Saturday, September 20, 2008

5 penyamun terjerat

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Mereka menggunakan pelbagai taktik bergantung kepada lokasi dan keadaan mangsa sebelum merompak dan melarikan barangan berharga.

Namun, perbuatan jahat mereka itu akhirnya membawa padah apabila semua lima penyamun terbabit ditahan polis, 7 September lalu di dua lokasi berasingan masing-masing di Taman Sejahtera, Segambut dan kawasan Jinjang.

Antara taktik yang digunakan kumpulan terbabit jika mangsa berjalan sendirian, mereka akan menghampiri dan berpura-pura bertanyakan arah sambil mata meliar memerhati barang berharga yang dimiliki mangsa.

Sebaik menyedari mangsa memiliki barang berharga, mereka akan memaklumkan kepada rakan yang sudah bersedia berhampiran lokasi untuk menyamun mangsa dan melarikan diri.

Jika lokasi yang disamun itu kedai atau restoran, mereka akan menggunakan taktik mahu menggunakan tandas dan memesan minuman sebelum memastikan premis yang ingin disamun itu tidak ramai atau langsung tidak mempunyai pelanggan.

Difahamkan, mereka juga sanggup menunggu dan melepak beberapa jam sambil minum di restoran dan akan memastikan premis yang ingin disamun itu tidak mempunyai atau kurang pelanggan.

Bagi kawasan perumahan pula, kumpulan penyamun terbabit akan menggunakan taktik menunggu mangsa yang keluar membuka pintu pagar untuk ke tempat kerja sebelum mereka meluru masuk.

Selain itu, mereka juga turut menyamun mangsa yang berehat atau berhenti tidur di stesen minyak dengan mengacukan parang sebelum melarikan kenderaan milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata dengan penahan lima suspek itu polis berjaya menyelesaikan 20 kes samun yang dilakukan sekitar Kepong dan Jinjang.

“Semua lelaki yang ditahan itu berusia antara 18 hingga 35 tahun dan bekerja sebagai buruh,” katanya semalam.

http://www.hmetro.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...