Tuesday, December 23, 2008

Bekas pramugara bebas tuduhan terbitkan VCD lucah



Selasa Disember 23, 2008

SHAH ALAM: Bekas pramugara Malaysia Airlines (MAS) yang dituduh menerbitkan video cakera padat (VCD) lucah dibebaskan dan dilepaskan semalam selepas Mahkamah Tinggi membatalkan sabitan dan hukuman penjara 18 bulan terhadapnya.


Mahkamah, dalam membenarkan rayuan Mohd Rizal Mat Yusuf, memutuskan sabitan dan kesalahan yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen empat tahun lepas merupakan kegagalan keadilan.


Alasan utamanya ialah kegagalan pihak pendakwaan membuktikan bahawa Rizal yang telah membuat atau menerbitkan VCD bertajuk "Kehidupan Seorang Pramugara Yang Terlampau" bagi tujuan pengagihan dan pengedaran.


Rizal, 36, pada 17 Dis, 2004, dihukum penjara 18 bulan kerana membuat dan mengedarkan VCD yang memaparkan adegan lucah di Jalan Sri Banang, Taman Sri Andalas, Klang, antara 1999 dan Mei 2003.


Hakim P.Nallini, dalam penghakiman 21 muka surat berkata para saksi pihak pendakwaan telah gagal mengaitkan antara VCD lucah itu dan Mohd Rizal.


Beliau berkata, tiada bukti yang menunjukkan Rizal membuat atau menerbitkan VCD itu kerana keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan hanya menunjukkan yang dia terbabit dalam beberapa adegan dan merakamkan pita kaset video menggunakan video handycam dan alat kawalan jauh.


"Tidak ada keterangan dikemukakan yang menunjukkan Rizal telah memindahkan isi kandungan pita kaset video itu ke dalam VCD. Begitu juga tiada keterangan yang menunjukkan dia memiliki, atau menggunakan peralatan khas yang diperlukan bagi tujuan pemindahan itu.


"Sekiranya pertimbangan dibuat sama ada wujud kes prima facie berhubung keterangan yang dikemukakan dalam kes pendakwaan dan jika undang-undang yang diperlukan telah diguna pakai dalam kes pembelaan, tidak mungkin keputusan untuk mensabitkan Rizal dapat dicapai.


"Dalam keadaan ini, sabitan terhadap perayu dilihat adalah akibat kegagalan keadilan, mendorong campur tangan di peringkat rayuan,"
katanya.


Beliau berkata alasan penghakiman oleh Hakim Mahkamah Sesyen menunjukkan yang pemeriksaan dan penilaian menyeluruh tidak dilakukan terhadap kes pendakwaan dan sebaliknya semakan teliti dan menyeluruh dilakukan terhadap kes pembelaan.


"Kesan daripada gagal membuat penilaian maksimum terhadap kes pendakwaan, tetapi membuat penelitian menyeluruh terhadap kes pendakwaan ialah untuk menterbalikkan beban bukti.


"Menterbalikkan beban bukti seperti itu akan menyebabkan keadilan tidak dapat dilaksanakan. Undang-undang mensyaratkan yang penilaian maksimum patut dilakukan pada penutupan kes pendakwaan bukan sekadar ketetapan tetapi perlu diaplikasikan,"
katanya.


Rizal, dalam pembelaannya mengaku merakamkan perlakuan seksualnya dengan pramugari rakan sekerja dalam pita kaset video menggunakan kamera video bimbit bagi kegunaan peribadi.


Katanya apabila dia memutuskan hubungan dengan pramugari itu, dia berjanji untuk memusnahkan pita itu dan dia tidak memindahkan isi kandungannya ke dalam VCD kerana dia tidak mempunyai peralatan untuk berbuat demikian.


Dalam rayuannya, Rizal, diwakili peguam Rakhbir Singh, berkata hakim perbicaraan telah gagal mempertimbangkan yang tiada keterangan yang menunjukkan yang dia membuat atau menerbitkan VCD itu dan yang dia tahu atau memiliki alat khas untuk menerbitkan VCD itu.


Katanya hakim perbicaraan juga gagal mempertimbangkan bahawa semua saksi telah mengesahkan yang dia tidak mungkin terlibat dalam penjualan atau pengedaran VCD.


Ketika ditemui di luar mahkamah, Rizal, yang menutup mukanya dengan sapu tangan dengan hanya matanya saja yang kelihatan, memberitahu pemberita yang beliau bersyukur dan lega dengan keputusan itu."Saya sangat bersyukur, alhamdulilah. Terima kasih kepada ibu bapa yang sentiasa memberi sokongon dan peguam saya yang telah bekerja keras. Selepas ini saya hendak mencari kerja baru.


"Saya tutup muka kerana sebelum ini saya dah banyak kali dibuang kerja kerana kes ini," katanya. BERNAMA

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/23/mstar_berita/20081222193023&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...