Thursday, October 9, 2008

Warga Bangladesh tersadai sudah 'diangkut'

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina@kosmo.com.my



T. MURUGIAH melihat tempat tidur warga Bangladesh yang telah ditinggalkan di bawah jejambat berhampiran stesen LRT Damai di Kuala Lumpur semalam.

--------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Lebih 200 warga Bangladesh yang sebelum ini 'menderita' dengan menumpang teduh di bawah jejambat Stesen LRT Damai di sini 'lesap' tanpa kelibat seorang pun daripada mereka semalam.

Kosmo! difahamkan, kesemua mereka sudah 'diangkut' oleh pihak polis dan Jabatan Imigresen ke pusat penempatan sementara di Kajang dan Semenyih dengan dua buah bas pada pukul 12.30 malam semalam.

"Ya, semalam ada dua buah bas datang ambil mereka setelah kepayahan mereka dilaporkan oleh pihak media," kata sumber kepada Kosmo!.

Tinjauan di kawasan itu semalam mendapati, hanya ada tinggalan sampah sarap seperti botol-botol kosong, helaian surat khabar, karpet lusuh dan helaian pakaian yang disidai yang ditinggalkan begitu saja.

Kosmo! yang sempat menghubungi seorang warga Bangladesh yang sebelum ini menjadikan kawasan jejambat itu sebagai transit perlindungan selama kira-kira tiga bulan mengesahkan mereka kini telah dibawa ke Kajang.

"Betul, semalam polis dan imigresen datang dan bawa kita ke sana, mereka tak mahu kita duduk bawah jambatan lagi," kata warga Bangladesh itu yang dikenali sebagai Bokul.

Ditanya mengenai keadaan rakan-rakannya di pusat penempatan sementara di situ, Bokul berkata: "Dekat sini bolehlah, ada makan, ada minum tapi saya rasa lepas ini ramai yang akan cabut sebab kawasan kat sini jauh dari bangunan suruhanjaya (Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh), ramai suka duduk sana sebenarnya."

Sementara itu, isu warga Bangladesh yang 'tersadai' itu telah mendesak Jabatan Perdana Menteri (JPM) memanggil semua pihak yang berkaitan menghadiri satu mesyuarat khas untuk membincangkan masalah itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), T. Murugiah yang hadir melawat perkampungan 'Mini Dhaka' itu semalam berkata, mesyuarat itu akan dipengerusikannya dan ia turut melibatkan 100 majikan yang didakwa tidak membayar gaji kepada pekerja warga itu.

http://www.kosmo.com.my/09102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...