Oleh Amir Hamzah Nordin
am@hmetro.com.my
DAIF...Rosni bersama anaknya di pondok tempat tinggal
mereka.
JERANTUT: Akibat kesempitan hidup, seorang ibu tunggal terpaksa membesarkan 15 anak dalam penuh kedaifan di sebuah pondok buruk di Kampung Serdang, di sini.
Ibu tunggal itu, Rosni Ibrahim, 44, berkata sejak berpisah dengan suami setahun lalu, dia terpaksa mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab menguruskan anak-anak dan keluarga.
Menurutnya, bantuan diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM95 sebulan memang tidak mencukupi untuk menyara keluarga.
“Kini, 12 anak tinggal bersama saya manakala tiga lagi sudah bekerja. Saya pula terpaksa mengambil upah mencuci pinggan di kedai makan dengan pendapatan tidak menentu.
“Selepas gagal menjelaskan sewa rumah lama, kini kami sekeluarga terpaksa tinggal di pondok ini untuk meneruskan kehidupan,” katanya ketika ditemui.
Katanya, sudah lapan kali mereka sekeluarga terpaksa berpindah-randah dan keadaan itu memberi tekanan kepada dirinya dan anak-anak.
“Walaupun tiada bekalan elektrik dan air selain hidup serba kekurangan, namun saya tetap berharap persekolahan anak-anak dapat diteruskan bagi menjamin masa depan mereka,” katanya.
Menurutnya, dia juga menghadapi masalah kesihatan hingga turut menjejaskan urusan harian mencari rezeki menyara keluarga apabila menghidap gastrik, rabun serta tekanan darah rendah.
“Bayangkan, saya perlu membesarkan 12 anak yang masih kecil ditambah keadaan kesihatan tidak mengizinkan. Saya merayu kepada pihak berkuasa untuk membantu kami sekeluarga,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090116092733/Article/index_html
No comments:
Post a Comment