Saturday, December 27, 2008

Kaya kelentong sahaja

Oleh JUNHAIRI ALYASA
berita@kosmo.com.my



SEORANG lelaki kecewa apabila barangan skim MLM yang disertainya tidak terjual. – Gambar hiasan
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR – “Jika ada yang mendakwa mampu meraih RM500,000 sebulan dalam tempoh singkat dengan menyertai skim jualan langsung (MLM), orang itu pasti seorang penipu dan ada unsur penyelewengan. Jadi hati-hatilah.”

Demikian ingatan Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, (KPDNHEP), Daud Tahir mengenai kewujudan aktiviti penipuan yang melibatkan syarikat MLM.

“Jika ada peningkatan mendadak dalam jualan, itu mesti ada sesuatu yang tidak kena dan syarikat MLM yang terlibat perlu memastikan ejen-ejennya melakukan kegiatan jualan langsung dengan cara yang betul,” ujarnya ketika dihubungi semalam.

Menurut Daud, kini terdapat banyak aduan mengenai penipuan skim-skim MLM kerana kewujudan ejen-ejennya yang tamak dan ingin cepat kaya. Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah kes-kes terbabit.

“Masalahnya ialah sistem sudah cantik tetapi ejen MLM itu sendiri yang ubah dan buat sendiri sistem pemasaran yang akhirnya melanggar garis panduan yang kita tetapkan,” jelas Daud.

Hanya syarikat MLM yang mempunyai premis dan cawangan dilesenkan dan perniagaan MLM berbentuk Internet tidak dilesenkan di bawah Akta Jualan Langsung 1993.

Sementara itu. Ketua Pegawai Eksekutif De Classic Life (M) Sdn. Bhd. (DCL), Datuk Stapa Omar menegaskan bukan mudah untuk mencapai taraf jutawan melalui perniagaan MLM malah ia memakan masa bertahun-tahun.

“Jika ada yang mendakwa boleh bergelar jutawan dalam tempoh tiga bulan dengan menjalankan perniagaan MLM, dia sudah pasti kelentong sahaja,” ujarnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1227&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...