SELEPAS dua tahun dibelenggu penggantungan, atlit angkat berat, Amirul Hamizan Ibrahim tampil di Sukan Olimpik Beijing untuk mengukur setakat mana keupayaannya bersaing di peringkat tertinggi.
Badang berusia 27 tahun itu yang beraksi dalam kategori bawah 56kg akan turun di Gimnasium Universiti Aeronautik dan Astronautik Beijing dalam saingan Kumpulan A pada jam 7 malam ini. Ikuti wawancara dengannya.
“JIKA masa boleh diputar kembali, saya mahukan tempoh dua tahun saya yang hilang kerana penggantungan itu dipulangkan. Tempoh dua tahun itu cukup merugikan dan begitu mengecewakan saya. Sepanjang tempoh itu tidak banyak yang boleh saya lakukan. Saya tidak boleh berlatih secara serius dan tidak boleh mengangkat bebanan yang sepatutnya.
Saya langsung tidak boleh memberi tumpuan 100 peratus sebab tiada kejohanan, apatah lagi kebajikan saya juga diabaikan, mujurlah ada Majlis Negeri Pahang yang prihatin memberi elaun. Saya benar-benar patah hati dibuatnya. Atas sebab itulah, saya rasa lebih baik tumpukan perhatian terhadap perniagaan katering saya ketika itu.
Tapi, sebagai atlit, semangat untuk beraksi di Olimpik tetap membaradi sanubari saya. Itulah saya rasa impian setiap insan yang menjadi ahli sukan - untuk bergelar Olimpian. Atas dasar itulah saya mengetepikan perasaan kecewa itu dan bekerja keras untuk layak walaupun saya boleh dikatakan agak terlambat dan mempunyai masa singkat ke Beijing. Bayangkan saya hanya mula berlatih secara serius pada Mei 2007 dan layak Mei lalu. Bukan mudah tapi itulah hakikatnya, saya layak dalam tempoh setahun. Mungkin saya berada di tempat terakhir 11 keseluruhan peserta yang layak, tapi saya bangga kerana tiada siapa boleh menafikan hakikat yang saya layak berdasarkan merit dan bertanding di bawah Kategori A.(Amirul layak selepas berada di kedudukan ke-11 dunia berdasarkan pencapaiannya di kejohanan kelayakan di Jepun, Mei lalu. Amirul mencatat rekod kebangsaan dengan angkatan keseluruhan 262kg berdasarkan 117kg snatch dan 145kg clean & jerk di kejohanan itu).Tapi, di Olimpik ini, saya tidak berani berjanji apa-apa. Kebanyakan lawan saya sudah lama bersedia ketika saya terlepas dua tahun. Kelebihan buat mereka dan kekurangan buat saya. Saya sebenarnya berada dalam keadaan baik sebelum penggantungan itu.Mungkin tidak keterlaluan jika saya katakan, saya boleh berada dalam kelas sama dengan pencabar saya jika tidak kerana penggantungan itu kerana sukan angkat berat ini memerlukan latihan dalam tempoh lama secara berterusan.Mengenai pencabar saya di Olimpik, saya rasa kami tidak banyak berbeza. Mungkin ada tiga atau empat atlit lain di atas saya seperti dari Indonesia, Korea Selatan dan tuan rumah, China, tapi saya tidak melihat itu sebagai sesuatu yang menghalang semangat saya. Dalam angkat berat, saingan sentiasa sengit dan apa saja boleh terjadi pada hari pertandingan. Untuk hari ini, jurulatih Xin Hui menyuruh saya mengangkat jumlah maksimum, bermakna saya akan pergi untuk angkatan keseluruhan 262kg melalui angkatan pertama saya.” (Amirul mencatat rekod kebangsaan dengan angkatan keseluruhan 262kg berdasarkan 117kg snatch dan 145kg clean & jerk di kejohanan kelayakan di Jepun Mei, lalu).
No comments:
Post a Comment