpulan terbabit akan berpakaian seperti orang alim lengkap memakai jubah sebelum berpura-pura bertanya jalan kononnya sesat.

Pada masa sama, tiga lagi ahli kumpulannya bersiap sedia menunggu dalam kereta di kawasan berhampiran. Sebaik menghampiri mangsa, lelaki terbabit akan menunjukkan ‘kertas ‘ menyebabkan mangsa patuh semua arahannya.

Mangsa dibawa menaiki kereta bersiar-siar sebelum semua barang kemas termasuk wang tunainya dirampas. Selepas menghantar mangsa ke tempat pertemuan terdahulu, kumpulan terbabit akan ‘menghadiahkan’ sekeping kertas mengandungi nombor ramalan sebagai sagu hati.

Dalam kejadian terbaru kira-kira jam 9 pagi di sebuah pasar raya di Wangsa Maju, di sini, baru-baru ini seorang warga emas menjadi mangsa kelicikan ilmu pukau kumpulan terbabit. Mangsa, Halimah Ramli, 63, berkata ketika kejadian, dia berseorangan sebelum dihampiri seorang lelaki berusia 20-an yang memakai jubah bertanyakan jalan.

“Lelaki itu berpakaian seperti orang alim menyebabkan saya terpanggil untuk membantunya. Selepas itu, saya seperti dipukau sebaik melihat kertas yang ditunjukkan lelaki terbabit. “Saya seperti ‘orang bodoh’ dan dibawa menaiki sebuah kereta. Dalam kereta, saya melihat ada seorang wanita dan seorang lelaki sebelum dibawa bersiar-siar.


“Mereka mengambil barang kemas dan wang tunai saya satu persatu. “Saya dihantar semula ke pasar raya berkenaan. Ketika hendak keluar dari kereta itu, wanita itu memasukkan sehelai kertas dalam beg tangan selain mengarahkan supaya tidak membukanya sehingga esok,” katanya.

Mangsa yang tersedar segera pergi ke rumah rakannya untuk mendapatkan pertolongan supaya membuka beg tangannya itu. “Hasil pemeriksaan dua rantai leher, satu gelang tangan termasuk wang tunai RM300 lesap,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju di sini.

Dalam beg tangannya, suspek memasukkan sekeping kertas mengandungi nombor ramalan. Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/4lelakialimkucingpura-purasesatjalan/Article
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...