Monday, September 15, 2008
Kerusi imbas ‘roket’
Oleh Mohd Fauzi Abdullah dan Mohd Firdaus
Ibrahimam@hmetro.com.my
KAJANG: Kerusi pengimbas ‘roket’. Itulah peralatan digunakan Ibu Pejabat Penjara Malaysia (IPPM) untuk membanteras cubaan menyeludup barang terlarang seperti dadah, rokok, wang tunai dan telefon bimbit ke dalam penjara menerusi kaedah menyumbatnya ke dubur banduan.
Kerusi pengimbas itu dicipta hasil kreativiti seorang pegawai penjara, Rizalma Chik Abdul Hamid, ketika bertugas sebagai Timbalan Penguasa Penjara Alor Star, Kedah, dua tahun lalu.
Penguasa Bahagian Keselamatan IPPM, Anathurai Kalimuthu, berkata kesukaran pihaknya membanteras penyeludupan ‘roket’ ke penjara mencetuskan idea bagi menghasilkan kerusi pengimbas berkenaan.
“Batasan kemanusiaan menyukarkan kami melakukan pemeriksaan walaupun menyedari ada banduan cuba menyeludup barang haram.
Sebelum ini, tindakan kami dikecam pelbagai pihak kononnya melanggar nilai kemanusiaan.
“Sejak kerusi pengimbas itu diperkenalkan pada awal 2006, kecaman berkenaan dapat ditepis dan sehingga kini, kami mematahkan puluhan kes penyeludupan menggunakan kaedah terbabit,” katanya.
Menurutnya, lebih 70 peratus kes penyeludupan melalui kaedah roket ke dalam dubur dapat dipatahkan sejak kerusi pengimbas itu digunakan di penjara seluruh negara.
“Kami mendapati perbuatan terbabit sering dilakukan banduan ketika pulang dari perbicaraan di mahkamah.
“Kami mengesyaki barangan itu diterima daripada individu yang rapat dengan banduan terbabit seperti keluarga, rakan dan bekas banduan,” katanya.
Menurut Anathurai, setiap banduan baru atau yang dibawa pulang dari perbicaraan di mahkamah akan diperiksa menggunakan kerusi pengimbas itu di sebuah bilik khas tertutup.
“Banduan berkenaan diarah menanggalkan baju dan seluar sebelum memakai tuala, kemudian dia diminta duduk di atas kerusi pengimbas itu.
Proses itu hanya memakan masa tiga minit.
“Banduan terbabit kemudian diarah melakukan beberapa pergerakan seperti menarik nafas dan batuk sebelum pegawai bertugas melihat skrin komputer yang disambungkan pada kerusi pengimbas berkenaan.
“Jika didapati ada kesan minyak atau luka di dubur banduan terbabit atau disyaki cuba menyeludup, mereka akan dikuarantin selama tujuh hari sebelum dibenarkan ke sel masing-masing,” katanya.
Sejak kerusi pengimbas berkenaan diperkenalkan, ia memenangi lima anugerah antaranya Johan Inovasi Hari Kualiti Jabatan Penjara Malaysia 2006, Johan Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja (KMK) Zon Utara 2006, Johan Pertandingan Inovasi Integriti Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) 2007 dan Pameran Terbaik Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam 2007.
“Ini menunjukkan masyarakat kita tidak ketandusan idea bagi menghasilkan sesuatu ciptaan. Saya cukup bangga dengan kejayaan ini kerana kerusi pegimbas itu yang pertama di dunia.
“Malah, lebih 50 negara Asia Pasifik menyatakan hasrat untuk memiliki alat berkenaan seperti New Zealand, Australia, Hong Kong dan Macau.
“Dalam Persidangan Pentadbir Penjara Asia Pasifik (APCA) di Langkawi, November ini, kerusi pengimbas berkenaan akan dipamerkan kepada mereka (pegawai penjara Asia Pasifik),” katanya.
Katanya, sebuah syarikat berminat mengkomersialkan kerusi pengimbas itu, tetapi ia masih dalam proses perbincangan.
http://www.hmetro.com.my/
No comments:
Post a Comment