Monday, October 6, 2008

Bongkar: Fakta Sebenar Disebalik Insiden Anggota Polis Lepaskan 58 Das Tembakan !!

Ditulis oleh Pahangdaily
Monday, 06 October 2008

Satu syawal yang lalu, seluruh negara dikejutkan dengan berita "Anggota Polis Lepaskan 58 Das Tembakan". Sesungguhnya berita ini amat menggemparkan sekali, tambahan pula ia dilakukan oleh seorang anggota polis.

Apakah yang berlaku sebenarnya?. Mengapakah anggota polis terbabit melepaskan tembakan membabi buta begitu? Mengapakah seorang anggota polis yang diluar tugas boleh membawa begitu banyak peluru sedangkan beliau sepatutnya menyerahkan semua senjatanya.

Inilah yang menjadi persoalan ramai pihak. Kami juga tertanya-tanya dengan laporan yang disiarkan oleh media arus perdana tentang perkara ini. Sesungguhnya, insiden yang berlaku ini adalah "mirip" kepada kejadian yang membabitkan Prebet Adam suatu ketika dulu.

Beliau juga dikatakan telah membuat tembakan rambang dan membahayakan orang awam. Tiada apa yang berlaku, namun disebalik kisah tersebut tersembunyi sebab musabab kenapa Prebet Adam melakukannya.

Ini kerana tekanan perasaan dan jiwa akibat "adiknya" yang dikatakan meninggal dunia gara-gara penangan "orang ternama". Apakah kes terbaru ini juga sama seperti yang pernah berlaku itu. Segala persoalan masih bermain difikiran ramai orang terutamanya para penduduk dan orang awam yang berada di tempat kejadian tempohari.

Pihak kami telah menjalankan risikan "kisah sebenar" kejadian ini dari kacamata orang awam. Ini kerana kami tidak yakin dengan laporan media arus perdana. Tambahan pula kebanyakan wartawan yang terbabit hanya mendapatkan maklumat dan gambaran kejadian ini daripada pihak polis semata-mata. Ini maknanya ada fakta-fakta kes yang tidak diketahui umum.

Justeru itu pihak kami mengambil peluang ini untuk membuat "pembongkaran" tentang isu ini. Bukanlah tujuan kami untuk menyalahkan mana-mana pihak. Namun kejadian ini sebenarnya harus dipandang dari sudut keselamatan orang awam.

Apa yang dapat dilihat sekarang ialah pihak berkenaan lebih menyalahkan anggota polis terbabit dan mengaitkan beliau dengan "masalah mental" dan "ajaran sesat". Lantaran itu, anggota polis terbabit telah dirujuk ke Jabatan Psikiatri Hospital Lipis dan khabarnya kini dibawa pula ke Hospital Bahagia Tangjung Rambutan untuk menjalani ujian mental.

Sebaliknya "mental orang awam" yang tertanggu dengan kes ini tidak didedahkan kepada khalayak ramai. Malahan pihak media juga seolah-olah dihalang untuk melaporkan berita sebenar tentang kejadian ini.

Justeru itu kami lampirkan gambarfoto yang sempat diambil pada pagi kejadian oleh krew Pahang Daily yang sempat berada dilokasi kejadian. Kebanyakan media melaporkan fakta yang salah dalam insiden ini.

Lihat laporan ini:

Anggota Polis Lepaskan 58 Das Tembakan Akibat Tekanann

KUANTAN, 1 Okt (Bernama) -- Seorang anggota polis melepaskan 58 das tembakan ke udara dipercayai akibat mengalami tekanan dalam satu kejadian di Kampung Selendang, Padang Tengku, Kuala Lipis. Ketua Polis Daerah Lipis, DSP Abdul Razak Hassan berkata, anggota polis berusia 22 tahun itu bertindak demikian pada pukul 6.30 pagi di kawasan berhampiran satu tanah perkuburan Islam. "Tiada sebarang kecederaan dilaporkan kerana penempatan agak jauh dari kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. Ketika kejadian, hanya anggota berkenaan yang berada di tempat itu. Katanya, anggota polis itu yang baru berkhidmat selama tiga tahun, turut melepaskan tiga das tembakan ke arah keretanya sendiri. Beliau berkata anggota polis itu membawa pulang pistol yang sepatutnya ditinggalkan di tempatnya bertugas di Balai Polis Simpang Durian, Jelebu, Negeri Sembilan. Anggota polis itu telah ditahan untuk siasatan lanjut dan polis masih menyiasat punca dia bertindak demikian, kata Abdul Razak. -BERNAMA

Ada beberapa perkara dan fakta yang telah disalah lapor oleh pihak media berhubung dengan kejadian sebenar insiden ini, iaitu ;-

Bukan Pistol, 2 Buah Raifel M15 Juga Digunakan



Untuk makluman kes tersebut melibatkan seorang anggota polis yang berumur 22 tahun dan bertugas di Balai Polis Simpang Durian, Jelebu Negeri Sembilan. Menurut maklumat beliau dikatakan dalam perjalanan ke satu tempat untuk melakukan "jihad", lantaran itulah beliau membawa begitu banyak senjata.

