Monday, September 22, 2008
Siswa terdesak 'jaga' motosikal
Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA dan SHAWKATH AZDE
khas@kosmo.com.my
PEMILIK motosikal tidak tahu siapa 'ulat' yang menjaga kenderaan mereka sehingga wartawan Kosmo!, Shawkath Azde (dua dari kanan) bebas mengutip bayaran dekat Chow Kit baru-baru ini.
-----------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR - Jika anda didekati 'jaga' tempat meletak motosikal yang mahu mengutip bayaran, jangan cepat menyangka dia golongan terdesak seperti kutu rayau, penagih dadah atau pendatang tanpa izin.
Sebaliknya, ada di antara mereka ialah pelajar universiti yang mengisi masa lapang dengan mencari wang saku untuk memenuhi tuntutan keperluan kos sara hidup yang semakin tinggi.
Wartawan Kosmo! berjaya mendekati beberapa orang mahasiswa ini walaupun pada mulanya mereka enggan berkongsi pengalaman.
Namun seorang daripada mereka ini yang hanya mahu dikenali sebagai Aizat, 21, akhirnya buka mulut.
"Pada mulanya memang malu nak buat tetapi pasal terdesak, akhirnya kami jadi seronok.
"Duit yang kami dapat setiap hari biasanya digunakan untuk membeli keperluan pembelajaran seperti buku dan untuk aktiviti kokurikulum di kampus,'' katanya yang mengelak gambarnya dari dirakam.
Menurutnya, kebanyakan tempat letak motor di kawasan bandar biasanya telah menjadi milik 'orang lama' yang terdiri daripada penagih dadah atau kutu rayau.
"Kami kena minta izin dengan mereka dulu sebelum 'bertugas' dan setiap jumlah yang kami kutip ada bahagian untuk mereka sebagai sewa tapak.
"Biasanya, kutipan yang kami buat sekitar RM20 satu hari untuk tempoh kerja empat jam dan jumlah itu kami beri lima ringgit kepada 'orang lama','' jelas pelajar tahun kedua jurusan Pentadbiran Perniagaan ini.
Bagi merasai pengalaman bekerja sepertinya, penulis diberi kesempatan untuk melakukannya dan tanpa bersusah payah, dalam masa dua jam, berjaya memperoleh RM18.
Kadar bayaran yang dikenakan ialah RM1 untuk setiap motosikal dan rata-rata pemilik motosikal membayar tanpa banyak soal.
Namun ada juga yang memberi amaran supaya menjaga motosikal mereka dengan baik.
Penulis bagaimanapun menyerahkan semua kutipan kepada Aizat kerana itu perjanjian kami sebelum dia bersetuju untuk menceritakan segala-galanya.
Kamal pula yang menjalankan kerja di kawasan Pudu bagaimanapun tidak berhasrat meneruskan 'kerjaya' tersebut apabila tamat pengajian nanti.
"Saya buat kerja ini ialah untuk menampung keperluan seharian kerana wang pinjaman tak cukup. Keluarga pula bukan orang senang," ujarnya yang berasal dari Kelantan.
http://www.kosmo.com.my/
No comments:
Post a Comment