Friday, January 9, 2009

Jangan beli produk AS

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN
ahmadsyukran.zainuddin@kosmo.com.my

Dunia menentang keganasan ini, tetapi Amerika Syarikat tetap mempertahankan Israel menyebabkan negara lain terus tunduk kepada dasar luar Amerika.


--------------------------------------------------------------------------------

DI sebatang jalan, antara yang paling sibuk di Silicon Valley, Amerika Syarikat (AS), ratusan warga Palestin-Amerika berarak mengadakan tunjuk perasaan secara aman sebagai tanda bantahan pencerobohan tentera Israel ke atas Genting Gaza.

"Berhenti mengebom keluarga kami," jerit Inshirah Abusneineh di persimpangan Stevens Creek dan Winchester.

"Bebaskan Palestin! Bebaskan Palestin!" laung kumpulan tersebut.

Abusneineh, 34, dilahirkan di Baitulmaqdis dan datang ke AS ketika berusia empat tahun. Dalam tunjuk perasaan itu, beliau turut membawa empat orang anaknya menentang kezaliman Israel.

Adiknya, Khitam, 25, datang bersama dua orang anak kecil. Keluarga itu berdiri di hadapan kompleks beli-belah Valley Fair. Sesekali kereta bergerak laju dan sangat hampir dengan mereka.

"Kami masih mempunyai keluarga di Palestin. Kanak-kanak di sana dibunuh sedangkan mereka tidak berdosa," kata Abusneineh dalam nada sedih.

Lama-kelamaan bilangannya bertambah ramai disertai oleh generasi Pelestin-Amerika yang tinggal di Silicon Valley. Mereka terdiri daripada keluarga-keluarga muda yang menyorong kereta bayi, remaja, pelajar dan golongan profesional.

Seluruh warga dunia mengecam tindakan kejam Israel. Seperti biasa, dengan angkuh rejim zionis itu langsung tidak menghiraukan segala bantahan. Tunjuk perasaan berlaku di kebanyakan negara, malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah banyak kali digesa agar mengusahakan gencatan senjata sesegera mungkin, sebelum lebih ramai kanak-kanak, wanita dan orang awam Palestin menjadi korban.



SEORANG lelaki memegang sepanduk dalam satu tunjuk perasaan di Anaheim, California, Amerrika Syarikat.
--------------------------------------------------------------------------------

Malangnya, setakat ini masih tidak ada penyelesaian konkrit dilaksanakan oleh mana-mana pihak. Israel terus mendabik dada dan bermegah kerana mendapat sokongan kuat daripada AS yang menjadi sekutunya.

Sokongan itu mendorong Israel terus galak membedil kawasan awam di Tebing Gaza.

Apatah lagi selepas negara Uncle Sam itu menolak resolusi mengenai Palestin di Majlis Keselamatan PBB.

Awal minggu ini, Iran dan Bahrain menggesa negara-negara Islam menjadikan minyak sebagai senjata menamatkan perang. Brigadier Jeneral Mirfaysal Bagherzadeh dari unit tentera elit Iran menyatakan tidak mustahil Iran akan memulakan 'kempen' itu, biarpun tidak mendapat sokongan daripada pengeluar utama minyak seperti Arab Saudi.

"Minyak adalah faktor penekan penting kepada sekutu-sekutu Israel untuk menghentikan perang yang tidak adil ini," kata Bagherzadeh kepada agensi berita rasmi Iran, IRNA.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Hasan Qashqavi berkata: "Kami menyokong apa juga tindakan yang dapat merealisasikan dua perkara iaitu pemberhentian pencerobohan secara serta-merta dan menamatkan kepungan ke atas Gaza."

Ketua Program Sains Politik, Pusat Pengajian Sains Politik, Sejarah dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff menegaskan bahawa dunia menentang keganasan itu tetapi AS tetap mempertahankan Israel menyebabkan negara lain terus tunduk kepada dasar luar Amerika.



DUA orang kanak-kanak Palestin mengangkat beg sambil melintasi runtuhan bangunan akibat bedilan tentera Zionis.
--------------------------------------------------------------------------------

Rusia dan China mengambil keputusan keras membantah tindakan Amerika. Malangnya, kedua-dua negara itu terhutang budi dengan AS atas sokongan ekonomi yang disalurkannya.

Alternatif lain ialah negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bertindak keras dan agresif ke atas Israel. Dengan melancarkan perang, mungkin ada harapan situasi akan berubah.

Andainya negara-negara Arab hanya bersikap diplomatik, keadaan tidak akan ke mana kecuali ada unsur mereka bertindak secara kolektif. Namun, ia perlu melibatkan negara Arab yang besar seperti Mesir, Turki dan Arab Saudi.

Apa yang berlaku sememangnya satu jenayah perang yang amat bertentangan dengan undang-undang kemanusiaan dan sebagainya. Dunia boleh memulaukan apa-apa sahaja barangan dari Israel atau AS, tetapi inisiatif itu tidak praktikal.

"Kita mungkin boleh pulaukan produk makanan, kosmetik atau pakaian. Tetapi masalahnya, kita terpaksa bergantung kepada Amerika untuk mendapatkan alat-alat perubatan, senjata, jentera dan kejuruteraan. Jadi, tindakan boikot nampaknya mungkin tidak berhasil," kata Mohammad Agus.