Beliau menaiki sebuah kereta Iswara Aeroback dengan nombor pendaftaran BDC7918. Siasatan kami senjata dalam kes berkenaan bukan sahaja sepucuk pistol biasa malahan juga turut melibatkan dua pucuk senapang Raifel M15 (Sila lihat foto) serta terdapat begitu banyak peluru hidup termasuk 2 set peluru M15 yang masih belum digunakan.

Disamping itu juga beliau turut membawa kayu belantan, beberapa buah kitab dan lain-lain barangan yang dipercayai untuk tujuan "jihad" berkenaan. Beliau dikatakan dalam perjalan ke sebuah lokasi berhampiran Padang Tengku-Merapoh yang dikenali sebagai "Bukit Tujuh".

Laporan polis mengatakan suspek hanya membawa pistol adalah tidak benar sama sekali. Mana mungkin pistol boleh mengeluarkan sehingga 58 das peluru ditembak ke udara?.


Bukti jelas menunjukkan dua lagi 'megazine' peluru Raifel M15 didalam kenderaan suspek yang masih belum digunakan. Bukankah ini amat berbahaya?

Kami difahamkan tempat berkenaan adalah satu "kawasan keramat" yang biasanya dikunjungi oleh mereka-mereka yang ingin menjalankan aktiviti "pembomohan". Kawasan ini dikatakan menjadi tempat pemujaan dan amalan syirik.

Banyak kejadian misteri yang dialami oleh mereka-mereka yang pernah melalui kawasan ini, termasuk diganggu makhluk halus ataupun jin. Kami difahamkan, jika berlaku kerosakan kereta dikawasan terbabit, maka tiada sesiapa pun penduduk kampung yang berdekatan berani membuka pintu kiranya kita memerlukan bantuan. Itu cerita orang-orang kampung sekitar Bukit Tujuh. Ini bermakna tempat itu penuh dengan misteri.

Kesalahan Lokasi dan Masa Insiden Diselesaikan

Difahamkan kejadian sebenar berlaku bukanlah di Kampung Selendang seperti yang dilaporkan oleh semua media arus perdana. Insiden berkenaan berlaku di Kampung Teha, Mukim Gua, Padang Tengku, Kuala Lipis Pahang.

Kampung Selendang adalah lokasi surau yang berdekatan dan menjadi tempat perhimpunan orang awam. Mungkin wartawan terbabit hanya singgah disitu dan tidak pergi ke lokasi kejadian sebenar seperti kami. Laporan media juga menyebut kejadian itu dapat diselesaikan dalam masa 15 minit, walhal sebenarnya fakta itu adalah salah dan kemungkinan besar mereka hanya mendapatkannya daripada pihak polis.

Sebenarnya kejadian itu bermula sejak jam 6 pagi lagi dan berakhir hampir 2 jam kemudian. Ini menyebabkan penduduk setempat berada didalam ketakutan ketika solat sunat Aidil Fitri. Difahamkan kereta yang dinaiki oleh anggota polis terbabit telah kehabisan minyak dan terhenti dikawasan berkenaan. Lihat foto dibawah yang diambil dari lokasi kejadian.
Inilah laluan jalan lokasi tempat kejadian tembakan anggota polis di Kg.Teha

Sebenarnya ada penempatan disekitar kejadian, dan yang paling hampir jaraknya hanya tidak sampai 100 meter daripada lokasi terbabit

Lagi bukti, jarak yang terlalu dekat dengan dua buah rumah (gambar kanan dan bawah) penduduk tempatan. Kenapa fakta ini dikelirukan?

Suspek Dalam Tugas Dan Memakai Seragam Polis

Setelah kehabisan minyak, anggota polis yang berpakaian seragam dan berkopiah itu keluar dari keretanya dan mundar-mandir sambil memegang "pistol" ditangannya. Ketika itu beliau tidak menganggu dan menembak. Beliau hanya ke hulu ke hilir seperti orang kehilangan arah. Terdapat saksi yang telah menghubungi pihak polis, namun polis yang menerima laporan tidak mempercayai bahkan melayan panggilan tersebut.

