2010/09/17
AMPANG: Seorang wanita terpaksa menyambut lebaran di atas katil selama sembilan hari selepas cedera akibat diragut berhampiran bulatan Taman Seraya, di sini, dua hari sebelum Aidilfitri lalu.
Mangsa, Azlina Yamin, 28, yang juga seorang jururawat patah tulang rusuk, luka bahu dan dua kaki apabila ditolak peragut yang cuba merampas rantai lehernya sebelum dia ditolak dan terseret bersama motosikalnya.
Difahamkan, peragut terbabit bertindak kejam apabila dia yang cuba menarik rantai mangsa gagal selepas mangsa yang menunggang motosikal berseorangan menepis tangannya.
Bagaimanapun, peragut terbabit naik angin dan sekali lagi cuba merampas rantai leher mangsa, namun gagal sebelum nekad menolak motosikal mangsa.
Perbuatan itu bukan saja membuatkan mangsa terpaksa menanggung kesakitan, malah kini trauma untuk menunggang motosikal berseorangan. Mangsa yang ditemui berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari, 8 September lalu, ketika dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di sebuah hospital swasta di Ampang ke rumahnya di Hulu Langat.
“Saya perasan ada sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki mengekori ketika berhenti di lampu isyarat berhampiran Taman Seraya.
“Bagaimanapun, saya tidak peduli,” katanya.
Menurutnya, tidak lama selepas itu, gerak hatinya mula berasa pelik dan curiga kerana lelaki terbabit langsung tidak memotong.
“Namun, dia menghampiri motosikal saya sebelum cuba merentap rantai leher, namun tidak berjaya kerana saya menepis tangannya,” katanya.
Menurutnya, peragut terbabit tidak berpuas hati sekali lagi menghampiri motosikalnya.
“Peragut terbabit cuba merampas rantai leher, namun gagal kerana saya menepis tangannya. “Tindakan saya itu membuatkan dia berang sebelum menolak pemegang motosikal menyebabkan saya tersungkur dan terseret bersama motosikal,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jururawatdiragutberayaataskatil/Article
No comments:
Post a Comment