Thursday, October 9, 2008

Dapat royalti RM3 bilion

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri bakal memperoleh sekurang-kurangnya RM3 bilion wang royalti minyak pada tahun hadapan sekiranya harga semasa bahan mentah tersebut kekal pada tahap sekarang.

Pembayaran secara terus itu bakal diterima daripada Petronas dua kali setahun dengan anggaran RM1.5 bilion yang akan dibayar masing-masing pada bulan Mac dan September 2009.

Pengiraan tersebut dibuat berdasarkan royalti lima peratus daripada 400,000 tong minyak sehari daripada telaga minyak di negeri ini.

Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, segala urusan wang tersebut akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Kewangan dan Pelaburan Negeri yang dipengerusikan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Katanya, sebahagian besar wang royalti minyak yang bakal diperoleh itu akan digunakan untuk tujuan pengurusan dan pembangunan negeri selain akan disimpan dalam simpanan tetap.

"Pada masa ini pihaknya sedang mendapatkan cadangan daripada jabatan-jabatan untuk bajet tahun hadapan bagi kegunaan masing-masing," katanya ketika ditemui selepas Majlis Aidilfitri Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini semalam.

Telaga minyak Terengganu menghasilkan minyak kualiti premium (kualiti tinggi kurang sulfur) jenis Sweet Crude yang kini berharga melebihi AS$100 atau lebih RM349 dalam pasaran minyak mentah semasa.

http://www.kosmo.com.my/09102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...