Monday, August 18, 2008

Musim mengutip siput remis




MUSIM remis sudah kembali! Bagi mereka yang kurang mengenali remis atau disebut lala kecil. Ia adalah sejenis moluska bercengkerang yang boleh didapati di pesisir pantai.
Bentuknya seakan lala, namun saiznya lebih kecil dan hanya diperoleh dengan banyak sekitar bulan Jun hingga Disember setiap tahun. Tidak seperti keluarga siput lain seperti kupang, tiram, siput sedut mahupun kerang, remis hampir tidak dikenali oleh sesetengah individu.
Namun, bagi masyarakat pesisir pantai di daerah Alor Gajah, Melaka khususnya di kawasan pantai Pengkalan Balak hingga Telok Gong, spesies terbabit bukanlah sesuatu yang baru.
Selain bermandi-manda dan merehatkan minda sambil menikmati laut biru Selat Melaka bersama keluarga, aktiviti mencari siput remis menjadi sebahagian perkara menyeronokkan bagi masyarakat setempat dan pengunjung pantai.
Kulit remis umumnya mempunyai pelbagai corak yang unik dan berjalur. Malah, ada yang tidak mempunyai corak. Namun, ia mempunyai warna tertentu seperti hitam, putih dan coklat.
Mencari makanan eksotik itu agak unik. Anda hanya perlu mengorek tanah sedalam kira-kira satu meter bagi mencari siput remis yang terdapat dalam pasir laut kira-kira satu meter dari gigi air laut.
Seorang pengunjung pantai, Chong Seng Chung, 35, memberitahu, beliau menyedari kewujudan hidupan itu secara tidak sengaja ketika sedang mandi-manda di pantai Kampung Sungai Tuang kira-kira tiga tahun lalu.
Beliau bersama 12 ahli keluarganya yang leka mencari makanan eksotik itu berkata, pencarian itu memerlukan kesabaran kerana tidak semua tempat di kawasan pesisir pantai itu menjadi habitat siput remis.
Sekiranya bernasib baik, kadangkala mereka memperoleh hampir 50 ekor remis dalam satu kawasan yang dikorek, adakala jumlahnya tidak sampai 10 biji pun.
"Kebiasaannya saya dan keluarga mengambil masa hampir tiga jam bagi memperoleh sebaldi remis. Meskipun menghabiskan masa yang agak lama, ia cukup berbaloi kerana sukar untuk mendapatkan siput ini, malah ia tidak dijual di kawasan lain," katanya yang berasal dari Tengkera, Melaka.
Hasilnya, mereka sekeluarga mampu membawa pulang kira-kira tiga kilogram siput dan kemudiannya dijadikan hidangan keluarga seperti dimasak bersama sos atau direbus bersama sayur-sayuran.
"Rasanya agak manis," katanya.
Sementara itu, Muhammad Thalha Muhammad Phuze, 13, bersama adiknya, Muhammad Akasyah, 11, dan sepupu mereka, Muhd Zuhair Kamaruddin, 18, berkata, mereka gemar mencari hidupan laut itu apabila pulang ke kampung.
Katanya, remis mudah didapati pada awal pagi sebelum air laut surut dan berhenti sekitar jam 11 pagi.
Meskipun terpaksa membiarkan kulit digigit panahan matahari pagi, namun tiga bersaudara ini sudah menjadikan aktiviti mencari remis ini sebagai aktiviti wajib yang perlu dilakukan apabila pulang ke kampung.
"Kami mencarinya sekadar suka-suka dan menjadi ikutan selepas diperkenalkan oleh bapa saudara kami beberapa tahun dulu. Pada mulanya, ia agak membosankan apabila tidak banyak remis yang ditemui, namun semakin lama ia seperti menjadi satu ketagihan," katanya.
Menurut seorang penduduk, Derma Samad, 70, suatu ketika dulu remis merupakan antara sumber rezeki sampingan kepada penduduk tempatan yang bergantung kepada hasil laut. Malah ada yang menjadikannya sebagai hidangan harian.
Beliau yang juga anak jati Kampung Sungai Tuang, Masjid Tanah, Melaka berkata, berdasarkan pemerhatiannya aktiviti mencari siput itu semakin kurang mendapat perhatian generasi muda setempat ekoran kebanyakannya sudah berhijrah ke bandar.


ANDA hanya perlu mengorek pasir sedalam satu meter untuk mencari siput remis.


Selain itu, tidak ramai yang sanggup berhabiskan masa berjam-jam bagi mendapatkan sebaldi remis. Hanya mereka yang tahu keenakkan rasanya saja sanggup melakukannya.
"Selain remis, masyarakat kampung ini dulu turut mencari siput halia, beliung, mentarang dan siput pahat yang banyak ketika air surut. Namun, semuanya kini semakin sukar untuk didapati. Mungkin spesies ini sudah hampir pupus atau tiada orang yang mahir mencarinya," katanya. -SITI NOR SAADAH MDH YUSOF


http://www.kosmo.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...