Tuesday, November 11, 2008

Versatil, enggan stereotaip

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my




--------------------------------------------------------------------------------

ANAK seni bernama Rosyam Nor sekali lagi mencipta sejarah apabila mengungguli kategori Pelakon Terbaik Lelaki (Filem) melalui Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM) dalam Anugerah Skrin 2008 (ASK 2008) yang berlangsung Jumaat lalu.

Kemenangan Rosyam yang sememangnya terkenal di skrin TV dan layar lebar sudah diramal, lebih-lebih lagi dia turut memenangi kategori yang sama di dalam Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) yang berlangsung Ogos lepas.

Membawakan watak Salleh dalam (KMBM), ia terus menjadi 'badi' kepada Rosyam bagi menyapu bersih dan secara rasmi memeteraikan sumpah sebagai yang terbaik dalam membawa karakter itu.

"Bermain dengan watak Salleh dalam KMBM menjadi satu kesukaran buat saya. Dalam filem tersebut, dari A hingga Z babak-babak dan plotnya melibatkan Salleh.

"Kalau hendak tahu, saya melakonkan watak tersebut dengan penuh kesukaran sebenarnya.

"Menerusi watak itu, saya dapat merasai pelbagai emosi, drama, sedih, marah dan komedi.

"Itulah yang saya mahukan dan cari dalam perjalanan saya sebagai pelakon, saya mahu menjadi seorang pelakon yang versatil," kata Rosyam.

Tambah Rosyam lagi: "Menjadi aktor yang banyak menerima anugerah sebenarnya satu cabaran dan tanggungjawab yang dianggap berat buat saya.

"Saya kini menjadi individu yang semakin selektif dan banyak permintaan dalam diri saya, terhadap siapa yang bakal kerja dengan saya dan siapa yang berada di belakang lakonan saya.

"Itulah yang saya perlukan. Saya juga semakin peka terhadap tawaran yang diberikan, tentang skrip. Itu semua adalah bagi mengekalkan kredibiliti saya.

"Saya mahu pastikan, saya terus ditawar berlakon disebabkan populariti ataupun kerana bakat yang ada pada saya.

"Saya enggan mengambil watak yang stereotaip kerana saya tidak mahu pada masa akan datang, 10 ataupun 20 tahun lagi, penonton akan berasa bosan dengan lakonan saya.

"Sebaliknya, saya mahu jadi seperti Tan Sri P. Ramlee yang sentiasa popular hingga ke hari ini, generasi baru juga tidak bosan dengan jenaka P. Ramlee. Itu contoh yang boleh saya berikan.

"Maksudnya, saya mahu kelainan dalam setiap kerja lakonan yang akan saya lakukan. Bukannya untuk pegang watak hero sahaja, watak kecil juga akan saya lakukan jika ada kelainan serta dapat memberi kesan mendalam terhadap penonton."

Dalam pada itu, Rosyam juga mempercayai doa semua pihak terutama peminat, apatah lagi menjadi seorang pelakon yang baik, dia juga harus berbuat baik, lalu mempermudah kerja pihak lain.

"Tidak bermakna, pilihan saya untuk menjadi lebih selektif ini akan mendatangkan rasa tidak berpuas hati pihak lain kerana merasakan payah untuk bekerja dengan saya.

"Saya bukan begitu kerana saya percaya sikap menyusahkan orang lain akan menghancurkan karier seni saya," ungkapnya.

Ditanya rahsia yang diamalkan Rosyam hingga dia berupaya menjadi pelakon versatil, beritahunya, dia banyak menjalankan kajian melalui dunia realiti yang dianggap sebagai cara yang terbaik.

"Saya sentiasa menganalisis manusia-manusia yang saya kenali, yang berada di depan mata saya.

"Saya bergaul dengan semua lapisan masyarakat, kena baca suratkhabar, kena tahu dunia lain selain hiburan.

"Saya juga kena baca tentang sukan, politik serta ekonomi. Barulah seseorang itu akan jadi pelakon yang bijak," tutur Rosyam berkongsi petua.

Kemenangan Rosyam serta penerima anugerah lain ASK 2008 membolehkan mereka membawa pulang hadiah berupa trofi dan lawatan ke Los Angeles.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1110&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...