Saturday, January 17, 2009

Kerja orang dalam


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my




KUALA LUMPUR: Ratusan kes penipuan tukar hak milik tanah membabitkan nilai puluhan juta ringgit yang dilaporkan sejak beberapa tahun lalu akhirnya terbongkar selepas siasatan polis mendapati ia berpunca dari kerja orang dalam yang diupah sindiket tertentu untuk melicinkan jenayah terancang itu.

Siasatan polis mendapati, orang dalam yang juga kakitangan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) terbabit secara langsung dalam kebanyakan kes pemalsuan dan penipuan hak milik tanah di seluruh negara.

Kes penipuan berkenaan menyebabkan pemilik tanah terpinga-pinga apabila tanah mereka tiba-tiba jatuh ke tangan individu tidak dikenali walaupun geran tanah asal masih berada di tangan mereka.

Malah dalam beberapa kes dilaporkan sebelum ini, mangsa terkejut apabila diberitahu tanah milik mereka sudah dijual kepada ahli sindiket kepada pemaju perumahan atau pemilik tanah baru tanpa persetujuan daripada mereka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Koh Hong Sun, berkata pihak tertentu menggunakan kakitangan dalaman PTG bagi membolehkan mereka melakukan penipuan itu.

“Pembabitan mereka (orang dalam) dikenal pasti dengan penangkapan beberapa kakitangan PTG di Perak tahun lalu dan polis sudah mendakwa mereka di mahkamah. Kita sedang bekerjasama dengan PTG untuk mengatasi masalah itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK di Bukit Perdana di sini, semalam.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 145 kes pemalsuan dan penipuan hak milik tanah dilaporkan di seluruh negara tahun lalu dengan enam daripadanya sudah dibicarakan.

Katanya, modus operandi kumpulan yang melakukan penipuan itu adalah dengan memalsukan tandatangan pemilik tanah sebenar pada dokumen pindah pindah hak milik tanah.

“Selain itu mereka turut menggunakan dokumen perintah mahkamah palsu bagi membolehkan PTG memindahkan hak milik tanah.

“Ahli sindiket penipuan itu turut dikesan menyamar sebagai pemilik tanah dengan mengemukakan geran dan pengenalan diri palsu serta menggunakan surat kuasa wakil palsu dalam urusan jual beli dan pindah milik tanah,” katanya.

Menurutnya, penjenayah turut pernah dikesan menggunakan MyKad palsu untuk melakukan jenayah terbabit dengan menyamar sebagai mangsa.

“Kejayaan membongkar jenayah terancang ini adalah hasil usaha gigih polis dalam membanteras jenayah `curi tanah’ ini yang mengakibatkan nilai kerugian berpuluh juta ringgit setahun,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Koh berkata sebanyak 17,311 kertas siasatan dibuka tahun lalu, meningkat 26.6 peratus daripada tahun 2007 dengan kerugian dianggarkan RM845 juta.

Daripada jumlah itu, sebahagian besar daripadanya ialah kes penipuan serta pecah amanah dan polis berjaya menyelesaikan 8,673 kes sepanjang tahun lalu.

Selain itu, katanya jumlah kes jenayah siber menunjukkan peningkatan ketara dengan 1,057 kes dicatatkan tahun lalu berbanding 147 kes tahun sebelumnya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090116092224/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...