Sunday, November 16, 2008

‘Awak siasat sendiri...’

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN
mizan@hmetro.com.my


AZIZ...beri nasihat kepada keluarga Nor Radhiah.


KUALA LUMPUR: “Terlalu banyak rahsia (selepas perkahwinan) yang saya tahu sedikit demi sedikit. Saya ambil kesimpulan memang saya selama ini menilai sesuatu daripada ‘kulit’ sedangkan benda (hal yang sebenar) itu saya tidak tahu,” kata pengarah dan pelakon terkenal, Aziz M Osman, 46, yang berdepan kontroversi selepas tidak lagi tinggal sebumbung dengan isterinya, ustazah, Nor Radhiah Ramli, 22, gara-gara meragui status perkahwinannya.

Dalam pertemuan dengan Metro Ahad, Aziz yang selama ini enggan mengulas lanjut mengenai kemelut rumah tangga akhirnya ‘membuka mulut’ untuk bercerita situasi yang sebenar.

Antara yang diperkatakannya, sebelum berkahwin, Aziz mengetahui status Nor Radhiah dan dia turut mengetahui isterinya itu pernah ‘kahwin lari’ dengan bekas suaminya selepas hubungan mereka tidak direstui keluarga.

Ikuti temubual ASMIZAN MOHD SAMIRAN (mizan@hmetro.com.my) bersama Aziz, semalam.


Soalan (S): Ramai yang mengatakan anda seperti kelam-kabut hendak mengahwini Nor Radhiah.

Jawapan (J): Yang pertama sekali, apa yang saya buat, saya kahwin dengan cara yang betul. Saya merisik dan saya mendapat restu. Soal kelam-kabut hendak kahwin tidak timbul. Untuk tetapkan tarikh perkahwinan pun direstui kedua belah pihak. Pihak dia dan saya.



S: Apa yang anda tahu mengenai Nor Radhiah sebelum mengahwininya.

J: Benda ini yang saya diberitahu sudah diselesaikan (perkahwinan Nor Radhiah terdahulu). Berdasarkan kepada proses yang saya lalui sejak berjumpa, berkenalan dan berjumpa keluarga dia. Saya tahu dia pernah kahwin lari. Cuma saya beritahu saya tidak boleh terbabit selagi pihak keluarga perempuan merasa ada kesangsian pada perkahwinan pertama. Saya kata rujuklah kepada mahkamah dan mahkamah kata perkahwinan itu tidak sah. Dan saya buat perancangan untuk berkahwin. Kemudian, saya dapat ‘lampu hijau’ dari semua pihak termasuk daripada Nor Radhiah yang kata hendak kahwin dengan saya.



S: Adakah timbul soal anda tertipu?

J: Soal tertipu itu terlalu rumit hendak diperkatakan kerana terlalu banyak rahsia (selepas perkahwinan) yang saya tahu sedikit demi sedikit. Saya ambil kesimpulan memang saya selama ini menilai sesuatu daripada ‘kulit’ sedangkan benda (hal yang sebenar) itu saya tidak tahu. Saya ingin merubah hidup saya kepada yang lebih ‘simple’ dengan mendapatkan seorang gadis dari luar kelompok saya (dunia artis) dan tiba-tiba benda ini ada masalah, tapi masalah dia lain pula. Kesimpulannya janganlah mengatakan bahawa dunia artis ini penuh dengan hitam, gelap, kelabu.... kerana apabila saya meneroka dunia orang lain sama juga. Kalau dinamakan manusia, ada kelemahan juga. Ini sesuatu yang mengejutkan juga. Pendedahan yang mengatakan dia kahwin lari dan pendedahan itu bukan daripada saya.



S: Anda mengetahui status isteri anda, tetapi mengapa selepas berkahwin timbul masalah sehingga anda mengambil keputusan untuk tidak tinggal sebumbung?

J: Ada pihak yang tidak dapat saya sebutkan di sini meminta saya supaya pergi rujuk benda ini (status perkahwinan) kepada pakar. Dan apabila saya merujuk kepada peguam saya dan peguam saya merujuk kepada yang lebih arif, memang mengatakan perkahwinan saya disangsikan. Jadi, saya cuma menjalani proses untuk memastikan kedudukan perkahwinan saya dengan Nor Radhiah. Itu saja yang saya lakukan. Saya tidak sangka benda ini berpanjangan sehingga satu ketika saya beri nasihat kepada keluarga Nor Radhiah, jangan terlalu melatah dengan keadaan sekeliling, tetapi apabila mereka membalasnya (memberi kenyataan) mereka sendiri yang mendedahkan semuanya. Bukan daripada saya.



S: Selepas kemelut rumah tangga anda didedahkan media, anda seolah-olah cuba menutup mulut.

J: Bagi saya, ini soal hak undang-undang. Selagi kita tidak dapat penentuan kita tidak dapat memberikan keputusan atau jawapan. Lainlah apabila mahkamah sudah tetapkan kedudukan saya, barulah saya boleh buat kenyataan. Ini berdasarkan pengalaman yang lepas. Kadang-kadang benda ini apabila kita bercakap, merapu, bertekak, kesudahannya bila keputusan dibuat maka terserlah siapa yang melalut dan siapa yang kalut. Dia akan kena balik pada batang hidung sendiri. Saya mendiamkan diri bukan atas dasar tidak bertanggung jawab. Saya mendiamkan diri atas dasar saya tidak tahu apa yang berlaku. Apabila kita tidak tahu, kita duduk diam.



S: Anda masih berhubung dengan Nor Radhiah?

J: Ya. Melalui Internet... khidmat pesanan ringkas (SMS). Itu yang saya tanya dia kenapa nak buat kenyataan...kerana Nor Radhiah ini bukan seperti apa yang difikirkan masyarakat kerana Nor Radhiah ini lurus, masih mentah dan mudah terpengaruh, panik dengan situasi yang dia tidak biasa. Sedangkan, saya ini sudah matang dan tidak mudah melatah. Kalau kita berani kerana benar tidak apa, tetapi kalau kita nak bela diri kita sedangkan latar belakang itu semua agak kabur, kita perlu berhati-hati ketika membuat kenyataan.



S: Siapa sebenarnya yang mendorong anda merujuk status perkahwinan anda semula. Adakah Nor Radhiah sendiri membuat pengakuan tertentu kepada anda atau ada pihak ketiga yang campur tangan?

J: Saya tidak mahu komen. Bukannya apa, benda ini akan babitkan ramai orang. Bagi saya tidak perlu babitkan ramai orang. Benda ini cuma kesnya kepada saya. Soal cinta Romeo dan Juliet yang tidak mendapat restu ibu bapa tidak timbul. Sekarang ini fokusnya adalah kepada perkahwinan Aziz M Osman. Saya cuma fokus perkahwinan saya sah atau tidak.



S:Seandainya perkahwinan anda diputuskan sah oleh Mahkamah?

J:Kita tunggu episod seterusnya.



S:Betul 23 November ini naik mahkamah?

J:Awak siasat sendiri.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20081115181440/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...