Saturday, October 11, 2008

Pemilihan Gerakan: Ko Youn menang Timbalan Presiden



Sabtu Oktober 11, 2008

oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Ketua Gerakan Perak, Datuk Chang Ko Youn memenangi jawatan Timbalan Presiden parti tersebut dengan undian 851, menewaskan bekas Ketua Pemuda Gerakan Wilayah Persekutuan, Ma Woei Chyi, berdasarkan keputusan tidak rasmi pemilihan parti itu sebentar tadi.


Sementara itu, bagi tiga kerusi Naib Presidennya, Datuk Mah Siew Keong, Datuk Dr.S.Vijayaratnam dan Huang Cheng Guan berjaya memenangi jawatan tersebut masing-masing dengan undian sebanyak 962, 562 dan 491.


Keputusan pemilihan akan diumumkan pada majlis makan malam Gerakan yang akan diadakan pada jam 7 malam ini.


Persidangan dua hari ini akan tamat pada tengah hari esok.


BERITA TERDAHULU


KUALA LUMPUR: Hari ini merupakan hari yang penting bagi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) apabila teraju kepimpinan bagi penggal baru parti tersebut bakal diketahui malam ini.


Para perwakilan dari seluruh negara mula membanjiri ibu pejabat parti itu di Menara PGRM, di sini, bermula jam 8 pagi.


Pemilihan bagi pemegang jawatan telah bermula jam 11 pagi selepas upacara perasmian Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan 2008 disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.


Tan Sri Koh Koon yang memangku jawatan Presiden parti sejak tahun lalu telah diumumkan menang tanpa bertanding kerusi tersebut pada hari penamaan calon parti itu pada 4 Ogos lalu


Sementara itu, jawatan Timbalan Presiden menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Naib Presiden Datuk Chang Ko Youn dan bekas Ketua Pemuda Gerakan Wilayah Persekutuan, Ma Woei Chyi.


Bagi tiga kerusi Naib Presiden, berbeza dengan 10 calon yang tercalon minggu lalu, Gerakan hari ini akan menyaksikan pertandingan melibatkan sembilan orang termasuk seorang penyandang iaitu Datuk Dr. S. Vijayaratnam apabila seorang lagi penyandang, Datuk Dr. Teng Hock Nan mengambil keputusan menarik diri.


Lapan muka baru yang turun gelanggang ialah Datuk Mah Siew Keong, Huang Cheng Guan, Dr. Asharuddin Ahmad, Datuk Robin Loh, Parameswaran Ganason, S. Paranjothy, Datuk Lim Thuang Seng dan Datuk Lum Weng Keong.Dr Asharuddin mencatat sejarahnya sendiri apabila menjadi wakil Melayu pertama yang bertanding jawatan tersebut.


Sementara itu, seramai 39 orang akan bertanding merebut 18 kerusi ahli jawatankuasa kerja (AJK) pusat, berbeza dengan 40 orang yang tercalon minggu lalu apabila seorang calon, Yong Yoon Kong menarik diri.


Daripada jumlah itu, sembilan orang adalah pengerusi Gerakan peringkat negeri termasuk Ng Chiang Chin (Kelantan), Teo Kok Chee (Johor), Yap Kea Ping (Terengganu), A. Kohilan Pillay (Selangor), Dr Cheah Soon Hai (Kedah), Chang Khee Choong (Negeri Sembilan), Lee Ah Fat (Melaka), Dr. Ng Keong Chye (Pahang) dan Gordon Leong Vui Cheung (Sabah).


Selain itu, empat calon wanita yang turut bertanding jawatan tersebut adalah Ketua Wanita Pulau Pinang Ng Siew Lai, bekas timbalan ketua wanita Yong Dai Ying, ketua wanita Wilayah Persekutuan Jayanthi Dewi Balaguru dan Speaker Wanita Ong Kin Suan.Calon-calon lain adalah Cheong Ching Lian, Dr G.Krishnan, K.Supramaniam, A.Rethinavelu, S.Pandian, Vincent Hooi Wy-Hon, Lee Chee Pheng, Ong Thean Lye, Wong Mun Hoe, Stephen Doss, Ching Su Chen, Teng Chang Yeow dan Ong Tong Keong dan Chang Khee Choong.


Yang lain adalah Lau Yeng Peng, Yaw Kan Choy, Victor Choo Hock Chuan, Dr Hsu Dar Ren, Liew Yew Aw, Lau Chin Hoon, Liang Teck Meng, Tang Hiang Lye, Teng Yoon Soon, Chong Hak Beang, Chong Tuck Chiew dan Chong Voon Chow dan Thong Ah Nee.


Pertandingan bagi merebut tiga jawatan naib presiden dan 18 jawatan AJK pusat itu merupakan pertandingan yang paling sengit dalam sejarah Gerakan sejak ditubuhkan pada tahun 1968.


Keputusan pemilihan akan diumumkan pada majlis makan malam Gerakan yang akan diadakan pada jam 7 malam ini.


Persidangan dua hari ini akan tamat pada tengah hari esok.


http://www1.mstar.com.my/11102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...