Saturday, December 27, 2008

Tiada masalah


KUALA LUMPUR: Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) mengumpul dana RM3 juta pada tahun ini hasil keprihatinan masyarakat, organisasi dan syarikat swasta yang konsisten ingin membantu pesakit jantung yang kurang berkemampuan.

Pengurus Yayasan IJN, Alawiyah Yussof, berkata enam syarikat swasta menghulurkan dana secara tetap setiap tahun kepada yayasan itu, manakala organisasi lain dan individu pula akan menghulurkan sumbangan pada bila-bila masa.

Antara syarikat dan organisasi yang menyumbang kepada yayasan itu ialah Pfizer Malaysia, AirAsia dan Yayasan Tenaga Nasional.

“Bantuan yang dihulurkan bukan saja berbentuk wang ringgit, malah ada yang menjadi rakan kongsi pada setiap program yang dianjurkan,” katanya.

Yayasan IJN ditubuhkan pada 1995 bertujuan mengumpul dana bagi memberi rawatan kepada pesakit jantung di institut berkenaan.

Pada tahun lalu, yayasan itu membiayai 85 orang pesakit dengan kos lebih RM2 juta.

Alawiyah berkata, dengan bantuan seperti ini, yayasan tidak pernah mengalami masalah tidak cukup dana terutama apabila pesakit yang berkelayakan datang memohon bantuan yayasan secara kecemasan.

“Pada asalnya yayasan ini untuk membantu pesakit miskin yang mengalami kes kecemasan dan membiayai program penyelidikan di IJN. Begitupun, ada masanya dari segi peralatan kami cuma bantu beli sebagai barang tambahan sahaja, katanya.

Menurutnya, IJN merawat tiga golongan pesakit iaitu kakitangan atau pesara kerajaan, pesakit mampu bayar dan pesakit kurang mampu bukan kakitangan kerajaan seperti pesawah dan nelayan.

Yayasan IJN tidak menerima aduan daripada pesakit mahupun keluarga pesakit berhubung kekurangan peralatan ataupun ‘kecacatan’ terhadap perkhidmatan yang disediakan.

Mengenai cadangan penswastaan IJN, Alawiyah berkata jika kerajaan memutuskan untuk menswastakan institut ini mungkin sokongan daripada penderma akan berkurangan.

“Keadaan ini dijangka berlaku mungkin kerana stigma masyarakat yang sudah lama beranggapan badan swasta hanya bergantung kepada keuntungan untuk mendapatkan pusingan modal,” katanya.

Baru-baru ini, Sime Darby Bhd dilaporkan merancang untuk mengambil alih 51 peratus kepentingan IJN Holdings Sdn Bhd, pengendali IJN.

Pada masa ini, IJN adalah pusat perubatan jantung terkemuka di rantau ini, dimiliki 99.99 peratus oleh Kementerian Kewangan. — Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20081227100849/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...