Mungkin beliau berangapan perkara itu adalah satu permainan semata-mata. Pihak terbabit terpaksa pergi ke balai, hanya dua orang polis yang bertugas di balai berkenaan. Setelah laporan dibuat, maka polis terbabit mengikuti beliau untuk memastikan bahawa apa yang dilaporkan itu adalah benar ataupun tipu.

Memandangkan hanya dua anggota polis bertugas, maka seorang sahaja yang telah pergi ke tempat kejadian dengan pengadu. Polis terbabit juga pada awalnya tidak percaya pistol yang dipegang oleh suspek adalah pistol sebenar. Lalu cuba menghampiri suspek menerusi "longkang" yang berdekatan.

Suspek mula menembak setelah menyedari ada pihak polis datang dan cuba untuk mengganggu beliau ketika itu. Maka bermulalah aktiviti tembakan kepada polis terbabit dan juga ke udara. Keadaan ketika itu umpama ada pesta "main mercun", tambahan pula ketika itu adalah pagi Hari Raya Aidil Fitri.

Tembakan bukan sahaja ditujukan ke udara dan kenderaaan suspek sendiri. Malahan lebih parah lagi ia juga ditujukan kepada orang awam yang melalui kawasan itu. Suspek dikatakan berdiri ditengah jalan sambil menghalakan senjata kepada kenderaan yang lalu lalang.

Difahamkan ada mangsa yang hampir terbunuh dalam kejadian tersebut. Mangsa dikatakan akan membuat "saman" atas kes ini. Mangsa dikatakan melalui jalan berkenaan walaupun keadaan "berbahaya" ketika itu kerana tiada anggota polis yang mengawal lalulintas. Tiada sekatan atau pun lencongan dibuat, menyebabkan kenderaan mangsa meredah laluan berkenaan. Mujurlah mereka tidak terbunuh.

Kesan tembakan pada cermin kenderaan suspek, foto kanan kayu belantan yang turut dibawa oleh suspek semasa kejadian "ngeri" ini

Kejadian tembakan hanya dapat ditamatkan setelah 3 orang anggota polis dari Balai Polis Lipis yang lebih profesional untuk memujuk suspek tiba. Akhirnya suspek menyerah diri dan dibawa dengan kenderaan polis terbabit ke balai polis. Kejadian itu berakhir dengan tiada korban manusia, namun terdapat beberapa penyelewangan fakta dan tindakan pihak polis yang sebenarnya boleh mengancam keselamatan orang awam.

Antara Tindakan Yang Gagal Dilaksanakan Polis

Kejadian ini sebenarnya menyebabkan orang awam semakin takut dengan pihak polis. Persoalan yang timbul bagaimana suspek terbabit boleh bergerak sejauh itu dengan membawa banyak senjata berbahaya didalam kenderaan mereka. Bahkan ia boleh mengganggu ketenteraman awam.

Bayangkan sekiranya tembakan yang dibuat mengenai penduduk tempatan. Kami difahamkan terdapat 3 buah kenderaan yang terkena tembakan. Mujurlah tidak ada kemalangan jiwa. Bahkan ada mangsa penduduk tempatan yang hampir "maut" bila peluru tembakan berkenaan benar-benar melalui atas kepala beliau. Mujurlah beliau menundukkan kepalanya.

Bukankah ini berbahaya kepada orang awam. Soalnya sekarang, apa yang dibangkitkan hanyalah isu "Suspek dipercayai kurang siuman". Sedangkan nyawa penduduk tempatan sebenarnya ramai yang hampir melayang gara-gara kelewatan dan kegagalan pihak polis dalam kes ini. Antara kegagalan pihak polis ialah :-

*Gagal memastikan suspek terbabit bertugas di balai terbabit (Balai Polis Simpang Durian, Jelebu) Hinggakan beliau boleh keluar sejauh itu dengan membawa senjata berbahaya.

*Gagal mengawal keluar masuk senjata di balai tempat suspek bertugas. Ini menyebabkan suspek boleh mengambil senjata dan peluru sesuka hati tanpa ada sebarang sekatan daripada mana-mana pihak untuk tujuan "jihadnya" itu.

