Monday, August 18, 2008
Azizulhasni mara ke suku akhir acara 200m pecut
AZIZULHASNI (kanan) bersaing dengan pelumba Australia, Bayley pada pusingan pertama acara 200m pecut semalam.
BEIJING - Pelumba negara, Mohd. Azizulhasni Awang berjaya melepasi saingan sengit untuk mara ke suku akhir acara lumba basikal 200 meter pecut Sukan Olimpik XXIX semalam.
Pada pusingan kelayakan di Velodrom Laoshan, pelumba berusia 20 tahun itu mencatatkan masa ketujuh terpantas daripada 18 pelumba dengan catatan 10.272 saat.
Bagaimanapun, Azizulhasni dijangka menghadapi saingan getir daripada pelumba lain di peringkat suku akhir hari ini kerana terpaksa bersaing dengan juara dunia yang juga pemenang emas acara keirin kelmarin, Chris Hoy dari Britain.
Kecuali Azizulhasni melakukan kejutan ke atas Hoy, dia akan bersaing untuk merebut kedudukan lima hingga kelapan.
Pada pusingan pertama, Azizulhasni ditewaskan oleh juara bertahan, Ryan Bayley dari Australia, tetapi pelumba dari Dungun, Terengganu itu kembali dengan mengatasi saingan pelumba Jepun, Tsubasa Kitasuru dan Lukasz Kwitkowaski dari Poland dengan catatan masa 10.959s di peringkat repechage.
Pada pusingan kedua, pelumba Britain, Kenny Jason menewaskan Azizulhasni sehingga memaksa pelumba Malaysia itu kembali ke peringkat repechage.
Walaupun terpaksa melalui empat pusingan, Azizulhasni tidak berputus asa dan berjaya menewaskan Stefan Nimke dari Jerman dan pelumba Itali, Roberto Chiappa untuk menang dengan catatan masa 11.010s.
Kelmarin Azizulhasni, juara acara pecut dan keirin Asia tersingkir dari pusingan kedua acara keirin selepas tersilap taktik. - Bernama
http://www.kosmo.com.my/
No comments:
Post a Comment