Teresa Kok yang baru dibebaskan daripada tahanan ISA, mengecam beberapa pihak - termasuk menteri dalam negeri dan akhbar Utusan Malaysia - yang didakwanya cuba mengalihkan isu penahanannya kepada isu 'makanan anjing'.

"Mereka cuba mengalih fokus terhadap isu ISA kepada isu makanan," katanya di forum tersebut di Dewan Perhimpunan Cina Selangor di Kuala Lumpur yang penuh sesak dengan kira-kira 600 hadirin.
Teresa yang juga ahli exco kerajaan Selangor serta ahli Parlimen Seputeh, ditahan pada 12 September lalu kerana "mencetuskan ketegangan dan konflik kaum dan agama' di bawah ISA yang membolehkan penahanan tanpa bicara.
Dua orang lagi turut ditahan pada hari yang sama. Mereka adalah penulis blog Raja Petra Kamarudin dan wartawan kanan Sin Chew Daily, Tan Hong Cheng.
Tan telah dibebaskan manakala Raja Petra telah dihantar ke Kem Tahanan Kamunting di Perak semalam, untuk menjalani perintah tahanan selama dua tahun.
Mengaku silap
Teresa, yang pada mulanya menafikan membuat kenyataan berhubung 'makanan anjing' tersebut, juga berkata sewaktu ditahan dalam bilik selepas 6 X 8 kaki, beliau hanya diberi air dan roti atau dua biji telur rebus serta kari untuk makanannya.

Sambil menegaskan beliau tidak berapa ingat mengenainya kerana jadualnya yang ketat selepas pembebasannya, Teresa bagaimanapun menuduh pengkritiknya memperbesar-besarkan isu tersebut untuk mencetuskan sensitiviti orang Melayu berhubung haiwan tersebut.
Teresa sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa beliau bukan sengaja menggunakan istilah 'makanan anjing' untuk menyinggung perasaan orang Melayu.
"Mungkin, sepertimana yang dikatakan oleh rakan-rakan, saya sepatutnya berkata makanan yang diberikan kepada saya itu lebih teruk daripada makanan kuching," katanya berseloroh.

"Saya akan memfailkan saman terhadap mereka yang menganiaya saya dan menyebabkan saya ditahan di bawah ISA... Khir Toyo dan Utusan Malaysia," katanya.
Secara berseloroh, Teresa berkata barangkali sesuatu yang positif daripada apa yang berlaku ialah mungkin tahanan ISA akan diberi makanan yang lebih baik pada masa depan.
"Sekurang-kurangnya sekarang...sesiapa juga yang masuk dalam, akan dapat makanan yang baik," katanya sambil disambut gelak ketawa para hadirin.
http://www1.malaysiakini.com/news/90283
No comments:
Post a Comment