Friday, January 9, 2009

Transkrip perbualan penyerang didedahkan


GAMBAR fail menunjukkan seorang penyerang berjalan di stesen kereta api Chatrapathi Sivaji di Mumbai pada November lalu.
--------------------------------------------------------------------------------


NEW DELHI - Transkrip perbualan seorang penyerang di Mumbai didedahkan sekali gus menjadi bukti terbaru dalam kes serangan yang berlaku pada November lalu.

Seorang penyerang bercakap di telefon satelit dengan berkata: "Kita menangkap tiga warga asing, termasuk wanita." Arahan yang diterima pula ringkas dan kejam: "Bunuh mereka," kata penyerang tersebut sebelum bunyi tembakan kedengaran.

Perbualan itu tercatat dalam transkrip panggilan telefon yang dipintas ketika serangan ke atas Mumbai November lalu dan merupakan sebahagian bahan bukti yang diserahkan oleh kerajaan India kepada Pakistan pada minggu ini.

New Delhi memberitahu, bukti tersebut turut melibatkan sejumlah gambar senjata yang ditemui, data telefon satelit dan maklumat hasil soal siasat terhadap satu-satunya penyerang Mumbai yang masih hidup.

Menurut New Delhi lagi, semua maklumat itu menunjukkan bahawa serangan di Mumbai tahun lalu itu dilancarkan dari Pakistan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Pakistan menolak semua bukti itu dan menyifatkannya sebagai propaganda direka bertujuan untuk meningkatkan ketegangan di rantau berkenaan.

Transkrip perbualan telefon itu diperoleh oleh akhbar India, The Hindu dan menunjukkan serangan ke atas Mumbai dilakukan oleh 10 penyerang bersenjata yang terus berkomunikasi dengan ketua-ketua mereka sepanjang kepungan tersebut. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...