*Gagal memastikan keselamatan orang awam. Laporan dibuat tetapi polis menganggap ianya adalah "lawak jenaka", akhirnya pengadu terpaksa membawa anggota polis terbabit ke tempat kejadian. Hanya dua orang anggota yang bertugas di Balai Polis berhampiran. Akhirnya bantuan 3 anggota terpaksa dihantar dari Balai Polis Lipis, itu pun sudah terlambat ketika ada kenderaan orang awam yang sudah ditembak.

*Gagal membuat sekatan jalanraya, dan memeriksa senjata yang dibawa dari Negeri Sembilan hingga ke Pahang. Bukankah banyak terdapat "roadblock" di musim perayaan.

*Ketika suspek melepaskan tembakan hanya seorang anggota polis ditempat kejadian. Tiada sekatan untuk melencongkan pengguna jalaraya dari melalui jalan berkenaan. Akibatnya terdapat tiga kenderaan yang cuba melalui kawasan terbabit telah ditembak oleh suspek. Mujurlah tiada nyawa yang terkorban. Hanya orang awam yang menjaga dan menghalang kenderaan melalui jalan berkenaan. Mungkin polis ramai yang bercuti raya.
*Laporan polis yang memutar belit fakta mengatakan tiada penempatan awam, hanya guna pistol dan tiada orang awam yang ditembak adalah amat mengecewakan. Padahal ada rumah yang jaraknya tidak sampai 100 meter dari tempat kejadian. Kesemua keluarga dalam rumah terbabit terpaksa melarikan diri dalam ketakutan untuk menyelamatkan diri kerana takut ditembak. Tambahan pula terdapat peluru yang dihalakan ke rumah mereka. Ini jelas sekali mengganggu ketenteraman awam dan menyebabkan keluarga terbabit "trauma" dengan kecuaian pihak polis ini.
*Pihak polis gagal mengenalpasti anggota mereka yang bermasalah seperti ini. Suspek tidak mengalami masalah kewangan kerana buku bank yang turut terdapat dalam kenderaan beliau menujukkan baki simpanan sebanyak RM12,000. Ini bermakna suspek adalah seorang yang penjimat dalam usianya baru mencecah 22 tahun itu.

Pulihkan Imej Polis, Suspek Perlu Ditahan ISA

Susulan daripada terbongkarnya fakta sebenar kes ini, maka pihak kami mendapati polis sengaja melaporkan cerita yang berbeza kepada apa yang sebenarnya berlaku. Seolah-olah kes ini tidak melibatkan keselamatan awam, walhal perkara sebaliknya berlaku.

Mujurlah Krew Pahang Daily antara yang paling awal sampai ditempat kejadian ketika ia masih berlaku. Justeru itu kami bertanggungjawab atas laporan ini. Kreadibiliti pihak polis perlu diperbaiki, laporan yang salah menyebabkan penduduk setempat kecewa dengan kejadian ini.

Mereka tahu apa yang berlaku di kampung mereka ketika kejadian. Sebelum ini sudah banyak kejadian senjata dibawa keluar tanpa rekod dan pengetahuan pihak terbabit, namun kes kali ini dianggap paling serius kerana tembakan rambang terhadap orang awam sebenarnya berlaku.

Media arus perdana juga sengaja memutar belitkan laporan ini. Kami menyeru supaya pihak-pihak berkenaan mengambil perhatian perkara seperti. Jangan biarkan ia berlaku lagi. Bayangkan jika suspek pergi menyerang ditempat awam, sudah pasti banyak mangsa yang akan terkorban dalam kes ini.

Maka itu, adalah wajar suspek ditahan ISA kerana beliaulah yang telah mengganggu ketenteraman awam dan melakukan huru-hara secara jelas didepan mata. Apa yang ditunggu lagi oleh pihak polis dan kerajaan Malaysia. Tunjukkan sikap profesional dalam kes ini sama dengan apa yang berlaku kepada Raja Petra yang dikatakan mengganggu ketenteraman awam.

Sila ke Blog Pahang Daily untuk info panas dan sensasi..

[Pahang Daily mengucapkan syabas kepada 3 orang anggota polis dari Balai Polis Lipis yang lebih cekap dan berani mengawal keadaan. Jika tidak sudah pasti kes ini akan terus berpanjangan. Kepada keluarga dan mangsa yang terbabit dalam insiden ini, harap bersabar dengan dugaan yang melanda. Semoga kes ini akan memberi pengajaran kepada kita agar lebih berwaspada dan berhati-hati dengan sesuatu kejadian].

http://buletinonline.net/index.php?option=com_content&task=view&id=1946&Itemid=1

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...