Tuesday, November 11, 2008

Wanita hamil 'culik' dua budak

Oleh RIZAM ZAKARIYA
mohdrizam@kosmo.com.my



BUTTERWORTH - Dua kanak-kanak terpaksa berjalan kaki sejauh satu kilometer dengan menangis teresak-esak sebelum sampai ke rumah selepas menjadi mangsa 'culik' selama dua jam oleh seorang wanita mengandung.

Dalam kejadian pukul. 4.30 petang Khamis lalu, dua sepupu iaitu Nurwahida Natalia Shabuddin, 6 (gambar), dan Norshamimi, 11, sedang bermain berhampiran sebuah masjid di Bagan Dalam di sini.

Mengikut bapa Natalia, Shabuddin Mat, 49, anaknya memberitahu, tiba-tiba muncul seorang wanita menunggang motosikal meminta dia dan sepupunya menunjukkan jalan ke terminal bas.

"Natalia kata wanita berkenaan memberitahu dia dari Ipoh.

"Anak saya dan sepupunya tidak mahu, tetapi wanita berkenaan terus memegang tangan mereka berdua dan menunggang motosikal menuju ke terminal," kata beliau semasa ditemui di sini semalam.


--------------------------------------------------------------------------------

Bagaimanapun katanya, wanita itu berhenti di hadapan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang terletak bersebelahan dengan terminal bas.

"Ikut cerita Natalia, dia dan sepupu perempuan serta wanita tersebut duduk di stesen KTMB itu selama kira-kira setengah jam sambil diajak berbual-bual oleh wanita itu.

"Dalam perbualan itu, wanita tersebut bertanya macam-macam pasal keluarga," katanya.

Sedang berbual, ujarnya, muncul dua lelaki di tempat menunggu stesen KTMB dan Natalia memberitahu, dia nampak wanita itu memberi isyarat kepada kedua-dua lelaki itu yang tidak pula menghampiri mereka.

Tidak lama selepas itu, cerita Shabuddin lagi, wanita itu menghulur RM2 kepada Norshamimi dan menyuruhnya membeli air di sebuah gerai berhampiran.

"Setelah Norshamimi ke kedai, wanita berkenaan menyuruh Natalia berpaling ke belakang dan pada masa itu rantai emas yang dipakainya dipotong.

"Natalia bagi tahu dia cuba meminta rantainya semula, tetapi wanita itu tidak mengendahkannya," katanya.

Dalam masa sama katanya, semasa wanita berkenaan cuba memberi isyarat kali kedua kepada dua lelaki berkenaan, perbuatan itu menarik perhatian orang awam.

Jelasnya, wanita berkenaan yang mungkin menyedari tingkah lakunya diperhatikan terus menunggang motosikal dan beredar dari situ.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1111&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...