Saturday, October 11, 2008

Najib: Belum tiba masa gabung komponen BN

Oct 10, 08 5:29pm

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bekata belum tiba masanya lagi bagi Barisan Nasional (BN) untuk menjadi satu parti pelbagai kaum.

Malah, katanya, cadangan seumpama itu merupakan "langkah besar dan memerlukan mandat daripada semua anggota parti komponen BN".

"Ini adalah langkah yang amat besar dan perlu dibincang dengan semua parti komponen BN dan kita belum sampai tahap untuk perbincangan", katanya dalam laporan Bernama.

Najib memberitahu pemberita demikian di Alor Star ketika diminta mengulas cadangan Pemuda Gerakan yang mahu diteliti dan dipertimbangan semula saranan supaya 14 parti komponen Barisan Nasional (BN) digabungkan

Ketika berucap di persidangan perwakilan Pemuda dan Wanita Gerakan di ibunegara hari ini, ketuanya Datuk Mah Siew Keong berkata saranan itu dilihat lebih relevan dengan keadaan semasa di negara ini dengan gaya pengundian rakyat kini telah berubah dan merentasi kaum.

Cadangan bagi satu parti pelbagai kaum itu dikemukakan oleh Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Menurut Mah lagi, walaupun sistem parti komponen BN telah berjaya selama 50 tahun lalu tetapi BN memerlukan jenama yang baru untuk menjadi relevan pada 50 tahun yang akan datang.

Mah berkata cadangan itu pernah dikemukakan pada persidangan perwakilan Pemuda Gerakan yang lalu tetapi ditolak oleh pemimpin parti komponen kerana tidak praktikal dan masanya belum tiba.

"Tetapi mengikut beberapa kajian oleh pihak radio, televisyen dan suratkhabar cadangan ini telah disokong kuat. Saya harap Pemuda BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan menunjukkan kesediaan menjelajah kemungkinan wujudnya satu parti berbilang kaum.

"Saya ingin mencadangkan satu pasukan petugas Pemuda BN ditubuhkan agar kemungkinan tersebut dapat direalisasikan dan dilanjutkan cadangan itu ke peringkat Majlis Tertinggi BN," katanya.

Beliau berkata keputusan pilihanraya umum ke-12 pada Mac lalu menunjukkan aspirasi pengundian rakyat telah menjangkaui batasan perkauman.

"Banyak kerja pemulihan hendak dilaksanakan kerana wujudnya banyak isu yang menyebabkan kekalahan BN seperti peningkatan kadar jenayah, harga minyak dan makanan, isu kebebasan sistem penghakiman, sistem penyampaian dan kata-kata perkauman yang negatif.

"Pemuda Gerakan menyeru semua pemimpin politik tidak memandang masalah ini daripada sudut perkauman, sepatutnya semua ini dianggap sebagai masalah negara dan mengharungi kesulitan serta kejayaan bersama," katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/91045

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...