Thursday, September 25, 2008

Ramadan di Ta Qiao


KAUM wanita sibuk menyediakan doh untuk mi dan sayur di dapur masjid Kampung Ta Qiao.

----------------------------------------------------------------

MASIH ada beberapa jam lagi sebelum waktu berbuka puasa, tetapi tiga orang wanita di Yinchuan, China sudah mula sibuk di dapur. Dua orang memotong sayur dan seorang lagi menyediakan doh untuk mi.

Menjelang tibanya waktu solat Asar, beberapa lelaki dewasa mula berkumpul di masjid ini. Bau enak sup daging kambing yang dimasak di dalam sebuah periuk besar, sudah memenuhi ruang dapur yang sangat sederhana itu.

Ketulan doh mi juga sudah siap dicanai untuk dipotong dalam helaian panjang dan dimasukkan ke dalam periuk mendidih.

Sejak bermulanya Ramadan, masjid di Kampung Ta Qiao, tidak jauh dari Yinchuan, ibu kota wilayah autonomi Ningxia yang majoriti penduduknya Islam, menyediakan makanan bagi jemaah lelaki yang bersembahyang dan berbuka puasa di masjid ini.

"Biasanya, kira-kira 70 hingga 80 orang datang bersembahyang di sini setiap hari tetapi sepanjang Ramadan, jumlah itu bertambah kepada 100 orang dan mereka berbuka puasa di sini," kata pentadbir masjid, Yang Yonglu.

"Mereka terdiri daripada lelaki muda dan tua. Kami bangun kira-kira pukul 4 pagi untuk bersahur dan berpuasa dari pukul 5 pagi hingga 7.25 malam," kata Yang, daripada kaum minoriti Hui, komuniti Islam terbesar daripada 10 kumpulan etnik Islam di China.

Masyarakat Ramadan

Juadah berbuka puasa di masjid ini biasanya sederhana saja, sup kambing dengan nasi dan mi.

Usia masjid berjubinkan warna putih dan hijau ini dianggarkan lebih 300 tahun sejak dinasti Qing lagi. Kubahnya juga hijau dan diapit sepasang menara yang di puncak masing-masing dihiasi bulan sabit. Tetapi bentuk asal masjid ini pada zaman itu sudah banyak berubah selepas diubahsuai beberapa kali.


MASJID Kampung Ta Qiao terletak tidak jauh dari Yinchuan, ibu kota wilayah Ningxia.

---------------------------------------------------------------

Di sebelah kiri pintu untuk ke ruang utama sembahyang, terdapat sebuah papan hitam yang menunjukkan pendapatan bulanan dan perbelanjaan yang dikeluarkan di masjid ini.

Pada dinding bertentangan, sumbangan juadah setiap hari Ramadan dicatatkan pada sekeping kertas merah yang besar. Sumbangan tunai dicatatkan di sebelah kiri dan barang lain seperti daging dan pelbagai jenis makanan dicatatkan di sebelah kanan kertas.

"Taraf hidup penduduk di sini semakin baik. Lebih ramai anak muda datang ke masjid dan mereka belajar bagaimana untuk berjaya dalam perniagaan melalui tunjuk ajar beberapa orang yang sudah berjaya," kata iman (ahong) masjid itu, Wu Zhongcheng.

Tambahnya: "Lebih ramai yang akan datang pada sebelah malam untuk berterawih. Kebanyakan mereka bekerja di kebun bunga dan sayur-sayuran," kata imam berusia 38 tahun ini yang mengikuti pengajian agama di sebuah sekolah Islam di Ningxia.

Ketika sembahyang, kumpulan lelaki keturunan Hui ini memakai kopiah putih berbucu enam dan mereka memang dikenali suka memakai kopiah putih.

Di sini, kanak-kanak perempuan mula berpuasa pada usia sembilan tahun, lebih awal daripada kanak-kanak lelaki yang berlatih melaksanakan rukun Islam ketiga ini pada usia 12 tahun.

Ta Qiao mempunyai 400 keluarga dan hampir separuh daripada penduduk kampung ini, seramai 3,400 orang adalah keturunan Hui yang merupakan 36 peratus daripada enam juta penduduk Ningxia.

Hui ialah suku kaum keturunan pedagang Parsi dan Arab yang datang ke China melalui Jalan Sutera dengan membawa barang dagangan dan agama Islam. Ningxia ialah satu daripada tempat persinggahan yang digemari mereka.

Sambutan Aidilfitri sederhana

Isteri Yang, Jin Cuiying, berkata, semasa kaum lelaki pergi ke masjid, golongan wanita kampung ini menyiapkan makanan di rumah untuk anggota keluarga yang lain.

"Kami menyediakan juadah biasa, tiada apa yang istimewa, tetapi untuk Hari Raya, kami akan menyiapkan beberapa baju baru," kata Jin mengenai apa yang disebut di sini sebagai Kai Cai Jie atau sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi rakyat Malaysia.

Kuih bulat yang digoreng seperti youbin dan youxiang dihidangkan kepada tetamu semasa Hari Raya.

Dari bawah katil, Jin menarik keluar sebuah tong plastik dan mengeluarkan dua mangkuk teh Cina dengan ukiran tulisan Arab yang digunakan untuk menghidangkan minuman teh kepada tetamu.

Set porselin itu, yang lengkap dengan penutup untuk air teh yang masih panas telah lama digunakan masyarakat Islam di China, dan tidak berubah bentuknya sejak zaman-berzaman.

Peninggalan bersejarah seperti porselin ini telah dibongkar dan dipamerkan di muzium Taman Kebudayaan Kaum Hui yang dibuka dua tahun lalu di Yinchuan. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...