PEGAWAI perubatan cuba menyelamatkan seorang kanak-kanak di Hospital al-Syifa di Bandar Gaza.
--------------------------------------------------------------------------------

Menurutnya, Malaysia boleh mendesak PBB untuk melaksanakan rundingan. Namun, katanya, jika hendak buat mesyuarat Majlis Keselamatan, Malaysia perlu pastikan penglibatan negara-negara OIC dan negara besar yang lain.

"Selain itu, Malaysia boleh membantu masyarakat Palestin selepas pasca peperangan dengan cara membina kembali negara Palestin, ekonomi dan warganya," jelasnya lagi.

Mohammad Agus turut menyifatkan peperangan itu sebagai satu lagi bentuk pembersihan etnik. Selagi undang-undang dunia dikawal oleh Amerika, dunia tidak akan aman. Justeru, dunia memerlukan kuasa yang mampu 'mengancam' kekuatan Amerika.

Lebih memburukkan keadaan, sewaktu masyarakat Palestin berjuang dengan lontaran batu dan senjata sekadar ada, tentera Israel pula dilengkapi dengan pelbagai senjata moden, pesawat pejuang dan kereta kebal.

Malah, kezaliman Israel terserlah apabila mereka berkemungkinan menggunakan bom kimia fosforus. Berdasarkan Perjanjian Geneva 1980, bom yang boleh membuatkan sesiapa terkenanya melecur itu diharamkan sama sekali penggunaannya ke atas orang awam.

Sebenarnya, rejim Israel sangat bersedia untuk berperang. Buktinya, laporan Middle East Online menyatakan tentera Israel telah menjalani latihan selama 18 bulan dalam model bandar Gaza yang didirikan di pangkalan tentera Tsehilim di Gurun Negev, selatan Israel berhampiran sempadan Gaza.

"Tentera kami tahu semua lorong belakang di mana individu sasaran menyembunyikan diri," jelas jurucakap tentera Israel, Avi Benayahou.


MAYAT kanak-kanak yang terkorban akibat kezaliman tentera Israel.
--------------------------------------------------------------------------------

Israel menggunakan alasan lapuk untuk menceroboh Genting Gaza iaitu mempertahankan diri daripada serangan roket pejuang Hamas ke penempatan Yahudi.

Ironinya, Hamas adalah parti kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat Palestin menerusi pilihan raya, namun ia dianggap sebagai organisasi pengganas oleh Washington serta beberapa negara barat lain.

Sudah memasuki minggu kedua, serangan ganas Israel menimbulkan persoalan. "Apakah maknanya kemenangan perang ini bagi kedua-dua pihak?" soal bekas Kolonel Pasukan Pertahanan Israel, Eitan Azani.

"Ramai pejuang Hamas yang mati? Kejatuhan kerajaan Hamas atau apa? Semua orang berada dalam situasi yang rumit," ujarnya lagi.

Israel menegaskan tindakannya bertujuan untuk memusnahkan pusat persembunyian senjata, tapak pelancaran roket dan menghambat pejuang Hamas keluar dari lokasi perlindungan mereka.

Biarpun begitu, adakah Israel akan berpuas hati jika pejuang Hamas menghentikan serangan roket atau memusnahkan ratusan terowong ke Mesir yang didakwa menjadi 'lorong bekalan' senjata dan makanan kepada Hamas.

Bagi Hamas dan penduduk Palestin pula, hidup sudah menjadi kemenangan buat mereka. Mampu bertahan serangan gerombolan tentera yang terkuat di rantau itu pastinya sesuatu yang membanggakan.

Tetapi, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin, hari pertama pencerobohan sahaja telah membunuh 30 penduduk awam Gaza. Sehingga kini, lebih 500 nyawa sudah melayang.

Peperangan itu juga telah mengakibatkan krisis kemanusiaan kian meruncing apabila penduduk kehabisan makanan dan minuman. Bandar Gaza dan pusat perubatan utamanya, Hospital Shiffa, juga bergelap tanpa bekalan elektrik.

Hospital-hospital kini bergantung kepada generator apabila sebanyak 12 saluran bekalan elektrik tidak lagi berfungsi. Tanpa tenaga elektrik untuk menggerakkan pam, 70 peratus penduduk Gaza berdepan keputusan bekalan air. Bukan itu sahaja, krisis tenaga ini boleh mengakibatkan air kumbahan memasuki kawasan perumahan dan pertanian.

"Sistem air dan kumbahan di Gaza sudah lumpuh. Orang ramai tidak lagi mempunyai bekalan air dan kumbahan membanjiri jalan raya," jelas Timbalan Pengarah Penyedia Utiliti Air Gaza (CMWU), Maher al-Najjar.

Al-Najjar juga memberitahu sebanyak 48 daripada 120 buah perigi langsung tidak boleh digunakan akibat ketiadaan elektrik. Sementara 45 buah perigi lagi tidak mampu beroperasi sepenuhnya dan terpaksa ditutup dalam tempoh beberapa hari lagi.



KEPULAN asap menyelubungi ruang udara daerah Rafah. Tiada siapa yang dapat menduga sampai bila perang ini akan berlarutan.
----------------------------------------------------------------
Kamel Kafarna, penduduk kampung Beit Hanoun, memberitahu keluarganya sudah kehabisan gandum dan tepung, selain gas memasak. Biarpun begitu, pensyarah kejuruteraan ini tidak berani keluar rumah kerana bimbang ditembak.

"Gila! Peluru dan roket melintas di atas kepala. Saya yakin semua orang awam terbunuh kerana kesilapan dan anda tidak tahu anda akan jadi mangsa seterusnya," kata isteri Kafarna.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...