Saturday, September 6, 2008

Pengikut tidak berpuasa

Oleh WARTAWAN Kosmo!
berita@kosmo.com.my



DUA buah kenderaan yang diletakkan di kawasan markas 'Guru Yahu' di Kampung Damai, Kuantan semalam.


KUANTAN - Jika tidak perlu sembahyang lima waktu apatah lagi berpuasa.


Demikianlah pelakuan pengikut ajaran 'Guru Yahu' yang yakin, bulan Ramadan kini tidak ada beza dan istimewanya berbanding bulan-bulan lain.


Justeru, ibadah berpuasa di bulan Ramadan tidak perlu dilaksanakan.


Bagi pengikut-pengikut ajaran sesat itu, kesetiaan kepada 'Guru Yahu' iaitu Bang Chik adalah lebih wajib kerana dia boleh menjamin syurga buat pengikut setianya.


"Bang Chik lebih penting dan dia memang hebat!" kata Damak (nama samaran), seorang pengikut Bang Chik kepada wartawan Kosmo! yang berpura-pura bertanya mahu ke rumah 'Guru Yahu' itu di Kampung Damai di sini semalam.


Katanya, Bang Chik memang disegani, disanjungi, pandai dalam semua hal termasuk mengubat orang menyebabkan rumahnya sering dipenuhi dikunjungi orang ramai dari seluruh pelosok tanah air.


"Lebih-lebih lagi hujung minggu, mula pukul 9 malam sampai tengah malam, kalau awak nak ikut sekali pun marilah.


"Siapa yang ikut Bang Chik, dia tak payah puasa sebab itu bukan wajib, tapi kalau nak buat juga tak jadi masalah kerana yang penting, syurga sudah menanti kita," katanya ketika ditemui.


Tinjauan Kosmo! mendapati, beberapa buah kereta memenuhi laman rumahnya dan kelihatan pengikut ajaran itu duduk dalam satu bulatan seolah-olah sedang berbincang sesuatu di markas yang dibina seperti dewan terbuka.


Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Pak Wan berkata, kegiatan Bang Chik telah lama berlarutan dan semakin ramai pengikutnya sejak kebelakangan ini.


"Mereka selalu berkumpul pada lewat tengah malam di rumahnya. Apa aktiviti yang dibuat dan diamalkan tidak diketahui, lebih-lebih lagi Bang Chik tidak bergaul dengan orang kampung dan jarang keluar rumah," katanya.



KERATAN Kosmo! 2 September.


Menurut Pak Wan, seorang sepupunya juga menjadi pengikut setia Bang Chik dan difahamkan sepupunya itu sering berkunjung ke markas tersebut.


"Hidup mereka anak beranak dan apa kegiatannya juga kita tidak tahu kerana mereka tidak mahu bergaul dan berjumpa dengan sesiapa kecuali kumpulan mereka.


"Pernah satu hari, sepupu saya sedang bekerja, tiba-tiba dapat panggilan daripada Bang Chik, terus dia tinggalkan kerja dan pergi berjumpa Bang Chik, betapa hebatnya 'Guru Yahu' ini. Anak bini pun sanggup diabaikan demi Bang Chik," katanya lagi.


Pada perkembangan berkaitan, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Abdul Manan Abdul Rahman ketika dihubungi berkata, perkara ini dalam perhatiannya.


http://www.kosmo.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...