Saturday, September 20, 2008
Kawal segera harga pemborong
Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
fakhrul@kosmo.com.my
ADA peniaga membayangkan harga jualan ayam akan melepasi paras siling RM7 menjelang Syawal minggu depan.
-----------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR - Harga beberapa jenis barangan kawalan sudah mendekati paras siling sehingga mendorong peniaga menggesa kerajaan supaya memastikan ia tidak naik lagi dengan mengawal harga dari pemborong.
Mereka bimbang trend kenaikan harga itu sudah kelihatan sedangkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) hanya bermula Rabu ini.
Ada peniaga berpendapat, skim itu tidak berkesan jika pemborong menjual mahal dan memaksa peniaga meletak harga melepasi had siling.
Tinjauan Kosmo! ke Pasar Chow Kit dan Pasar Pudu semalam mendapati, harga ayam standard, daging lembu tempatan, daging kerbau import (India), telur dan tomato sudah dijual pada harga maksimum SKHMP.
Seorang peniaga, Hamzah Abdullah kesal kerana episod kenaikan harga ayam tetap berlaku menjelang Aidilfitri.
"Dah 30 tahun saya berniaga ayam dan daging, setiap tahun sama saja ceritanya. Kalau nak harga ikut harga kawalan, kerajaan kena bertindak tegas kawal harga borong,'' katanya.
Menurut Hamzah, harga ayam di Pasar Cow Kit kini pada paras maksimum RM7 sekilogram tetapi sudah ada bayangan ia akan dinaikkan.
"Pemborong tolak kepada kami RM6.10 sekilogram. Tapi dengar cerita, ia akan naik 20 sen esok (hari ini) dan 30 sen sehari kemudian (esok) sehinggalah menjelang 1 Syawal,'' katanya.
Mengikut SKHMP, harga borong maksimum ayam adalah RM6.20 manakala harga jualan maksimumnya RM7.
Sementara itu, Mahmud Abu Samah dari Pasar Pudu berpendapat, harga pasaran yang sepatutnya bagi daging kerbau India ialah RM12 hingga RM13.
"Kerajaan kena kawal harga borong, Kalau sampai kepada kami dah RM10, macam mana nak kekal jual RM11 (harga siling),'' jelasnya.
http://www.kosmo.com.my/
No comments:
Post a Comment