Sunday, November 16, 2008
Ratu pondan
Oleh AHMAD NAZRI MOHAMAD, ASMIZAN MOHD SAMIRAN DAN SHAMRAN SARAHAN
metahad@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Ketika isu pengkid hangat diperkatakan, golongan mak nyah atau pondan di negara ini bagaikan diberi layanan istimewa apabila ada pihak yang ‘bermurah hati’ menyediakan pertandingan khas untuk memilih ratu cantik di kalangan mereka.
Menerusi penyertaan dalam pertandingan ‘ratu cantik pondan’ itu, golongan terbabit dikatakan berada di puncak impian apabila berpeluang merubah diri menjadi wanita yang tampil dengan gaya anggun dan menawan selain meraih pelbagai gelaran seperti Queen of the Year (Ratu Tahun Ini) dan All Star (Bintang-bintang).
Berdasarkan maklumat diterima daripada sumber, wartawan Metro Ahad berjaya menyusup masuk ke sebuah kelab di ibu kota yang kini ‘ligat’ memulakan misi mencari bakat baru pondan untuk dimahkotakan sebagai ratu cantik.
Bagaikan ‘kebal’ daripada penguatkuasaan undang-undang, iklan mengenai pertandingan itu ditampal di papan kenyataan di luar kelab berkenaan sehingga mengundang perhatian orang ramai yang lalu lalang.
Berdasarkan iklan berkenaan, peserta hanya dikenakan wang pendaftaran serendah RM30 dan berpeluang memenangi hadiah wang tunai RM2,000 untuk tempat pertama, RM500 (kedua) dan RM300 (ketiga).
Foto wajah finalis dan ratu pondan bagi pertandingan tahun lalu diabadikan di satu sudut khas di dalam kelab itu termasuk barisan ratu pondan yang menyertai pertandingan satu kategori khas pada Jun lalu.
Seorang pengunjung yang ditemui berkata, pertandingan dijangka lewat dimulakan kerana masih menunggu penyertaan daripada golongan terbabit, paling awal pertandingan dijangka bermula pada jam 12.30 tengah malam.
Begitupun, seawal jam 10 malam, kelihatan beberapa pengunjung mula memasuki kelab berkenaan untuk berhibur terlebih dulu sebelum melihat pertandingan berkenaan.
Pengunjung yang mahu dikenali sebagai Didi, 23, itu berkata kelab berkenaan adalah kelab yang cukup terkenal di kalangan golongan homoseksual gay.
“Kelab ini sudah lama beroperasi dan tidak keterlaluan dikatakan ia kelab gay paling lama bertahan di ibu kota. Setiap tahun memang ada pertandingan ratu cantik pondan di kelab ini,” katanya.
Seperti diberitahu Didi, wartawan Metro Ahad memasuki kelab berkenaan pada jam 12.30 malam tetapi pertandingan belum dimulakan.
Begitupun, suasana kelab tetap meriah apabila pengunjung yang semuanya lelaki berhibur mengikut alunan rentak disko bersama ‘pasangan’ masing-masing.
Bukan saja warga tempatan, tetapi warga asing termasuk Mat Salih dan warga Afrika turut mengunjungi kelab berkenaan. Malah, ada yang berpasangan dengan warga tempatan tanpa segan silu bercengkerama seperti pasangan kekasih.
Di sudut tertentu yang lebih gelap dan menempatkan kerusi dalam kelab itu, kelihatan beberapa pasangan gay asyik bercumbu rayu tanpa dipedulikan pengunjung lain.
Kelibat peserta yang hadir bersama jurumekap dan beg besar berisi pakaian dan aksesori mula kelihatan sekitar jam 1 pagi.
Pada jam 2 pagi, disaksikan kira-kira 100 penonton, pertandingan yang dinamakan Extreme II Faces, bermula dan peserta diperkenalkan pengacara majlis. Memandangkan pertandingan diadakan untuk peringkat pertama, hanya tiga peserta mengambil bahagian.
Seorang daripada tiga peserta berkenaan adalah pelajar kolej, manakala dua lagi tidak diberitahu pekerjaan mereka.
Untuk sesi pengenalan, ketiga-ketiga peserta tampil dengan berpakaian ‘gaun malam’ sambil berjalan dengan gaya ‘catwalk’ persis model.
Peserta kemudian dikehendaki menyanyi secara ‘miming’ mengikut rentak lagu yang disampaikan. Dua daripada peserta memilih lagu Datuk Siti Nurhaliza dan seorang lagi membawa lagu Erra Fazira.
Bagi sesi kedua iaitu penampilan gaya lelaki, seorang ‘ratu cantik pondan senior’ yang memakai gaun yang amat seksi membuat penampilan khas dengan nyanyian ‘miming’ lagu Inggeris dan tarian mengghairahkan.
Sebaik persembahan yang mendapat tepukan dan jeritan penonton itu berakhir kira-kira lima minit kemudian, ketiga-tiga ‘jantan jambu’ peserta Extreme II Faces muncul semula dengan pakaian lelaki yang penuh segak dan bergaya.
Persembahan itu mengakhiri saringan peringkat pertama pertandingan berkenaan dengan keseluruhan sesi hanya mengambil masa setengah jam.
Dua juri terdiri daripada golongan mak nyah mengadili pertandingan dan markah untuk hari berkenaan akan menjadi sandaran kepada ketiga-tiga peserta terbabit untuk menempatkan diri ke peringkat seterusnya.
Pengacara majlis mengumumkan bahawa pertandingan akan diteruskan untuk tempoh beberapa minggu. Peringkat akhir pertandingan belum dapat ditetapkan kerana ia bergantung kepada penyertaan peserta.
Sementara itu, bekas peserta ratu pondan pada 2003, 2004 dan 2005 yang mahu dikenali sebagai Gee, 29, berkata pertandingan ratu cantik pondan seperti itu perlu dibongkar kerana ia sudah lama diadakan di kelab berkenaan.
“Dibandingkan dengan pendedahan ratu pondan di Kelantan sebelum ini, di kelab ini lagi teruk kerana ia turut menganjurkan ratu pondan antarabangsa, terutama dari negara jiran Thailand.
“Ketika ini, ramai di kalangan pondan muda yang terjebak dengan pertandingan ini kerana ingin mendapatkan wang dan ada juga sekadar suka-suka dan mencari kenalan.
“Di situ juga boleh jumpa ‘mak ayam’ yang popular di kalangan pondan. Sebab itu ramai yang ingin menyertai pertandingan itu. Ada antara mereka pelajar universiti dan juga pekerja profesional,” katanya.
Bagi bekas peserta ratu pondan 2005 yang mahu dikenali sebagai Mimi, 25, dia dan rakan menyertai ratu pondan kerana golongan seperti mereka susah untuk ‘drag’ (memakai pakaian wanita) dan takut diketahui keluarga sebab masih tinggal dengan keluarga.
“Peluang menyertai ratu pondan ini bukan saja beri memberi kepuasan, tetapi dapat ‘lepas geram’ kerana sudah lama memendam hasrat untuk berpakaian dan melaram sama dengan perempuan.
“Sebelum itu, saya hanya memakai pakaian perempuan dan menjadi pondan ketika di rumah kawan kerana takut berbuat demikian di luar rumah, bimbang risau diketahui keluarga.
http://www.hmetro.com.my/Sunday/BeritaUtama/20081115184757/Article
No comments:
Post a Comment