Sunday, August 10, 2008

Nelayan jadi lanun diesel subsidi

Oleh WARTAWAN Kosmo! Ahad


LAKONAN semula seorang nelayan yang memerhatikan kerja-kerja memindahkan diesel subsidi di sebuah jeti di sebuah negeri di Pantai Timur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Diesel subsidi yang sepatutnya disediakan untuk golongan nelayan rupa-rupanya telah dijadikan sumber rezeki mudah kepada segelintir nelayan yang menjadi 'lanun' menyeludup bahan api itu.
Kegiatan haram itu terbukti melalui penyamaran wartawan Kosmo! Ahad sebagai nelayan di sebuah jeti nelayan di sebuah daerah di Pantai Timur yang telah sekian lama menjadi pusat perdagangan diesel di kalangan nelayan.
Menariknya, usaha untuk mengesan aktiviti pada hari pertama menemui kegagalan apabila kumpulan tonto yang mengawal kegiatan tersebut telah memaklumkan kepada semua nelayan terbabit tentang kedatangan orang luar.
Mereka memang tidak menduga kedatangan wartawan Kosmo! Ahad tetapi dari apa yang didengari, orang luar yang dimaksudkan ialah pegawai penguat kuasa dari Kuala Lumpur mahu membuat tinjauan di jeti tersebut.
Sejak pukul 3 pagi lagi, wartawan Kosmo! Ahad telah menunggu di jeti tersebut dengan sebuah bot pemancing yang disewa khas hinggalah matahari terbit, tiada apa yang berlaku seperti lazimnya.
Difahamkan, aktiviti penjualan diesel itu berlaku sebelum fajar menyingsing dan melibatkan lebih 20 orang pada satu-satu masa.
Modus operandi mereka bermula awal pagi apabila golongan nelayan laut dalam yang terdiri daripada kategori B, C dan C2, mengambil minyak tersebut di jeti-jeti pengisian minyak milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Bagaimanapun, selepas mengisi diesel pada tahap yang paling maksimum, mereka menghalakan bot ke tengah laut kononnya ingin keluar menangkap ikan tetapi sebenarnya mereka menuju ke jeti-jeti persendirian dan menuangkan kembali diesel yang diperoleh ke dalam tangki yang disediakan khas untuk tujuan tersebut.
Pada malam kedua, usaha wartawan Kosmo! Ahad berhasil apabila jeti tersebut mula dikunjungi 'peraih' sekitar pukul 1 pagi untuk menukar tong-tong yang telah diisi diesel pada siang sebelumnya dengan tong kosong.
Sebaik sahaja selesai, bot-bot peraih ini akan segera meninggalkan jeti menuju ke destinasi masing-masing.
Hubungan yang terjalin antara nelayan dan peraih minyak subsidi curi memang sedia rapat kerana tiada tawar menawar berlaku.
Peraih-peraih ini akan membawa diesel yang dibeli untuk pasaran negeri tertentu seperti Melaka, Pahang dan Negeri Sembilan pada harga yang lebih rendah daripada pasaran semasa.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh, minyak diesel tersebut dijual pada harga RM1.50 seliter sedangkan harga subsidi cuma RM1 sahaja dan 'peraih minyak' pula menjual kepada orang lain pada harga RM2 berbanding harga pada pasaran sebenar iaitu RM2.58 seliter.
"Sejak subsidi diesel diperkenalkan, kegiatan ini semakin serius, kami nelayan yang benar-benar jujur selalu kecewa kerana bekalan diesel kerap habis," kata seorang nelayan yang cuma ingin dikenali sebagai Zamri.
Menurut Zamri, selain di darat, urusan jual beli turut dilakukan di kawasan perairan yang melibatkan nelayan asing seperti Thailand dan Singapura.

http://www.kosmo.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...